Selasa, 4 Disember 2012

Bekas Atlet Disaran Tabur Bakti Bangunkan Sukan Selangor




SHAH ALAM – Bekas atlet disaran menabur bakti membangunkan sukan Selangor terutama bagi menggilap bakat generasi muda bagi memperkukuhkan kejayaan negeri dalam arena sukan.

Gesaan ini dilontarkan oleh Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus yang melihat sukan sebagai satu industri.

“Kita mengharapkan pengurusan dan pembangunan sukan akan diuruskan oleh bekas-bekas atlet kerana mereka adalah golongan yang faham dan tahu tentang pembangunan sukan yang diceburi,” katanya pada Majlis Anugerah Sukan Selangor 2011.

Selaku Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN), Ahmad Yunus juga mengharapkan persatuan-persatuan sukan gabungan MSN akan terus membangunkan atlet-atlet anak Selangor  menjadi jaguh sukan terbaik bukan sahaja mengharumkan nama negeri bahkan di peringkat antarabangsa.

Jelasnya lagi, penggerak-penggerak sukan di semua peringkat perlu meninjau prestasi atlet-atlet remaja dan berusaha mempertingkatkan pencapaian mereka.

“Kita perlu sedar bahawa pembangunan sukan negeri kini bukan lagi menjadi tanggungjawab kerajaan sahaja, para penggerak dan organisasi sukan itu sendiri tetapi sukan menjadi milik rakyat dan masyarakat.

“Apatah lagi sebahagian peruntukkan pembangunan sukan itu sendiri datangnya daripada hasil negeri dan rakyat Selangor.

“Jatuh bangunnya atlet sukan bukan lagi menjadi isu tertutup tetapi turut dikongsi bersama oleh segenap lapisan masyarakat,” ujarnya lagi.

Kerajaan Negeri menerusi MSN Selangor memberikan pengiktirafan dan penghargaan terhadap atlet-atlet yang berjaya di peringkat negeri dan kebangsaan dalam satu Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2011 di Grand Ballroom Hotel Concorde, Shah Alam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat mencemar duli bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Atlet karate-do, Loganeshaa Roa a/l Ramaraw dipilih sebagai Olahragawan Selangor 2011 sementara Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dari sukan tenpin boling dipilih sebagai Olahragawati Selangor 2011.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2011 disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Olahragawan dan Olahragawati 2011 masing-masing menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Tiada ulasan: