Selasa, 1 Mei 2018

SPR nafi cetak nama Mahiaddin pada kertas undi

ANTARAPOS

Post Pic


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya SPR akan mencetak kertas undi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi Parlimen Pagoh dan DUN Gambir dengan menggunakan nama sebenar beliau iaitu Mahiaddin.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, menegaskan bahawa nama yang akan dicetak pada kertas undi terbabit adalah seperti mana yang tertera pada ruangan 3 Borang 4 dan 4A yang sudah diterima SPR iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Hasil semakan, dalam laman web SPR dan aplikasi MySPR Semak juga mendapati paparan nama yang tertera adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin melainkan nama dalam senarai Daftar Pemilih yang mengikut nama asal seperti mana pada kad pengenalan beliau.

"Berhubung dengan nama beliau yang tertera pada keputusan PRU-13, SPR menjelaskan bahawa nama pemenang pilihan raya apabila diwartakan dalam Borang 16 akan tertera nama penuh atau nama sebenar pemenang dan bukannya nama pada kertas undi.

"Sehubungan dengan itu, SPR berharap dengan penerangan ini ia dapat memberikan penjelasan terhadap perkara yang dibangkitkan, selain turut mempersoalkan niat Muhyiddin yang cuba menarik perhatian dan mengelirukan orang ramai dengan dakwaan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Muhyiddin didakwa menggesa SPR supaya memastikan namanya dieja dengan tepat selepas mendapati ejaan namanya dalam laman web SPR adalah dari MyKad iaitu Mahiaddin Bin Md Yassin.

Dakwanya lagi, tindakan SPR itu akan menyebabkan nama 'Mahiaddin' dicetak pada kertas undi.

Tiada ulasan: