Ahad, 23 Disember 2012

DAPSY tuntut bebaskan Umar

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Pemuda DAP (DAPSY) menuntut supaya mahasiswa peserta Occupy Dataran, Umar Mohd Azmi yang dihukum penjara 30 hari dan denda RM1000 atas tuduhan menghalang pegawai DBKL menjalankan tugas, dibebaskan serta merta.

Ketua DAPSY, Teo Kok Seong dalam kenyataan medianya kecewa dengan keputusan mahkamah ke atas anak muda itu yang ikut serta dalam ‘Occupy Dataran’ sebelum perhimpunan Bersih 3.0 April lalu bagi menuntut pendidikan percuma dan membantah pinjaman PTPTN.

Umar didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang pegawai DBKL, Mohd Masran Mamat daripada “menangkap dan mengiringi” seorang lagi aktivis ‘Occupy Dataran’. Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.

“Saya difahamkan tiada seorang pun yang mengambil bahagian dalam ‘Occupy Dataran’ melakukan kesalahan yang membawa kecederaan atau keburukan kepada mana-mana pihak di negara kita,” ujar Kok Seong, yang juga ADUN Bahau.

“Tindakan itu menunjukkan kerajaan BN langsung tidak berminat mendengar suara mahasiswa dan menggunakan undang-undang yang sedia ada untuk menakut-nakutkan mahasiswa serta menghalang mereka daripada bersuara demi kepentingan mahasiswa,” tambah beliau.

Kok Seoang menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas Umar Mohd Azmi sebagai keterlaluan yang sekaligus menyebabkan BN menjadi bahan ketawa.

Umar dibawa ke Penjara Kajang semalam, lantaran kegagalan mendengar permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman apabila Timbalan Pendakwaraya yang bertanggungjawab ke atas kes itu tidak dapat dikesan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: