Jumaat, 14 Disember 2012

Calon DHPP: Kesungguhan PAS Pahang dihargai

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Kesungguhan PAS Pahang untuk meletakkan calon dari kalangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) disambut baik.

Malah, kesungguhan itu perlu dicontohi negeri-negeri lain yang pernah menyuarakan hasrat sama berkenaan perkara tersebut.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa (gambar) berkata kesungguhan PAS Pahang itu merupakan satu berita gembira kepadanya dan ahli DHPP.

"Saya gembira dengan kesediaan PAS Pahang yang ingin memberikan satu kerusi kepada calon dari DHPP. Saya masih menunggu negeri-negeri lain menyatakan komitmen yang sama," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Mujahid berkata selain Pahang, beberapa negeri lain pernah menyatakan hasrat yang sama iaitu Selangor, Sabah, Sarawak dan Perak.

Namun, tegas Mujahid negeri-negeri tersebut masih belum menunjukkan kesungguhan seperti Pahang.

"Saya harap, di negeri-negeri lain itu perlu berani menyatakan kesediaan untuk meletakkan calon DHPP di satu kerusi menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang," tegas beliau.

Biarpun menyedari pemilihan calon akan diputuskan Majlis Syura PAS, Mujahid berkata secara umumnya Majlis Syura telah memberikan 'lampu hijau' berkenaan perkara tersebut.

"Tinggal lagi, mencari calon-calon di kalangan DHPP yang boleh membawa agenda parti menjelang pru-13 ini," tegas beliau.

Tiada ulasan: