Sabtu, 15 Disember 2012

Bualan panjang tanda ibu pergi, mangsa nahas 27 Nov meninggal dunia

Wartawan Sinar Harian

Bualan panjang tanda ibu pergi, mangsa nahas 27 Nov meninggal dunia
Mayat mendiang Goik Hong selamat tiba ke rumahnya di Kampung Bagan Selatan lebih kurang jam 5 petang, kelmarin.
 
Boo Goik Hong
Boo Goik Hong
 
TANJUNG PIANDANG - Seorang lagi mangsa kemalangan di Slim River, 27 November lalu meninggal dunia pada malam 11 Disember lepas setelah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, Selangor, menjadikan keseluruhannya enam mangsa korban.

Mangsa, Boo Goik Hong, 55, dari Kampung Bagan Selatan, di sini meninggal dunia jam 11.45 malam setelah dipindahkan ke wad biasa akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Anak mangsa yang hanya dikenali Ah Heng berkata, ibunya dipindahkan ke Hospital Serdang dari Hospital Slim River dan berada di sisi ayahnya di sepanjang hari.

Menurutnya, ketika itu ibunya berada dalam keadaan sedar dan mampu bercakap dengan ayahnya sebelum ditinggalkan bersendirian sekitar jam 8 malam pada hari kejadian kerana ayahnya pulang ke rumah.

“Ibu mengalami muntah darah secara tiba-tiba sejam selepas itu dan meninggal dunia lebih kurang jam 11.45 malam setelah doktor gagal menyelamatkan keadaan,” katanya.
Mayat mendiang Goik Hong tiba di rumah keluarga malam kelmarin dan akan dikebumikan di tanah perkuburan bukan Islam di Bukit Mertajam, esok.

Ah Heng berkata, bapanya hanya mengetahui berita kematian itu sehari selepas hari kejadian dan terkilan kerana tidak menyangka tindakannya pulang ke rumah untuk berehat menyebabkan tidak berpeluang berada di sisi isterinya.

“Ayah amat sedih sehingga kini dan pernah memberitahu kami bahawa perbualan terakhir di antara ibu dengannya merupakan perbualan paling panjang.

“Sepanjang hidup, mendiang ibu merupakan seorang insan penyayang dan sangat disenangi ahli keluarga,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun antara lima maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori 12 tan di Kilometer 372.1 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan.

Kenderaan MPV jenis Hyundai Strex itu membawa 11 penumpang terdiri daripada pemuzik dan penari untuk ke Muar, Johor bagi membuat persembahan di sana.

Mangsa yang maut adalah Poh Hock Huat, 61, dari Transkrian, Nibong Tebal; Pang Lee Si, 35, dari Taman Serdang, Serdang, Kedah; Daphne Eng Yuik Yee, 14, Bagan Selatan, Tanjung Piandang; Juvien Chim Yu Xuan, 12 dan Hong Choon Pee, 33, dari Prai, Pulau Pinang.

Tiada ulasan: