Dr Mahathir dan Muhyiddin hanya politikus – yang masih diragui orang Melayu sebagai pembela nasib mereka.
Ada ketikanya kita perlu membuka pemikiran kita daripada terbatas dengan persepsi yang kita bentuk atas angan-angan dan kehendak.
Kita perlu menerima – membaca apa yang orang lain kata, khususnya yang tidak kita sukai atau gemari. Mungkin di situ letakkan perkara-perkara yang kita tidak nampak atau terlepas pandang.
Hari ini – Pakatan Harapan (PH) merasakan cabaran mereka terhadap Barisan Nasional (BN)/Umno kuat dan PH tanpa ragu-ragu akan menjadi kerajaan baru.
Itu kata mereka kepada orang yang menyokong mereka. Mereka percaya dengan adanya Tun Dr Mahahtir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka PH akan mempunyai kekuatan luar biasa untuk bertembung dengan BN/Umno.
Dengan PKR, DAP dan Amanah serta kekuatan Dr Mahathir dan Muhyiddin, maka BN/Umno akan tumbang dan PH akan membentuk kerajaan baru dengan Dr Mahathir bakal menjadi perdana menteri ke-7.
Namun, sesudah pencalonan dilakukan dan masa untuk berkempen diperuntukkan – jelas PH sudah mula goyah.
Kehadiran yang ramai di setiap ceramah tidak ada maknanya, sekiranya ia tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk undi.
Sekadar membuat tuduhan berapi-api, menghina kepimpinan kerajaan, malah menuduh polis, badan kehakiman, peguam negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bersekongkol dengan Datuk Seri Najib Razak tidak juga dapat mengalihkan undi, khususnya undi orang Melayu.
Lawak jenaka yang dibuat sewaktu berceramah hanya membuat hadirin ketawa, tetapi tidak ada kesan kepada peralihan undi mereka.
Melihat keadaan yang ada – adakah kita tidak terfikir kehadiran Dr Mahathir dan Muhyiddin sebenarnya tidak memberi kesan kepada BN/Umno, malah juga tidak memberi kesan kepada kekuatan Pakatan Rakyat yang diubah kepada PH.
Ada pendapat yang mungkin akan mengecewakan kita, kekuatan Pakatan Rakyat yang ada pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) jauh lebih baik daripada hari ini.
Apa yang jelas adalah kegagalan Dr Mahathir dan Muhyiddin sendiri dalam mengatur langkah untuk bertembung dengan BN/Umno.
Semua tahu dan diberi penerangan bahawa kehadiran Dr Mahathir untuk mematahkan undi Melayu daripada Umno ke PH. Ini dikatakan senjata kuat mereka.
Sokongan Melayu adalah punca kekuatan Umno dan dengan adanya Dr Mahathir, maka PH mempunyai peluang baik untuk menang. Ini tidak berlaku.
Katakan, ini dedak dengan pendekatan “cash is king”, maka Melayu tidak berubah, ia satu persoalan andaian semata-mata.
Bukan semua Melayu dalam carta pengundian diberi wang tunai untuk terus menyokong kerajaan. Tidak, ini hanya membuktikan sokongan orang Melayu kepada Dr Mahathir adalah melalui Umno.
Bila bukan lagi Umno, tidak ada lagi sokongan Melayu kepada Dr Mahathir. Dr Mahathir gagal untuk mendapat lambakan sokongan atas nama beliau. Melayu tidak teralih dengan Dr Mahathir keluar daripada Umno.
Muhyiddin juga gagal membawa – penyokong-penyokong beliau atau mereka yang bersetuju dengan tuduhan beliau untuk keluar daripada Umno dan mengikutinya. Ini tidak berlaku, malah mereka yang keluar mengikutinya, ramai sudah kembali kepada Umno.
Maka, alasan kita balik-balik kepada dedak. Tidakkah kita terfikir ini semua adalah kesilapan Dr Mahthir dan Muhyiddin dalam menggerakkan usaha mereka untuk mendapat sokongan Melayu dan orang Umno yang sudah meninggalkan perjuangan Umno.
Sebagai timbalan presiden Umno, pemecatan beliau tidak menyebabkan berduyun-duyun ahli Umno bersamanya.
Malah, sokongan dari rakyat juga daripada mereka yang sedia bersama PKR, DAP dan Amanah, parti serpihan PAS.
Jika dibandingkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau jauh lebih baik dalam mendapatkan sokongan musuh politiknya dan rakyat terbanyak.
Desakan Reformasi 1998 lebih gah berbanding sewaktu Dr Mahathir dan Muhyiddin keluar Umno.
Malah, kehadiran Dr Mahathir dan Muhyiddin, akhirnya diibaratkan sebagai adanya tidak menambah dan tiadanya tidak mengurangkan.
Ramai yang sekarang ini percaya PRU14 akan menyaksikan kemerosotan sokongan kepada pembangkang berbanding PRU13.
Sebenarnya, kegagalan mereka adalah kerana komitmen kedua-duanya dalam mengertikan makna perjuangan rakyat tidak menyeluruh.
Mereka masih berjuang dalam keselesaan, seperti perdana menteri dan timbalan perdana menteri dan tidak mahu mencampakkan diri mereka sepenuhnya kepada rakyat.
Ini kesilapan mereka, masih tidak mencampakkan diri kepada rakyat, hatta dilihat sebagai elitis politik yang sedang bermain politik.
Banyak gabungan khususnya Gabungan Ketua Cawangan Umno yang bertindak mengkritik Najib dan Umno gagal membesar, malah majoriti mereka sudah meninggalkan sokongan kepada PH dan kembali kepada Umno.
Amat malang sekali, satu kekuatan pembangkang sebelum ini akhirnya tersadai dengan cara dan metodologi perjuangan Dr Mahathir dan Muhyiddin. Mereka hanya politikus – yang masih diragui orang Melayu sebagai pembela nasib mereka.
Mereka masih di atas, mahu menentukan nasib orang di bawah. Mereka tidak faham makna perjuangan. Gabungan Dr Mahathir dan Muhyiddin sekali-kali tidak menampakkan perjuangan mereka melampaui perjuangan politik.
Dr Mahathir dan Muhyiddin gagal dalam misi mereka dan hanya menumpang kekuatan pembangkang. Akhirnya, mereka menjadi liabiliti dan sepatutnya dipersalahkan atas keputusan yang hampir pasti dimenangi BN/Umno.
*Ishak Zaman ialah pembaca FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan