Selasa, 1 Mei 2018

2 Profesor USM Kubang Kerian calon Pakatan Harapan




Dua profesor USM, Dr Wan Ahmad Kamil dan Dr Abdul halim, kini menjadi calon PH di Kelantan.

Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian tidak hanya terkenal sebagai universiti yang memiliki peralatan canggih dengan pakar-pakar perubatan yang berwibawa di rantau ASEAN, tetapi turut menghasilkan profesional tempatan bertahap pemimpin dan tokoh masyarakat dan negara.

Datuk Dr Abdul Halim Yusof, calon Pakatan Harapan bagi P.024 Parlimen Kubang Kerian ialah profesor madya bidang orthopedik, yang juga seorang tokoh masyarakat tempatan.

Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah, calon N.19 Demit pula ialah profesor bidang sains fizik dan perubatan nuklear yang telah berkhidmat selama 32 tahun di USM. Ini merupakan sejarah yang tersendiri untuk USM Kubang Kerian.

Dr Abdul Halim berkhidmat lebih 23 tahun sebagai pensyarah, profesor madya dan doktor pakar perunding ortopedik (subkepakaran pembedahan tulang belakang dan pemulihan spinal cord), di USM Kubang Kerian.

Beliau mempelopori perubatan dan pembedahan tulang belakang di HUSM. Malahan, beliau adalah antara pakar bedah tulang belakang pertama di Malaysia yang memulakan surgeri endoskopik.

Dr Abdul Halim amat dihormati oleh para pesakit, pelajar dan rakan sekerja bukan hanya kerana keilmuan dan kepakaran tetapi sikapnya yang peramah, amat berdedikasi dan komited serta teliti dalam merawat pesakit.

Sering mendapat jolokan ‘doktor yang memimpin’ beliau adalah Setiausaha Persatuan Endoskopi Tulang Belakang Dunia (World Endoscopic Spine Society (WESS) , 2012 – 2015, dan Presiden, Malaysia Spine Society, 2013 – 2015 dan Pengerusi Kelab Doktor Pakar Negeri Kelantan, 2009 – 2014.

Datuk Halim menziarahi pengundi di Kubang Kerian.

Di sebalik kesibukan sebagai pensyarah dan pakar ortopedik, beliau amat aktif memberi khidmat kebajikan dan kesukarelawan kepada masyarakat Kubang Kerian, Kota Bharu malahan seluruh Kelantan melalui beberapa NGO yang dipimpinnya.

Semasa banjir besar 2014, beliau sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Bantuan Bencana (BBNGO), menggerakkan NGO-NGO dan ratusan sukarelawan turun ke medan, merancang dan menyelaraskan misi bantuan dengan pantas dan sistematik ke seluruh Kelantan.

Selain itu, beliau adalah Pengerusi Gabungan NGO Negeri Kelantan (2008 – 2016) dan anggota Pengasas dan Pengerusi pertama GEGAR iaitu Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat yang ditubuhkan pada 2009 hasil gabungan lebih 50 NGO Kelantan dan Terengganu yang memperjuangkan royalti petroleum untuk rakyat di dua negeri tersebut.

Pejuang masyarakat madani dan keadilan, Dr Halim adalah Penyelaras Wilayah Timur bagi MAFREL – Malaysians for Free and Fair Election, 2007 – 2010, yang memantau perjalanan pilihanraya di wilayah Timur demi mempastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Minatnya yang mendalam dalam dakwah dan tarbiah Islam, membawanya menjadi YDP Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), 2003 – 2007, dan serta anggota pengasas Sekolah Rendah Islam Aman, Kota Bharu, pada tahun 1990 dan seterusnya menjadi Pengerusi Persatuan Persekolahan Persendirian Kelantan (PERSIAP), 2004 hingga 2017.

Untuk P.024 Parlimen Kubang Kerian, Dr Halim akan berdepan dengan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas dan Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani, Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian.

Sementara itu, Dr Wan Ahmad Kamil Bin Wan Abdullah, Profesor sains fizik dan perubatan nuklear adalah juga merupakan cicit kepada Tok Kenali, ulama tersohor Kelantan dan rantau Asean. Beliau menjadi pensyarah USM selama 32 tahun. Beliau berkelulusan B.Sc dan PhD daripada University of London, England.

Semasa belajar di England, beliau aktif memimpin kesatuan pelajar termasuk kesatuan pelajar antarabangsa. Beliau menjadi Setiausaha Agung Federation of Students Islamic Societies in UK and Ireland (FOSIS), 1979 – 1982; dan Timbalan Presiden Kelab Melayu United Kingdom (KMUK), 1983 –1984.

Selain itu, beliau menjadi Amir, Companions of The Mosque (bersama Yusuf Islam), di Masjid Besar Regent’s Park, London, 1980 – 1982.

Di peringkat nasional dan antarabangsa, Dr Wan Kamil ialah Presiden Persatuan Fizik Perubatan Malaysia sejak 12 tahun yang lalu selain wakil negara dalam bidang radiologi diagnostik ke International Atomic Energy Agency (IAEA) yang berpusat di Vienna, Austria.

Beliau juga merupakan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) Maahad Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian, sebuah sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan. Sekolah ini asaskan oleh ibunya, Hajjah Rahmah, cucu Tok Kenali, dan diberikan nama sempena nama ibunya.

Untuk DUN N.19 Demit Dr Wan Ahmad Kamil akan ditentang oleh Mumtaz Mohd. Nawi (Pas) dan Nurul Amal Mohd. Fauzi (BN).

Tiada ulasan: