Isnin, 17 Disember 2012

50 anak muda Sabah lapor polis atas Musa Aman

MALAYSIA CHRONICLE


KOTA KINABALU- Kira-kira 50 anak muda Sabah mengiringi rakan mereka bagi membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Beliau didakwa menerima wang sebanyak RM40juta berbentuk rasuah untuk kekayaan peribadi merujuk kenyataan bersumpah Datuk Seri Lajim Ukim 11 Disember yang lalu.

Menurut Boby Bin Lewat @ Ewat, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Sabah berkata, mereka turut membuat laporan SPRM terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang punyai hubungkait dengan ahli perniagaan, Michael Chia.

Ia didedahkan di pelbagai sumber media bahawa anak Nazri iaitu Nedim Nazri Aziz dan keluarganya mendapat manfaat melalui sebuah kenderaan mewah jenis Hummer hitam dengan nombor pendaftaran WNX 9776.

Kenderaan mewah ini dianggarkan berharga lebih RM459,000 dan dimiliki oleh Michael Chia disahkan melalui carian saman di laman MyEG.

Micheal Chia yang rapat dengan Musa ditahan di Hong Kong berikutan disyaki terlibat dalam penggubahan wang haram RM40 juta turut dituduh terlibat rasuah berhubung lesen pembalakan yang juga melibatkan Musa Aman.

Menurut Lajim dalam akuan bersumpahnya, pada 9 Oktober 2012 Nazri telah mengumumkan bahawa dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan Michael Chia berhubung dakwaan wang rasuah berjumlah RM40 juta yang dikaitkan telah digugurkan di atas alasan wang RM40 juta yang disiasat itu merupakan derma politik kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi Ketua Menteri.

Namun kenyataan bersumpah Lajim Ukim menceritakan sebaliknya apabila beliau mengesahkan Umno Sabah tidak pernah menerima sebarang derma politik sebesar jumlah RM40 juta, seperti yang didakwa oleh Nazri Aziz di Parlimen.

"Apakah ini satu komplot terancang Musa dan Nazri untuk menyelamatkan antara satu sama lain?" soal SAMM dalam kenyataannya.

Sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Anggota Badan Perhubungan Umno Sabah, Lajim Ukim yang terlibat secara langsung dengan apa jua aktiviti Umno di Sabah termasuk perihal kewangan.

Lajim memperakui tiada sebarang urusniaga dan transaksi yang membuktikan Umno Sabah penerima dana RM40 juta tersebut.

Jika ada, pasti ia dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah, menurut Lajim.

Perkembangan terbaru ini jelas menunjukkan berlaku percanggahan daripada apa yang diumum oleh Nazri dan menerbitkan unsur penipuan yang membabitkan wang rakyat sebanyak RM40 juta, kata kenyataan itu.

Pengumuman Nazri Aziz juga didapati menyeleweng dan berniat untuk menutup isu yang lebih besar iaitu dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah.

Dengan perkembangan ini juga SAMM mendesak SPRM supaya membuka satu kertas siasatan baru melibatkan Musa Aman dan Nazri Aziz.

Kesediaan DS Lajim untuk memberi kenyataan kepada mana-mana pihak berkuasa bagi menyiasat skandal RM40 juta ini merupakan satu kelebihan dan kesempatan ini harus diambil oleh SPRM.-Harakahdaily

Tiada ulasan: