Isnin, 30 April 2018

Dilarang masuk pusat penamaan calon, SPR tunggu laporan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan ada calon tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon, sehingga laporan lengkap diperolehi dan siasatan polis dijalankan.
 
Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, difahamkan ada pihak telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut, dan oleh itu adalah tidak wajar pihaknya memberikan sebarang kenyataan.
 
“SPR mengambil maklum terhadap bantahan pihak terbabit yang tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon untuk menyerahkan kertas pencalonan mereka semasa hari penamaan calon di bahagian pilihan raya DUN Rantau dan Parlimen Rembau, Negeri Sembilan ekoran tidak mempunyai pas SPR.
 
“Terpulanglah kepada pihak terbabit untuk menggunakan saluran perundangan yang dibenarkan berkaitan kes itu,” katanya hari ini.
 
SPR meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan polis.
 
Semalam, calon PKR, Dr S Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa bersama pas calon yang disyaratkan SPR untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon bagi bahagian pilihan raya DUN Rantau dan Parlimen Rembau.
 
Ini menyebabkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau.
 
 
 

Penganjur rayu penuhkan kerusi saksi ceramah Muhyiddin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
JASIN: Faktor Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penceramah utama pakatan pembangkang dilihat gagal menarik minat orang ramai apabila hanya kira-kira 200 penduduk hadir pada ceramah pembangkang di Nyalas di sini malam tadi.
 
Sebelum ketibaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu kira-kira jam 9.30 malam, penganjur beberapa kali merayu orang ramai melalui pembesar suara supaya memenuhkan kerusi yang disediakan.
 
Malah, kelibat Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang juga calon Parlimen Hang Tuah Jaya dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim yang sebelum itu disebut-sebut hadir, bagaimanapun tidak muncul.
 
Dalam ucapannya, Muhyiddin tidak membuang masa membuka gelanggang untuk terus menyerang kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, lapor BH Online.
 
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga seolah-olah mempunyai dendam peribadi terhadap kepemimpinan Najib apabila cuba menyemai kebencian rakyat, selain cuba menidakkan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), pengurangan subsidi dan biasiswa serta bekalan ubat yang didakwa berkurangan di hospital.
 
Dalam banyak janji manisnya, Muhyiddin yang juga calon PKR Parlimen Pagoh dan kerusi DUN Gambir, berjanji pakatan pembangkang akan meneruskan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika mereka berjaya mengambil alih Putrajaya selepas PRU-14.
 
"Saya ditanya orang ramai, apabila kita bentuk kerajaan nanti adakah BR1M akan diteruskan, jawapan saya teruskan.
 
"BR1M kita berbeza kerana kita akan memastikan ia digantikan melalui program bantuan bersasar, sebab itu, PRU-14 ini orang kata ibu segala pilihan raya untuk kita menumbangkan kerajaan Umno-BN," katanya.
 
 

Warga asing dijangka didakwa bawah Akta Antiberita Tidak Benar

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang warga Denmark dijangka didakwa di bawah Akta Antiberita Tidak Benar hari ini, kerana didakwa membuat dakwaan palsu terhadap polis.
 
The Sun hari ini melaporkan lelaki itu didakwa kerana mengkritik masa tindak balas polis selepas pembunuhan Dr Fadi Mohammed al-Batsh di Kuala Lumpur awal bulan ini.
 
Warga asing berusia 46 tahun itu akan didakwa dengan tuduhan mereka dan menerbitkan berita palsu di bawah Seksyen (4) (1) Akta Antiberita Tidak Benar.
 
Dia boleh dihukum penjara sehingga enam tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
 
Lelaki itu dalam sebuah video di media sosial. mendakwa dia ada bersama mangsa pada masa kejadian, dan mendakwa polis tiba di tempat kejadian 50 minit kemudian.
 
Dia juga mendakwa ambulans tiba sejam kemudian.
 
Polis menafikan tuduhannya itu dan mendakwa sebuah kereta peronda dihantar dan tiba di tempat kejadian di Setapak dalam masa 10 minit.
 
 

Mursyidul am PAS: Hadi kerap mimpi jumpa nabi

Anne Muhammad
 
   

PRU14 | Sebenarnya kehidupan Datuk Seri Abdul Hadi Awang memang beberapa kali ada kaitan dengan mimpi, kata pemimpin tertinggi PAS Hashim Jasin.

Bercakap kepada Malaysiakini Hasim menjelaskan presiden PAS itu adalah antara individu yang begitu kerap bermimpikan Rasulullah SAW.

Kata Hashim, beliau tahu mengenai perkara itu selepas berbicara secara dekat (tertutup) dengan Abdul Hadi sebelum ini.

Bagaimanapun kata Hashim, Abdul Hadi sangat jarang menceritakan mimpi yang dialaminya kepada orang ramai dan pengalaman dalam tidur bertemu dengan Nabi Muhammad itu biasanya berlaku sebelum ada sesuatu kejadian besar berlaku.

"Dia seorang yang kerap bermimpi bertemu Rasulullah.

"Ustaz Hadi (kalau) ada perkara besar, dia akan mimpi bertemu Rasulullah, tapi benda ni tak bolehlah jadi hujah sebab ini mimpi," katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Bongor, Arau, malam tadi.

Kerana Nik Omar

Sebelum itu Hashim, 78, menyampaikan tazkirah di Surau asy-Syakur.

Menurut Hashim beliau pernah berbual mengenai pengalaman bermimpi bertemu Rasulullah itu dalam pertemuan empat mata bersama Abdul Hadi.

“Dia pergi ke Tehran dulu pun ada kaitan dengan arahan yang dia dapat melalui mimpi. Itu benda biasa. Bukan semua orang (boleh) mimpi bertemu Rasulullah... bukan semua orang, sedikit sahaja yang boleh mimpi bertemu Rasulullah," katanya lagi.

Isu mimpi Abdul Hadi mula menjadi perhatian ramai apabila Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendedahkan perkara itu kelmarin.

Menurut Mohd Amar menjelang hari penamaan calon dia dan Abdul Hadi berbincang mengenai perkembangan semasa di Pengkalan Chepa.

Ketika itulah menurut Mohd Amar, Abdul Hadi bercerita bahawa dia bermimpi melihat bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam keadaan satu daripada dua kakinya tiada.

Mohd Amar yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor mengaitkan kisah mimpi Abdul Hadi itu dengan salah seorang anak Nik Abdul Aziz yang bertanding PRU ke-14 dalam tempoh kira-kira sembilan hari saja lagi.

Pakatan Harapan (HARAPAN) menamakan Nik Omar sebagai calon mereka untuk bertanding di kerusi DUN Chempaka yang pernah diwakili Nik Abdul Aziz selama beberapa penggal.




Seorang lagi anak Nik Abdul Aziz, Nik Abduh, 48, bertanding sebagai calon PAS untuk kerusi parlimen Bachok.

HARAPAN adalah gabungan empat parti pembangkang yang turut ditentang habis-habisan oleh PAS dalam PRU ke-14 ini.

Penyertaan Nik Omar, 53, secara terbuka bersama AMANAH dan HARAPAN itu segera mendapat reaksi keras penyokong PAS. Dia mula dilabelkan dengan pelbagai gelaran serta dakwaan, termasuk menegaskan dia bukan kalangan pimpinan PAS.

Sangka ada kaitan Kelantan

Menurut Hashim mengikut kaedah Islam seseorang yang bermimpi Rasulullah, maka memang begitulah yang sebenarnya kerana syaitan tidak boleh menyerupai Nabi Muhammad.

Sementara itu Hashim berkata beliau tidak pula pernah bermimpi bertemu Nik Abdul Aziz.

Calon PAS untuk kerusi parlimen Arau itu berkata, ketika dimaklumkan mengenai mimpi Abdul Hadi mengenai Nik Aziz, beliau menyangka akan berlaku sesuatu kepada kerajaan Kelantan selepas PRU ke-14 nanti.




Namun katanya tanggapannya tidak boleh diambil kira. Tambahan pula beliau bukan seorang yang mempunyai kemahiran mentafsir mimpi.

“Saya dapat berita Ustaz Hadi mimpi Tok Guru Nik Aziz jalan (dengan) kaki sebelah.

"Apabila salah seorang anak dia bertanding kok ni (HARAPAN), seorang lagi bertanding dalam PAS, agaknya itulah tafsirannya, (cuma) saya bukan boleh tafsir mimpi.

“Tapi dengan berlaku seperti ini, bersihlah saya dari anggapan bahawa kerajaan Kelantan akan menghadapi tempang dalam PRU,” katanya.

Nik Omar pada asalnya seorang mudir sekolah agama dan tidak pernah menonjol dalam politik sehinggalah selepas kumpulan aliran sederhana dalam PAS disingkirkan perwakilan parti itu pada muktamar 2015.




Sementara itu Hashim berharap dengan penyertaan Nik Omar ke dalam HARAPAN tidak akan merenggangkan hubungan sesama anggota keluargaan Nik Abdul Aziz.

“Bagi saya tabii manusia macam tu... Itu (anak) tok guru, anak nabi pun (ada) tak ikut (ajaran nabi), satu lumrah alam.

"Kelapa satu tandan tak keluar buah sama, (cuma) yang diharapkan jangan kerana politik, renggang keluarga, putus silaturahim. Itu saya rasa keluarga tok guru matang,” katanya.

LIHAT VIDEO .1

LIHAT VIDEO .2


Tian Chua heret SPR ke mahkamah

Hafiz Yatim 

   
PRU14 | Peguam kepada Naib Presiden PKR, Tian Chua pagi ini memfailkan saman pemula bagi mencabar keputusan pegawai pengurus pilihan raya yang tidak membenarkannya mempertahankan kerusi Parlimen Batu.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Ngeow dan Tan.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang memohon perisytiharan mahkamah berhubung kelayakannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagaimana ditetapkan dalam Artikel 48 (1) perlembagaan persekutuan.



Beliau juga memohon pengisytiharan layak bertanding sebagai calon dalam PRU14.

Tian Chua menamakan pegawai pengurus pilihan raya, Anwar Mohd Zain dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Sabtu lalu, Tian Chua hilang kelayakan untuk bertanding di parlimen Batu selepas kertas pencalonannya ditolak berikutan denda RM2000 yang dikenakan mahkamah terhadap beliau.

VistaJet sahkan kenyataan CAAM

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Syarikat pemilik jet, VistaJet Ltd, mengesahkan kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berhubung sebuah pesawatnya yang dikesan mengalami masalah teknikal dalam pemeriksaan rutin sebelum pelepasan.
 
VistaJet, dalam kenyataan ringkas dikeluarkan menerusi Globe Newswire, berkata susulan masalah teknikal itu, sebuah pesawat gantian disediakan segera, bagi memenuhi jadual perjalanan pelanggan mereka.
 
Walaupun tidak menamakan pelanggan mereka dalam kenyataan itu, namun ia jelas merujuk pesawat sepatutnya dinaiki Tun Dr Mahathir Mohamed untuk penerbangan dari Subang ke Langkawi kelmarin.
 
Ketika berucap kepada penduduk di Langkawi pada malam berkenaan, selepas tiba dengan pesawat gantian, Dr Mahathir mendakwa pesawat sepatutnya dinaiki beliau disabotaj.
 
Dr Mahathir mendakwa sabotaj itu hanya sebahagian daripada usaha menghalang beliau daripada menjadi calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Langkawi.
 
Pengerusi CAMM, Datuk Seri Azharuddin A Rahman, dalam satu kenyataan semalam, menyatakan tiada sebarang unsur sabotaj dikesan terhadap pesawat Bombardier Challenger CL60 yang sepatutnya dinaiki Dr Mahathir itu, sebaliknya berpunca masalah teknikal kecil dan rutin, iaitu kebocoran tayar sebelah kiri.
 
Azharuddin berkata, selepas dimaklumkan mengenai masalah berkenaan, pihaknya membuat siasatan terperinci meliputi pengesahan dokumentasi pesawat, pemeriksaan fizikal pesawat serta temubual dengan juruterbang dan kakitangan penyelenggaraan pesawat terbabit.
 
Beliau menyifatkan tuduhan sabotaj terhadap pesawat adalah sangat serius dan boleh memberi kesan kepada reputasi industri penerbangan Malaysia dan negara secara keseluruhannya terutama ketika tempoh sensitif seperti menjelang PRU ketika ini.
 
 

Calon Bebas cedera dilanggar kereta semasa edar risalah

ANTARAPOS

Post Pic
JOHOR BAHRU:  Calon Bebas yang bertanding di Parlimen Pulai, Yap Keng Tak cedera ringan selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Myvi ketika sedang mengedar risalah kempen di Jalan Indah 5/13 Taman Bukit Indah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian berlaku pukul 8.45 ketika Keng Tak sedang berjalan kaki melintasi simpang menuju ke Kuil Sri Maha Mariyaman Bukit Indah bersama lima orang pengikutnya.

“Mangsa (Keng Tak) tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya cedera ringan. Dia telah mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Bukit Indah dan dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi, lapor Utusan Online.
Keng Tak bertanding di kerusi Parlimen Pulai menentang penyandang kerusi berkenaan, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mewakili Barisan Nasional (BN), Salahuddin Ayub (gabungan pembangkang PKR) serta Dr. Mohd. Mazri Yahya (PAS).

754 ahli Warisan sertai Umno

ANTARAPOS

Post Pic

SANDAKAN: Parti Warisan Sabah (Warisan) cawangan Batu Sapi hanya menunggu masa untuk dibubarkan selepas 754 ahlinya mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Umno serta Barisan Nasional (BN) dengan serta-merta.
Bekas setiausahanya, Abdullah Madin mengetuai kumpulan berkenaan menyerahkan borang keahlian Umno kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.
Abdullah ketika ditemui berkata, tindakan mereka itu dibuat selepas menyedari warisan bukan lah parti yang memperjuangkan rakyat sebaliknya hanya ditubuhkan untuk menengakkan agenda peribadi ketuanya.
“Sejak kami menjadi ahli warisan tiada apa-apa bantuan yang diberikan kepada semua ahli di cawangan itu, sebaliknya mempimpin tertinggi hanya melaung-laungkan slogan mahu mendapat kuasa.”
“Atas sebab itulah kami berasa insaf selepas menyedari penyertaan kami ke dalam warisan hanya sia-sia, maka hari ini kami membuat keputusan untuk menyertai UMNO, katanya.”
Yang turut hadir menerima borang keahlian mereka ialah Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan pemimpin-pemimpin BN Parlimen Batu Sapi.

Ahad, 29 April 2018

SPRM tahan Datuk Seri disyaki minta rasuah

MALAYSIA GAZETTE
SPRM


KUALA LUMPUR – Seorang jurutera perunding bergelar Datuk Seri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta rasuah daripada seorang bekas ketua pengarah sebuah agensi kerajaan yang kononnya disiasat SPRM.

Lelaki itu meminta wang bagi menyelesaikan kes SPRM yang didakwa dihadapi bekas ketua pengarah berkenaan.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di Bandar Baru Bangi pada pukul 12.45 tengah hari, semalam.

Katanya lelaki itu telah memaklumkan kepada bekas ketua pengarah berkenaan bahawa dia dan beberapa lagi pegawai agensi kerajaan terbabit sedang disiasat oleh SPRM.

“Pada pertengahan bulan ini, lelaki itu telah berjumpa dengan individu terbabit di sebuah restoran di ibu negara.

“Dalam pertemuan itu, dia (suspek) dikatakan dapat menyelesaikan kes yang dihadapi individu terbabit kerana mengenali pengurusan tertinggi SPRM yang akan membantunya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sumber itu berkata lelaki berkenaan juga menawarkan bantuan bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri dari negeri Pahang kepada individu itu.

Lelaki itu meminta wang sebanyak RM1.8 juta untuk kedua-dua tujuan berkenaan. Dia direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata tindakan individu menggunakan nama pengurusan tertinggi SPRM untuk mendapatkan wang bukanlah kejadian pertama berlaku.

“Justeru, kami tidak akan membenarkan mana-mana individu mencemarkan nama baik serta reputasi SPRM dan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas mereka yang terlibat.

“Saya meminta orang ramai agar tidak terperdaya dan sekiranya terdapat mana-mana individu menyatakan anda disiasat oleh kami (SPRM), sebaiknya hubungi SPRM terdahulu untuk mengesahkan perkara terbabit,” katanya.-BERNAMA


Bukan hanya Gombak, Azmin tumpu kemenangan DUN Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

 

GOMBAK: Bukan hanya di Gombak atau Bukit Antarabangsa, penyandang kedua-dua kerusi itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan keyakinan tinggi kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) boleh dicapai di lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS).

Beliau berkata, kemenangan itu juga bakal menyaksikan PAKATAN terus kekal menerajui kepimpinan tertinggi Selangor selepas tempoh Pilihan Raya Umum (PRU14), tamat.

Justeru katanya, gerak-kerja pentadbiran negeri dan calon-calon gabungan itu akan terus dilaksanakan sepanjang tempoh berkempen dan sepanjang masa.

“Saya akan memberikan sepenuhnya khidmat bakti dan gerak kerja saya dan pasukan untuk pastikan kemenangan itu dapat dicapai.

“Ia bukan hanya di kawasan tertentu, tetapi di seluruh Selangor dalam usaha saya untuk membantu calon-calon PAKATAN yang bertanding,” katanya.


 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir merasmikan Program Tautan Mahabbah Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad, di Seri Gombak petang ini.

PRU 14 kali ini menyaksikan PAKATAN tampil mengetengahkan calon-calon muda bagi membantu jentera pilihanraya gabungan itu.

Antaranya Calon N17. Gombak Setia, Hilman Idham dan N40. Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Hilman Idham

Kedua-dua pemimpin itu berpengalaman luas dalam membantu urusan pentadbiran negeri dan jentera parti di peringkat akar umbi.

Selain itu, PAKATAN juga turut menampilkan calon-calon lama yang dilhat berpotensi untuk mengekalkan kerusi masing-masing.

Antaranya barisan Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong, Amiruddin Shari, Dr Daroyah Alwi dan Dato’ Teng Chang Khim.