Selasa, 1 Mei 2018

Kenyataan melampau Dr Mahathir tanda terdesak

Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tuduhan dan kenyataan melampau dibuat oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menunjukkan kerana beliau terdesak untuk memenangi PRU14, demikian kata penganalisis politik, Dr Jeneri Amir.
 
"Tetapi kalau tuduhan tersebut tidak berasas maka ini membuktikan bahawa Tun Mahathir sudah terdesak dalam kempen ini."
 
"Jadi dalam konteks ini, kalau tuduhan itu tidak betul maka ini sesuatu yang tidak patut walaupun kita tahu dalam mana-mana pilihan raya kemenangan itu penting," katanya kepada Antarapos.
 
Terbaru, Dr Mahathir mendakwa pesawat yang sepatutnya membawa beliau ke Pulau Langkawi untuk penamaan calon pada Jumaat lalu telah disabotaj menyebabkan beliau terpaksa mengguna pesawat lain.
 
Bagaimanapun, dakwaan beliau telah dinafikan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) dan juga pemilik pesawat berkenaan VistaJet Ltd.

Jeneri berkata, tuduhan yang tidak berasas yang dibuat oleh Dr Mahathir akan menjejaskan imej negara dan pihak terbabit serta mantan perdana menteri itu perlu menanggung akibatnya.
 
"Jadi dalam membuat mana-mana kenyataan terutama kenyataan serius yang boleh memudaratkan pelbagai pihak dan menjejaskan imej negara dan keyakinan terhadap keupayaan pihak terbabit dari segi keselamatan penerbangan negara ini."
 
"Maka Tun Mahathir harus bersedia menanggung segala akibat daripada kenyataan beliau itu," tambahnya

SPR nafi cetak nama Mahiaddin pada kertas undi

ANTARAPOS

Post Pic


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya SPR akan mencetak kertas undi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi Parlimen Pagoh dan DUN Gambir dengan menggunakan nama sebenar beliau iaitu Mahiaddin.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, menegaskan bahawa nama yang akan dicetak pada kertas undi terbabit adalah seperti mana yang tertera pada ruangan 3 Borang 4 dan 4A yang sudah diterima SPR iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Hasil semakan, dalam laman web SPR dan aplikasi MySPR Semak juga mendapati paparan nama yang tertera adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin melainkan nama dalam senarai Daftar Pemilih yang mengikut nama asal seperti mana pada kad pengenalan beliau.

"Berhubung dengan nama beliau yang tertera pada keputusan PRU-13, SPR menjelaskan bahawa nama pemenang pilihan raya apabila diwartakan dalam Borang 16 akan tertera nama penuh atau nama sebenar pemenang dan bukannya nama pada kertas undi.

"Sehubungan dengan itu, SPR berharap dengan penerangan ini ia dapat memberikan penjelasan terhadap perkara yang dibangkitkan, selain turut mempersoalkan niat Muhyiddin yang cuba menarik perhatian dan mengelirukan orang ramai dengan dakwaan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Muhyiddin didakwa menggesa SPR supaya memastikan namanya dieja dengan tepat selepas mendapati ejaan namanya dalam laman web SPR adalah dari MyKad iaitu Mahiaddin Bin Md Yassin.

Dakwanya lagi, tindakan SPR itu akan menyebabkan nama 'Mahiaddin' dicetak pada kertas undi.

Tiada etika berpakaian, dakwaan mesej tular palsu, kata SPR

ANTARAPOS

Post Pic


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan mesej tular mengenai etika berpakaian seperti kehadiran ke pejabat ketika mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Mengikut mesej dalam bahasa Cina yang kemudiannya menjadi tular di Facebook, para pengundi dinasihatkan agar tidak memakai seluar jeans yang koyak, selipar, seluar pendek atau miniskirt ke pusat pengundian atau berrisiko dihalang mengundi.

Justeru katanya, SPR menasihati orang ramai agar berhati-hati dan menapis penerimaan maklumat yang tidak sahih berkaitan pilihan raya yang tersebar melalui media sosial.

"Orang ramai diminta merujuk terus kepada SPR bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat dengan menghubungi talian 03-88927018," katanya.

2 Profesor USM Kubang Kerian calon Pakatan Harapan




Dua profesor USM, Dr Wan Ahmad Kamil dan Dr Abdul halim, kini menjadi calon PH di Kelantan.

Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian tidak hanya terkenal sebagai universiti yang memiliki peralatan canggih dengan pakar-pakar perubatan yang berwibawa di rantau ASEAN, tetapi turut menghasilkan profesional tempatan bertahap pemimpin dan tokoh masyarakat dan negara.

Datuk Dr Abdul Halim Yusof, calon Pakatan Harapan bagi P.024 Parlimen Kubang Kerian ialah profesor madya bidang orthopedik, yang juga seorang tokoh masyarakat tempatan.

Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah, calon N.19 Demit pula ialah profesor bidang sains fizik dan perubatan nuklear yang telah berkhidmat selama 32 tahun di USM. Ini merupakan sejarah yang tersendiri untuk USM Kubang Kerian.

Dr Abdul Halim berkhidmat lebih 23 tahun sebagai pensyarah, profesor madya dan doktor pakar perunding ortopedik (subkepakaran pembedahan tulang belakang dan pemulihan spinal cord), di USM Kubang Kerian.

Beliau mempelopori perubatan dan pembedahan tulang belakang di HUSM. Malahan, beliau adalah antara pakar bedah tulang belakang pertama di Malaysia yang memulakan surgeri endoskopik.

Dr Abdul Halim amat dihormati oleh para pesakit, pelajar dan rakan sekerja bukan hanya kerana keilmuan dan kepakaran tetapi sikapnya yang peramah, amat berdedikasi dan komited serta teliti dalam merawat pesakit.

Sering mendapat jolokan ‘doktor yang memimpin’ beliau adalah Setiausaha Persatuan Endoskopi Tulang Belakang Dunia (World Endoscopic Spine Society (WESS) , 2012 – 2015, dan Presiden, Malaysia Spine Society, 2013 – 2015 dan Pengerusi Kelab Doktor Pakar Negeri Kelantan, 2009 – 2014.

Datuk Halim menziarahi pengundi di Kubang Kerian.

Di sebalik kesibukan sebagai pensyarah dan pakar ortopedik, beliau amat aktif memberi khidmat kebajikan dan kesukarelawan kepada masyarakat Kubang Kerian, Kota Bharu malahan seluruh Kelantan melalui beberapa NGO yang dipimpinnya.

Semasa banjir besar 2014, beliau sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Bantuan Bencana (BBNGO), menggerakkan NGO-NGO dan ratusan sukarelawan turun ke medan, merancang dan menyelaraskan misi bantuan dengan pantas dan sistematik ke seluruh Kelantan.

Selain itu, beliau adalah Pengerusi Gabungan NGO Negeri Kelantan (2008 – 2016) dan anggota Pengasas dan Pengerusi pertama GEGAR iaitu Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat yang ditubuhkan pada 2009 hasil gabungan lebih 50 NGO Kelantan dan Terengganu yang memperjuangkan royalti petroleum untuk rakyat di dua negeri tersebut.

Pejuang masyarakat madani dan keadilan, Dr Halim adalah Penyelaras Wilayah Timur bagi MAFREL – Malaysians for Free and Fair Election, 2007 – 2010, yang memantau perjalanan pilihanraya di wilayah Timur demi mempastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Minatnya yang mendalam dalam dakwah dan tarbiah Islam, membawanya menjadi YDP Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), 2003 – 2007, dan serta anggota pengasas Sekolah Rendah Islam Aman, Kota Bharu, pada tahun 1990 dan seterusnya menjadi Pengerusi Persatuan Persekolahan Persendirian Kelantan (PERSIAP), 2004 hingga 2017.

Untuk P.024 Parlimen Kubang Kerian, Dr Halim akan berdepan dengan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas dan Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani, Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian.

Sementara itu, Dr Wan Ahmad Kamil Bin Wan Abdullah, Profesor sains fizik dan perubatan nuklear adalah juga merupakan cicit kepada Tok Kenali, ulama tersohor Kelantan dan rantau Asean. Beliau menjadi pensyarah USM selama 32 tahun. Beliau berkelulusan B.Sc dan PhD daripada University of London, England.

Semasa belajar di England, beliau aktif memimpin kesatuan pelajar termasuk kesatuan pelajar antarabangsa. Beliau menjadi Setiausaha Agung Federation of Students Islamic Societies in UK and Ireland (FOSIS), 1979 – 1982; dan Timbalan Presiden Kelab Melayu United Kingdom (KMUK), 1983 –1984.

Selain itu, beliau menjadi Amir, Companions of The Mosque (bersama Yusuf Islam), di Masjid Besar Regent’s Park, London, 1980 – 1982.

Di peringkat nasional dan antarabangsa, Dr Wan Kamil ialah Presiden Persatuan Fizik Perubatan Malaysia sejak 12 tahun yang lalu selain wakil negara dalam bidang radiologi diagnostik ke International Atomic Energy Agency (IAEA) yang berpusat di Vienna, Austria.

Beliau juga merupakan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) Maahad Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian, sebuah sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan. Sekolah ini asaskan oleh ibunya, Hajjah Rahmah, cucu Tok Kenali, dan diberikan nama sempena nama ibunya.

Untuk DUN N.19 Demit Dr Wan Ahmad Kamil akan ditentang oleh Mumtaz Mohd. Nawi (Pas) dan Nurul Amal Mohd. Fauzi (BN).

Dr M, Muhyiddin gagal tarik undi Melayu untuk PH

Oleh Ishak Zaman
 
 
Dr Mahathir dan Muhyiddin hanya politikus – yang masih diragui orang Melayu sebagai pembela nasib mereka.
 
 



Ada ketikanya kita perlu membuka pemikiran kita daripada terbatas dengan persepsi yang kita bentuk atas angan-angan dan kehendak.

Kita perlu menerima – membaca apa yang orang lain kata, khususnya yang tidak kita sukai atau gemari. Mungkin di situ letakkan perkara-perkara yang kita tidak nampak atau terlepas pandang.

Hari ini – Pakatan Harapan (PH) merasakan cabaran mereka terhadap Barisan Nasional (BN)/Umno kuat dan PH tanpa ragu-ragu akan menjadi kerajaan baru.

Itu kata mereka kepada orang yang menyokong mereka. Mereka percaya dengan adanya Tun Dr Mahahtir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka PH akan mempunyai kekuatan luar biasa untuk bertembung dengan BN/Umno.

Dengan PKR, DAP dan Amanah serta kekuatan Dr Mahathir dan Muhyiddin, maka BN/Umno akan tumbang dan PH akan membentuk kerajaan baru dengan Dr Mahathir bakal menjadi perdana menteri ke-7.

Namun, sesudah pencalonan dilakukan dan masa untuk berkempen diperuntukkan – jelas PH sudah mula goyah.

Kehadiran yang ramai di setiap ceramah tidak ada maknanya, sekiranya ia tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk undi.

Sekadar membuat tuduhan berapi-api, menghina kepimpinan kerajaan, malah menuduh polis, badan kehakiman, peguam negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bersekongkol dengan Datuk Seri Najib Razak tidak juga dapat mengalihkan undi, khususnya undi orang Melayu.

Lawak jenaka yang dibuat sewaktu berceramah hanya membuat hadirin ketawa, tetapi tidak ada kesan kepada peralihan undi mereka.

Melihat keadaan yang ada – adakah kita tidak terfikir kehadiran Dr Mahathir dan Muhyiddin sebenarnya tidak memberi kesan kepada BN/Umno, malah juga tidak memberi kesan kepada kekuatan Pakatan Rakyat yang diubah kepada PH.

Ada pendapat yang mungkin akan mengecewakan kita, kekuatan Pakatan Rakyat yang ada pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) jauh lebih baik daripada hari ini.

Apa yang jelas adalah kegagalan Dr Mahathir dan Muhyiddin sendiri dalam mengatur langkah untuk bertembung dengan BN/Umno.

Semua tahu dan diberi penerangan bahawa kehadiran Dr Mahathir untuk mematahkan undi Melayu daripada Umno ke PH. Ini dikatakan senjata kuat mereka.

Sokongan Melayu adalah punca kekuatan Umno dan dengan adanya Dr Mahathir, maka PH mempunyai peluang baik untuk menang. Ini tidak berlaku.

Katakan, ini dedak dengan pendekatan “cash is king”, maka Melayu tidak berubah, ia satu persoalan andaian semata-mata.

Bukan semua Melayu dalam carta pengundian diberi wang tunai untuk terus menyokong kerajaan. Tidak, ini hanya membuktikan sokongan orang Melayu kepada Dr Mahathir adalah melalui Umno.

Bila bukan lagi Umno, tidak ada lagi sokongan Melayu kepada Dr Mahathir. Dr Mahathir gagal untuk mendapat lambakan sokongan atas nama beliau. Melayu tidak teralih dengan Dr Mahathir keluar daripada Umno.

Muhyiddin juga gagal membawa – penyokong-penyokong beliau atau mereka yang bersetuju dengan tuduhan beliau untuk keluar daripada Umno dan mengikutinya. Ini tidak berlaku, malah mereka yang keluar mengikutinya, ramai sudah kembali kepada Umno.

Maka, alasan kita balik-balik kepada dedak. Tidakkah kita terfikir ini semua adalah kesilapan Dr Mahthir dan Muhyiddin dalam menggerakkan usaha mereka untuk mendapat sokongan Melayu dan orang Umno yang sudah meninggalkan perjuangan Umno.

Sebagai timbalan presiden Umno, pemecatan beliau tidak menyebabkan berduyun-duyun ahli Umno bersamanya.

Malah, sokongan dari rakyat juga daripada mereka yang sedia bersama PKR, DAP dan Amanah, parti serpihan PAS.

Jika dibandingkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau jauh lebih baik dalam mendapatkan sokongan musuh politiknya dan rakyat terbanyak.

Desakan Reformasi 1998 lebih gah berbanding sewaktu Dr Mahathir dan Muhyiddin keluar Umno.

Malah, kehadiran Dr Mahathir dan Muhyiddin, akhirnya diibaratkan sebagai adanya tidak menambah dan tiadanya tidak mengurangkan.

Ramai yang sekarang ini percaya PRU14 akan menyaksikan kemerosotan sokongan kepada pembangkang berbanding PRU13.

Sebenarnya, kegagalan mereka adalah kerana komitmen kedua-duanya dalam mengertikan makna perjuangan rakyat tidak menyeluruh.

Mereka masih berjuang dalam keselesaan, seperti perdana menteri dan timbalan perdana menteri dan tidak mahu mencampakkan diri mereka sepenuhnya kepada rakyat.

Ini kesilapan mereka, masih tidak mencampakkan diri kepada rakyat, hatta dilihat sebagai elitis politik yang sedang bermain politik.

Banyak gabungan khususnya Gabungan Ketua Cawangan Umno yang bertindak mengkritik Najib dan Umno gagal membesar, malah majoriti mereka sudah meninggalkan sokongan kepada PH dan kembali kepada Umno.

Amat malang sekali, satu kekuatan pembangkang sebelum ini akhirnya tersadai dengan cara dan metodologi perjuangan Dr Mahathir dan Muhyiddin. Mereka hanya politikus – yang masih diragui orang Melayu sebagai pembela nasib mereka.

Mereka masih di atas, mahu menentukan nasib orang di bawah. Mereka tidak faham makna perjuangan. Gabungan Dr Mahathir dan Muhyiddin sekali-kali tidak menampakkan perjuangan mereka melampaui perjuangan politik.

Dr Mahathir dan Muhyiddin gagal dalam misi mereka dan hanya menumpang kekuatan pembangkang. Akhirnya, mereka menjadi liabiliti dan sepatutnya dipersalahkan atas keputusan yang hampir pasti dimenangi BN/Umno.

*Ishak Zaman ialah pembaca FMT.

Gelombang Dr Mahathir kini bergabung dengan Nik Omar, kata pengkaji

 
 
 Gelombang Dr Mahathir kini bergabung dengan Nik Omar, kata pengkaji

“Selama ini golongan pro Islam ini mengundi Pas dan tidak akan mengundi parti lain kerana menganggap mereka tidak berapa Islam. “Penyertaan Nik Omar menjadi calon PH di Cempaka seolah-olah meletakkan logo ‘halal’ kepada PH dan AMANAH khasnya,” kata Mazlan berdasarkan kajian beliau di kalangan pengguna media sosial.

Gelombang yang telah dihasilkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kini bergabung dengan gelombang yang terbina ekoran penyertaan anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Pengkaji politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, Nik Omar telah mencipta gelombang baru di kalangan pengundi pro Islam di negara ini khasnya di kalangan penyokong Pas.

“Selama ini golongan pro Islam ini mengundi Pas dan tidak akan mengundi parti lain kerana menganggap mereka tidak berapa Islam.

“Penyertaan Nik Omar menjadi calon PH di Cempaka seolah-olah meletakkan logo ‘halal’ kepada PH dan AMANAH khasnya,” kata Mazlan berdasarkan kajian beliau di kalangan pengguna media sosial.

Berdasarkan perkara itulah, katanya, pemimpin dan penyokong Pas paling marah kepada Nik Omar sekarang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan telah mengumumkan Nik Omar dipecat serta merta dari Pas sebaik saja beliau menjadi calon PH.

NIk Omar yakin politik Nik Aziz lebih dekat dengan PH.

Padahal ia tidak perlu dibuat kerana penyertaan Nik Omar ke dalam AMANAH bermakna keahlian beliau dalam Pas tergugur dengan sendirinya.

Bagi beliau, PH kini berjaya menggabung dua gelombang iaitu yang dihasilkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Nik Omar.

“Kalau Dr Mahathir Mohamad hasilkan gelombang di kalangan Melayu luar bandar yang menyokong Umno selama ini, Nik Omar telah melahirkan gelombang baru kepada pengundi yang menyokong PAS selama ini.

“Sebab itu, apabila Nik Omar menjadi calon PH di Cempaka, pemimpin dan cybertrooper Pas paling marah,” kata Dr Mazlan.

Berdasarkan kajian beliau terhadap trend di media sosial, Dr Mazlan mendapati, ramai pengundi yang selama ini mengundi atas kepentingan Islam mula memberikan keyakinan kepada Amanah dan PH dengan penyertaan Nik Omar.

Katanya, kalau selama ini pengundi pro Islam masih was-was apakah Amanah ini parti Islam atau tidak, penyertaan Nik Omar telah menghakis keraguan itu.

“Penyertaan beliau telah berjaya memecahkan doktrin bahawa hanya Pas parti Islam dan mereka mula fikir undi PH ini tidak ada masalah,” kata pengkaji politik UTM itu.

Sehubungan itu, beliau yakin penyertaan Nik Omar telah memberikan impak besar kepada politik orang Melayu yang selama ini pro Islam.

“Bagi saya ini satu kejayaan besar Husam Musa dalam karier politiknya khasnya di Kelantan,” katanya berdasarkan Pengerusi PH Kelantan itu yang berusaha membawa Nik Omar menjadi calon PH.

Nik Omar telah membuat kejutan apabila hadir ke pusat penamaan calon dan dinamakan sebagai calon PH untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Cempaka, Kelantan.

Ekoran itu, pelakon terkenal Wardina Suffiah berkata, sokongan beliau kepada Pakatan Harapan naik 100% dengan penyertaan Nik Omar ini.

PAS tampil kreatif cipta wau gergasi di Kedah

 
PAS bertindak kreatif dengan menggunakan bendera hijaunya untuk menarik perhatian pengundi.


Wau besar di Batu Sepuluh, Jerai, Kedah.


JERAI: Berbanding bendera dan poster biasa, PAS di Kedah menampilkan idea kreatifnya untuk menarik perhatian pengundi.

Menuju Batu Sepuluh di kerusi Parlimen Jerai, orang ramai akan ternampak wau besar yang diperbuat daripada buluh dan dihiasi bendera PAS pelbagai saiz.

Struktur berketinggian 8m itu boleh dilihat dengan jelas dari jalan utama.

Pemimpin tempatan berkata, wau itu dinaikkan 2 hari lalu, pada hari penamaan calon.

Gerbang gergasi dan kereta kebal mini di luar masjid di Sungai Pau, Jeneri, Sik.

Di luar sebuah masjid di Sungai Pau, Jeneri yang terletak di kawasan Parlimen Sik, gerbang besar diperbuat daripada buluh dan dihiasi bendera PAS sedia mengalu-alukan pengunjung.

Di tengah-tengah gerbang itu adalah bendera parti berkilat yang bersaiz gergasi. Di kanannya pula ditempatkan sebuah kereta kebal mini yang turut dihiasi bendera PAS.

Di pekan Sik pula terdapat sebuah helikopter diperbuat daripada buluh dan dihiasi bendera PAS.

PAS bertanding di semua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi negeri di Kedah, pada 9 Mei ini.

Tol percuma di Lebuhraya LATAR pada 9 Mei

 
Pengguna tidak perlu membayar tol mulai 8 pagi hingga 5 petang pada hari mengundi.





KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR) bakal menikmati perjalanan tol percuma mulai 8 pagi hingga 5 petang pada 9 Mei ini sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Urusan Lebuhraya LATAR, Datuk Mohamed Raffe Chekku berkata tawaran itu untuk membantu pengguna keluar mengundi pada hari berkenaan.

“Lebuhraya LATAR adalah pintu masuk bukan sahaja ke bandar-bandar kecil di pantai barat Semenanjung Malaysia, tetapi juga ke bandar lain seperti Selayang, Rawang, Shah Alam, Sg Buloh dan banyak lagi.

“Pasukan operasi kami sentiasa bersedia untuk memantau pergerakan lalu lintas pada hari itu. Di samping itu, laluan tambah nilai ‘Touch N Go’ masih beroperasi 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maklumat lanjut mengenai Lebuhraya LATAR boleh didapati melalui talian 03-6145 1515 atau melayari www.facebook.com/latarexpressway dan www.twitter.com/Latarexpressway.

LATAR Expressway Berhad yang dahulunya dikenali sebagai Lebuhraya Assamjawa Taman Rimba Bhd (LATAR), merupakan subsidiari Bina Puri Holdings Berhad (50%) dan Rafulin Holdings Sdn Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Arena Irama Sdn Bhd (50%).

Mahkamah UK arah Rewcastle-Brown bayar £28,900 kepada Hadi

 
Seorang peguam PAS berkata, perbicaraan penuh belum bermula dan tiada keputusan jika saman fitnah itu akan dibenarkan.





PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi di London mengarahkan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown membayar kos perundangan £28,900 (RM156,000) kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malam ini.

“Kita semua bersyukur dengan berita dari London. Apapun, di peringkat ini kita tunggu pengesahan dan info lanjut dari peguam kita di sana. Setakat yang saya faham perbicaraan penuh belum bermula dan belum ada keputusan akhir saman dan tuntutan kita dibenarkan atau tidak.

‘Untuk permohonan interlokutori, betul kesemuanya (5) dibenarkan oleh mahkamah dengan kos,” kata seorang peguam PAS yang menjelaskan keputusan mahkamah hari ini.

Hadi memfaikan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown tahun lalu berhubung satu artikel yang diterbit laman web itu mendakwa PAS menerima RM90 juta dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Isnin, 30 April 2018

Kedah akan jadi milik PAS

inulillia


Ulang kejayaan tadbir Kedah seperti zaman Allahyarham Tan Sri Azizan


SUNGAI PETANI  – PAS menaruh keyakinan untuk mentadbir semula Kedah, sekali gus membentuk kerajaan baharu di negeri itu.
Calon PAS bagi Parlimen Merbok, Ahmad Fauzi Ramli berkata, beliau yakin dengan sokongan rakyat, dan optimis mampu merampas kerusi yang ditandinginya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Merbok dan Ketua Lajnah Ekonomi PAS Merbok itu berkata, PAS mampu meraih sokongan rakyat berdasarkan kepada gelombang perubahan yang sedang berlaku dalam arena politik negara.

Katanya, PAS yakin sekiranya mendapat mandat daripada rakyat, mereka akan mengambil alih tampuk pemerintahan dan mengulangi kejayaan mentadbir Kedah sepertimana zaman kegemilangan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Kalau Allah izin, kita nak ambil balik Kedah. Kita mahukan pemimpin yang boleh urus tadbir dengan baik dan mempunyai latar belakang agama yang baik.

“Walau siapa pun yang bertanding, kita yakin rakyat kini bijak memilih dan mahukan pembaharuan,” katanya.

Parlimen Merbok bakal menyaksikan pertembungan antara bekas Pengerusi Jawatankuasa Pen­didikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain yang juga Ketua UMNO Bahagian dengan calon PAS, Ahmad Fauzi Ramli dan Ketua Wanita PKR negeri, Nur Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah.