Ahad, 29 April 2018

MCA pecat serta-merta 12 ahli khianat

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: MCA memecat serta-merta 12 ahlinya termasuk tujuh yang bertanding sebagai calon pakatan pembangkang, selain calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Lembaga Disiplin MCA, Tan Sri Chor Chee Heung yang masing-masing membabitkan sembilan ahli di Johor, dua di Perak dan satu lagi di Kedah.
 
Di Johor, empat daripada sembilan yang dipecat itu ialah Ting Chong Chai dan Lim Yak Hong yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, selain Tee Boon Tsong (Calon DAP DUN Senai) dan Ng Yak Howe (calon DAP DUN Bentayan).
 
Baki lima lagi ialah Choon Kai Ling, Chew Mui Mui, Ng Lee Chu, Lam Tau Lai dan Thin Meau Guey yang masing-masing bertindak sebagai pencadang dan penyokong kepada calon berkenaan.
 
Di Perak pula, pemecatan membabitkan Chin Kwai Leong dan Chin Kwai Heng yang masing-masing bertanding atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM) di DUN Menglembu and Tronoh, manakala baki satu lagi Yeo Keng Chuan yang menjadi calon PKR di DUN Kulim, dekat sini.
 
Chee Heung ketika sidang media pengumuman itu di sini, berkata tindakan pemecatan itu diambil mengikut Artikel 124(1) Perlembagaan MCA selepas semua 12 ahli terbabit didapati bertindak bertentangan dengan ketetapan parti.
 
"Selepas penamaan calon semalam, majlis presiden merujuk nama 12 ahli terbabit kepada lembaga disiplin parti selepas didapati melanggar peraturan Perlembagaan MCA.
 
"Susulan itu satu mesyuarat tergempar diadakan lembaga disiplin malam tadi, sebelum bukti dikemukakan dan memutuskan semua 12 ahli berkenaan melanggar Artikel 122 Perlembagaan MCA.
 
"Justeru, lembaga disiplin mencadangkan supaya semua 12 ahli terbabit dipecat serta-merta, yang kemudian dipersetujui majlis presiden parti," katanya.
 
Chee Heung berkata, lembaga disiplin mendapati tujuh ahli yang bertanding sebagai calon pakatan pembangkang atau calon Bebas itu tidak bersetuju apabila mereka tidak terpilih sebagai calon PRU-14.
 
"Keputusan dibuat kepemimpinan parti termasuk dalam soal penetapan calon untuk PRU-14 adalah muktamad dan jika ada cadangan atau rayuan, ia juga harus dibuat secara dalaman melalui saluran parti," katanya mengesahkan sebarang rayuan diserahkan mana-mana 12 nama terbabit.
 
 

LGBT yang membinasakan

sitifatimah


Pihak berkuasa perlu ambil tindakan terhadap kumpulan terkutuk ini


1. KEWUJUDAN kumpulan-kumpulan yang cenderung kepada amalan LGBT ini amat membimbangkan. Selain daripada bercanggah dengan fitrah manusia, amalan seperti ini amat bertentangan dengan al-Quran dan hadith.

2. Allah SWT mengingatkan kita tentang ancaman ini melalui kisah Nabi Lut yang dinyatakan didalam al-Quran. Perbuatan terkutuk ini disifatkan oleh Allah SWT sebagai “orang yang melampaui batas”. Firman Allah:

إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاء بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

3. Dalam menangani isu ini, Rasulullah ﷺ juga memberi amaran yang keras berhubung perbuatan ini. Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa amalan ini adalah perkara yang dilaknat oleh Allah. Sabda Baginda:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ
Maksudnya: Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut. (HR Ahmad)
Menurut al-Imam Ibn al-Jauzi, Rasulullah tidak pernah melaknat pelaku dosa besar sebanyak tiga kali berturut-turut seperti yang dilakukan kepada pelaku homoseksual ini. Di sini jelas menampakkan ketegasan Baginda ﷺ dalam menangani permasalahan ini.

4. Malah, Rasulullah meletakkan hukuman yang amat keras terhadap pelaku LGBT. Sabda Baginda Nabi:

مَنْ وَجَدْتُمُوه يَعمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ والمَفْعُولَ بِهِ
Maksudnya: Barangsiapa yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, maka bunuhlah si pelaku dan yang diperlakukan. (HR al-Tirmizi dan Abu Daud)

Dalam merelisasikan saranan ini, al-Imam al-Syaukani menjelaskan bahawa Khulafa al-Rasyidin pernah menjatuhkan hukuman mati terhadap pelaku homoseksual. (al-Shawkani, Sayl al-Jirar, 1/840)

5. Menurut al-Imam al-Bayhaqi, Khalid al-Walid pernah bertanya kepada Abu Bakar berhubung hukuman yang wajar dikenakan terhadap pelaku homoseksual ini. Abu Bakar memanggil beberapa sahabat berbincang. Saidina Ali antara sahabat yang memberikan respon yang amat keras. Beliau mencadangkan supaya pelaku tersebut dibakar! (al-Safiri, al-Majalis al-Wa’ziyyah, 2/155)

6. Menurut al-Qardawi, tindakan tegas yang dikenakan oleh Syariat Islam ini adalah bagi membersihkan masyarakat dari budaya yang tidak sihat. Malah perlakuan ini membawa kepada penyebaran penyakit yang tidak diingini. (al-Qardawi, al-Halal wa al-Haram.)

7. Dengan itu, adalah diharapkan agar pihak berkuasa memantau serta mengambil tindakan terhadap kewujudan kumpulan yang membantu ke arah perlakuan yang terkutuk ini.

*Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia

Labuhkan tudung, hentikan jualan tudung tak tutup aurat, kata Wanita Isma

ainulillia

Mohon ampun, taubat kepada Allah

BANGI – Pelakon dan pengacara terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dinasihatkan agar kembali melabuhkan tudungnya serta menghentikan jualan tudung jenamanya yang tidak menutup aurat.

Mengesyorkan perkara itu, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Dr Norsaleha Mohd Salleh berkata, Neelofa sebagai ikon wanita muslimah Malaysia perlu berbuat demikian sebagai tanda bertaubat dan serius menerima teguran orang ramai.

Beliau menjelaskan, pihak-pihak yang memberi teguran hanya sekadar menasihat ikon Muslimah itu sebagai seorang saudara seIslam supaya tidak terlanjur dalam perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah swt.

“Justeru, tanda dia meminta ampun, adalah dengan berubah menjadi baik, bertaubat taknak mengulang lagi perkara yang silap dan menutup kesalahan itu dengan melakukan kebaikan.

“Maksudnya labuhkan tudung dia, jangan jual tudung yang tak menutup aurat, itu tandanya dia insaf dan sedar dengan kesilapan dia menyesal dengan perbuatan dia,” katanya kepada Ismaweb.net.

Pada masa sama, Dr Norsaleha mengingatkan agar Neelofa memohon ampun kepada Allah swt dan bukannya kepada manusia.

Ini kerana, katanya, isu yang melanda artis popular itu berhubung majlis pelancaran tudung di sebuah kelab malam di ibu negara itu bukan isu kesalahan beliau kepada manusia, tetapi kesalahannya kepada Allah swt.

“Kita ni manusia tak boleh nak ampunkan dosa orang. Isu bertudung, isu aurat itu adalah hak Allah swt.

“Yang memerintahkan kita menutup aurat, memerintahkan kita berakhlak mulia, dan memerintahkan kita menjaga kesopanan sebagai wanita muslimah adalah Allah.

“Jadi isu dia adalah dengan Allah, kita manusia tidak boleh mengampunkan dosa yang dia buat dengan Allah taala.

“Ini bila kita tengok, rakyat menerima permohonan maaf, mufti menerima permohonan maaf, untuk apa?

“Kita bukan paderi, paderi yang dalam amalan agama Kristian boleh ampunkan dosa orang bila buat salah. Itu satu benda yang saya harap tidak disalah faham,” tegasnya.


Hadi Awang yakin menang saman Sarawak Report

Sitifatimah

Kes mula dibicarakan esok di Mahkamah Tinggi London


BANGI, – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan kes saman fitnah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown akan mula dibicarakan esok di London.

Beliau berkata, berdasarkan bukti-bukti yang diserahkan, peluang untuk PAS menang sangat tinggi.

“Esok akan mula dibicara dan keputusan mungkin beberapa hari selepas itu. Kita dah hantar segala dokumen melalui peguam kita di sini dan peluang kita menang 80 peratus.

“Sebelum ini, kita dah minta dia (Rewcastle-Brown) minta maaf tetapi dia enggan, maka kita teruskan (saman),” katanya.

April tahun lalu, Pas memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi London.

Ia susulan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa PAS menerima dana sebanyak RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.


Tengku Adnan: PKR tidak patut salahkan SPR atas kesilapan sendiri

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: PKR tidak sepatutnya menuding jari terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kejadian beberapa calonnya tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas kesilapan mereka sendiri.
 
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tuduhan bahawa SPR mempunyai agenda tertentu dengan mengubah peraturan penamaan calon adalah tidak berasas kerana SPR telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
 
"Mereka menuding jari terhadap SPR sama seperti satu jari tunjuk ke depan dan empat lagi jari menunjuk diri sendiri.
 
"Ikut dan akurlah undang-undang SPR dan saya percaya SPR juga ikut dan akur dengan undang-undang. Kalau kamu ada masalah parti, selesaikan masalah parti kamu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah tempat letak kereta bertingkat kuarters Apartmen Fasa 5 dan 6 di Presint 9, di sini hari ini.
 
Semasa proses penamaan calon PRU14 semalam, beberapa calon PKR hilang kelayakan bertanding antaranya Naib Presidennya Tian Chua yang tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu apabila pencalonannya ditolak oleh SPR kerana telah dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.
 
SPR turut menolak pencalonan calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah Dr Mohd Hafidz Rizal kerana disahkan bankrap, manakala calon PKR DUN Rantau Dr S. Streram gagal mengemukakan borang pencalonan kerana tidak membawa pas calon.
 
Tengku Adnan berkata pakatan pembangkang juga sebelum ini dilihat cuba mencari alasan teknikal untuk mengharamkan Umno menjelang PRU14 berikutan tindakan 16 anggota Umno yang memfailkan semakan kehakiman bagi memohon parti itu dibubarkan.
 
"Tetapi dia lupa dalam Perlembagaan Umno, ada klausa (menyebut) anggota yang membawa Umno ke mahkamah secara automatik akan digugurkan," katanya.
 
Dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan tiga minggu menjelang PRU14 itu, kumpulan tersebut mendakwa kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk Umno menangguhkan pemilihannya ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.
 
Pada 5 Mac lepas, RoS dalam kenyataan mengesahkan permohonan Umno menangguhkan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi untuk 2017 diluluskan, selaras peruntukan perlembagaan pertubuhan Fasal 10.17 yang memperuntukkan penangguhan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, bahagian dan cawangan, tidak boleh melebihi 18 bulan daripada tarikh pemilihan sepatutnya diadakan

PPBM parti huru-hara tanpa asas kukuh - Anina

Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan seorang pemimpin PPBM Melaka bertanding sebagai ahli Bebas di DUN Ayer Molek semalam hanya memperkuatkan tanggapan parti itu huru-hara kata bekas pengasasnya, Anina Saadudin.
 
"Ianya (pertubuhan PPBM) secara huru-hara dan dibentuk secara tidak sengaja selepas Muhyidin dan Mukhriz hilang jawatan maka sebab pertubuhannya juga sudah huru-hara."
 
"Dia juga berhadapan dengan krisis perlembagaan dan gabungan antara PKR, DAP, AMANAH dan PPBM itu juga bukan dibentuk atas satu asas yang kukuh," ujarnya.
 
Anina berkata, isu ahli PPBM bertanding dalam parti Bebas atau parti lain bukan sesuatu yang pelik kerana ianya berlaku di merata-rata tempat di Malaysia.
 
"Isu ini bukan hanya berlaku di Ayer Molek sahaja, perbalahan daripada ahli PPBM berkenaan dengan pembahagian kerusi ini berlaku di merata-rata tempat dan di kawasan saya di Langkawi juga begitu.
 
"Kalau kamu tengok balik apa yang saya terangkan kepada kamu dari awal maka kamu boleh nampak kenapa pada akhirnya semua menjadi kacau bilau," kata beliau lagi
 
Semalam, Naib Ketua Bahagian PPBM Hang Tuah Jaya Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi disahkan bertanding sebagai calon Bebas di DUN Ayer Molek kerana kecewa tidak dicalonkan di kawasan itu walaupun mendakwa sudah dijanjikan demikian oleh pucuk pimpinan.
 
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa anggota PPBM yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14 akan dipecat daripada parti kerana mengkhianati perjuangan parti.
 
 

PAS nafi bekerjasama dengan Umno

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: PAS Johor kesal dengan tindakan bekas rakan seperjuangan yang memainkan sentimen kononnya wujud kerjasama antara parti itu dan Umno dalam siri kempen mereka.
 
Pesuruhjaya PAS negeri, Abdullah Hussin berkata, sentimen dimainkan kononnya PAS sudah bekerjasama dengan Umno sejak berakhir PRU13 dan berlanjutan hingga kini.
 
“Sejak 2013 lagi, momokan PAS bersama Umno, kemudian 2014 hingga 2017 juga serupa dan kini 2018 kita (PAS) lawan Umno.
 
“Jadi, maksudnya kita (PAS) mahu kata ini adalah momokan dari 2013 sampai sekarang yang menyebabkan kita dalam kalangan sahabat berpecah tetapi sebenarnya itu tidak benar,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat PAS negeri, di sini, hari ini, lapor Sinar Harian.
 
Abdullah berkata, sepatunya bekas rakan seperjuangannya memahami cara perjuangan PAS kerana mereka pernah bekerjasama sebelum ini.
 
“Kita mendengar laporan tersebut (PAS bekerjasama dengan Umno) tetapi kita sangat dukacita mereka guna kaedah itu.
 
“Mereka pernah duduk dalam PAS sejak sekian lama dan sepatutnya mereka memahami cara perjuangan kita tetapi sikap begitu tidak adil,” katanya.
 
Beliau berkata, pada PRU14, PAS menentang Umno membabitkan kira-kira 80 peratus di kerusi Parlimen dan Dun di Johor.
 
“Untuk kerusi Parlimen, PAS bertanding 20 kerusi yang mana 11 daripada berlawan dengan Umno dan selebihnya MCA dan MIC.
 
“Manakala, kerusi DUN, PAS bertanding di 41 kerusi dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 31 kerusi PAS berlawan dengan Umno dan bakinya bertanding dengan MCA dan MIC,” katanya.
 
 

Bersedia untuk kalah PH

Oleh Mohd Rani Mohamad
 
 
Paling utama, PH perlu bersedia menghadapi kekalahan kerana kekenduran isu Anwar yang diganti dengan cara berpolitik Dr Mahathir.
 
 


Mengatakan Pakatan Harapan (PH) akan menang hanya satu kempen. Kalau PH kalah dikatakan penipuan. Semua ini adalah alasan PH dan sebenarnya PH sendiri ragu-ragu mampu menempuh pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan berjaya.

Kalau ada yang menyatakan sebab-sebab PH akan menang, ini merupakan percanggahan pendapat kerana PH sepatutnya bersedia menghadapi kekalahan.

Sebelum mengulas pendapat kecil ini, kita perlu sedar kehadiran orang ramai di ceramah-ceramah hanya memberi kesan kecil kepada pertambahan undi.

Kadang-kadang kita melihat PH seakan-akan berjaya mendahului dalam kempen mereka, berjaya memburukkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dengan kekuatan mereka di media sosial, malah media antarabangsa, tuduhan korupsi dan salah guna kuasa oleh Datuk Seri Najib Razak dijadikan punca kekalahan BN dan kemenangan PH.

Namun, bagi mereka yang seakan-akan sudah mahu meraikan kemenangan PH harus sedar semua isu itu, sekiranya tidak dapat diterjemahkan kepada undi, maka kekalahan pasti menanti. Apapun, PH perlu bersedia tewas pada PRU14.

Tsunami Melayu diharapkan tsunami yang melanda PKR

Harapan PH jelas tertumpu kepada tsunami Melayu. Mereka membawa masuk Tun Dr Mahathir Mohamad juga untuk mendapatkan sokongan Melayu yang dikatakan menjadi penghalang kejayaan merebut Putrajaya pada PRU13.

Namun, sebaliknya berlaku. Tsunami Melayu tidak akan berlaku. Sebaliknya, PAS yang membawa ideologi Islam mempunyai ramai pengikut beragama Islam dan Melayu adalah penghalang kepada tsunami Melayu.

Dengan laungan PAS untuk menentang PH, undi orang Melayu berbelah bahagi dan pecahan ini tidak memungkinkan tsunami Melayu berlaku.

PAS pada PRU14 lebih cenderung membalas dendam terhadap PH, khususnya kumpulan “Anwarisme” yang menubuhkan Amanah. Kehadiran Amanah sekali lagi memberi ketetapan tsunami Melayu tidak akan berlaku.

Pergolakan dalaman

Di samping itu, pergolakan dalaman PKR semakin nyata. “Hanya ada kem saya”, kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seakan-akan mengakui pendapat bahawa pergolakan dalam PKR semakin ketara.

Kumpulan yang mahu menjatuhkan satu sama lain seakan-akan menggenggam bara api, biar sampai jadi arang, sudah berkerat rotan mahu menjatuhkan satu sama lain, biar pada waktu PRU sebegini.
Perbalahan pelantikan calon PKR sendiri sudah menyuluhkan kekalahan PH.

Dalam PPBM juga begitu, suara yang sebelum ini kuat, kini muncul menentang PPBM. Parti yang masih longgar pentadbirannya, kedudukan cawangan dan bahagian hanya akan menyulitkan PH, tetapi memberi banyak harapan kepada BN.

Pertandingan 3 penjuru

PAS dengan terbuka mengumumkan calon mereka menentang PH dan BN. Penyokong tegar PAS antara punca kemenangannya pada PRU13, tetapi hari ini PAS terpisah dengan dendam besar kepada PH, khususnya PKR dan Amanah.

Sudah semestinya mereka berkempen untuk menjatuhkan PH. Pastinya akan dihasut kepimpinan PAS untuk tidak mengundi PH.

Isu 1MDB

Isu ini sudah lusuh atau tidak difahami rakyat terbanyak menjadi sebab ia tidak memberi perubahan undi Melayu khususnya.

Baru-baru ini sahaja, “counter attack” dilancarkan menerusi contoh siri penerangan 1MDB dalam Bicara Subang tanpa kehadiran kepimpinan pembangkang untuk mempersoalkan apa yang dipertikaikan mereka secara terbuka dan dijadikan senjata untuk menghentam Najib.

Ini semestinya akan dijadikan senjata kempen PRU14 oleh pembangkang.

DAP beri peluang kepada komunis Melayu

Sentimen ini adalah satu bentuk indoktrinasi yang diserap bertahun lamanya, khususnya sepanjang 22 tahun Dr Mahathir memerintah.

Tidak mudah mengasingkannya daripada pemikiran orang Melayu, khususnya di luar bandar. Penolakan terhadap DAP ini pasti memberi kesan kepada PH.

Kehadiran Dr Mahathir dengan kepimpinan DAP, khususnya Lim Kit Siang pasti akan memberi gambaran bercelaru kepada pengundi. Mereka akan keliru dan kekeliruan ini digunakan sebagai strategi kempen BN.

Dr Mahathir menggantikan Anwar

Paling utama, PH perlu bersedia menghadapi kekalahan kerana kekenduran isu Anwar yang diganti dengan cara berpolitik Dr Mahathir.

Amat jelas, Dr Mahathir tidak pernah berjuang dalam kerangka tidak mempunyai kuasa dan masih merasakan pengaruhnya bertambah, sedangkan ia hakikat yang perlu diterima – hilang kuasa dan pengaruh.

Musuh PKR hari ini dijulang sedemikian rupa, tetapi memualkan pejuang dan penyokong PKR. Hari ini berlaku demonstrasi membantah Dr Mahathir bertanding atas tiket PKR untuk menunjukkan kemarahan penyokong, khususnya dari gerakan Reformasi.

Bukan itu sahaja, Dr Mahathir adalah liabiliti dengan kesalahan yang pernah dibuat sehingga digelar “Mahazalim” dan “Mahafiraun”. Pendedahan kesalahan beliau menjadi bahan kempen BN. Ini memberi mereka lebih banyak peluru untuk menyerang PH.

Bersedialah untuk kalah PH. Jangan pula menyalahkan kekalahan itu kepada penipuan. Tuduhan penipuan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kerap dibuat, sungguhpun 52% undi popular menyebelahi pembangkang.

*Mohd Rani Mohamad ialah pembaca FMT.

Syor IPT beri cuti khas kepada mahasiswa balik mengundi

Oleh Siti Fatimah Ishak


PEMBINA minta mahasiswa undi calon berwibawa untuk jadi pemimpin

BANGI –  Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mengajak semua mahasiswa seluruh negara untuk mengambil peranan turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

PEMBINA yang merupakan pertubuhan bebas, tidak terikat dengan mana-mana blok kepartian menegaskan, mengundi adalah tanggungjawab yang amat penting dalam melakukan perubahan kepada masyarakat.

Serentak itu, Presidennya, Mohamad Azam Asri mengesyorkan mahasiswa yang berkelayakan mengundi mesti memilih calon yang berwibawa untuk dijadikan pemimpin.

Antaranya calon tersebut mestilah komited untuk membawa agenda Islam sebagai agenda utama negara.

“Mahasiswa kena bijak, pastikan juga calon yang dipilih tidak terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa. Malah, calon tersebut juga mesti tegas mempertahankan identiti negara iaitu Islam, Melayu/Bumiputera dan Raja-raja,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dalam masa sama, Azam menyeru kepada pihak pentadbiran Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengambil inisiatif memberikan perlepasan cuti khas kepada mahasiswa.

“Kita minta berilah cuti sekurang-kurangnya tiga hari kepada mahasiswa bagi membolehkan mereka pulang mengundi. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) antara IPTA awal yang telah mengeluarkan notis perlepasan cuti khas kepada mahasiswa.

“Tambahan lagi, cuti yang kurang daripada dua hari sahaja akan sedikit sebanyak memberikan kesukaran kepada mahasiswa yang terpaksa pulang jauh ke kampung halaman terutamanya mahasiswa yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

“Cuti tiga hari adalah tempoh yang sangat terbaik bagi memberikan peluang kepada mahasiswa untuk pulang mengundi dengan selesa. PEMBINA melihat perkara ini cukup penting bagi memastikan seluruh mahasiswa secara maksima dan serius dalam proses pilihan raya kali ini,” katanya.


Umat Islam kena guna agama sebagai panduan pilih wakil rakyat Parlimen Iskandar Puteri

ISMA WEB

Calon mewakili parti yang tentang usaha martabatkan Islam di Malaysia



ISKANDAR PUTERI – Ahli dan penyokong PAS serta umat Islam di kawasan Parlimen Iskandar Puteri yang dulunya dikenali sebagai Parlimen Gelang Patah, dinasihatkan menggunakan Islam sebagai panduan kepada mereka memilih calon bukan muslim.

Panduan itu perlu digunakan oleh umat Islam, khususnya ahli dan penyokong PAS di kawasan, sama ada peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), di mana tiada calon beragama Islam bertanding.

Penyelia Pusat Aduan Rakyat DUN Kota Iskandar, Johor, Ustaz Sallehuddin Mohd Dahiran berkata, beliau menerima banyak pertanyaan daripada ahli dan penyokong, termasuk umat Islam, selepas PAS tidak meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri.

“Siapakah yang kami hendak undi adalah persoalan yang sering ditanya oleh ahli, penyokong dan umat Islam kepada saya, jika tiada calon PAS di peringkat Parlimen, seperti di Iskandar Puteri. 

Mereka telah terkesan dengan DAP yang lebih dikenali sebagai anti-Islam dan mereka sangat berat untuk menyokong DAP, sementelahan PAS juga sudah tidak ada hubungan dengan DAP.

“Dan mereka juga tidak dapat menerima MCA. Maknanya, kedua-dua calon iaitu Datuk Jason Teoh yang mewakili MCA dan Lim Kit Siang yang mewakili PKR, tidak dapat diterima.

“Datuk Jason Teoh pada peringkat Iskandar Puteri ini ada rekod-rekod yang dilihat oleh penduduk tempatan, sesuatu yang lebih berat untuk mereka terima dan sokong. Sebab itu, mereka mengemukakan pertanyaan siapa yang mereka hendak pilih,” katanya kepada Ismaweb.net, di sini, hari ini.


Beliau yang juga calon PAS kerusi DUN Kota Iskandar berkata, PAS kawasan Gelang Patah pernah mengemukakan permohonan kepada ibu pejabat parti untuk bertanding di Parlimen Iskandar Puteri, demi memenuhi kehendak ahli dan penyokong parti serta umat Islam.

“Tapi peringkat pusat setelah beberapa kajian yang mereka buat, mungkin komposisi Melayu yang rendah dan sebab-sebab lain, mereka tidak meluluskan kita menghantar wakil di sini.

“Sebagai ahli PAS kami mendengar dan taat apa kehendak pusat, dan peringkat pusat juga telah mengatakan kita tidak sepatutnya merosakkan undi. Maknanya ahli dan penyokong PAS perlu mengundi calon Parlimen,” katanya.

Sebagai penyelesaian kepada masalah ini, Ustaz Sallehuddin menasihatkan ahli, penyokong dan pengundi beragama Islam di Iskandar Puteri, supaya menggunakan Islam sebagai panduan untuk memilih wakil rakyat mereka.

“Sekiranya calon bukan Islam ini mempunyai manfaat lebih besar kepada Islam, maka calon itulah sepatutnya menjadi pilihan… jika seimbang iaitu sama ada memberi manfaat atau tidak, kita ambil langkah kedua iaitu mana di antara keduanya yang kurang memberi mudarat kepada Islam itulah yang menjadi pilihan kita.

“Jadi inilah saya rasa kita boleh menjadikan politik ini satu aktiviti yang mengembirakan, yang menyeronok sekarang ini. Ahli dan penyokong PAS sekarang ini bebas. Mereka mungkin boleh menjadi ulama, boleh ijtihad sekarang ini, tak perlu keputusan daripada pihak atasan.

“Sekarang ini mereka bebas membuat pilihan. Kita tak hadkan mesti undi sini atau undi sana. Kita bebaskan mereka untuk memilih berdasarkan kepada panduan-panduan umum itu,” katanya.

Menjawab soalan mengenai kedua-dua calon bukan Islam yang bertanding di Parlimen Iskandar Puteri itu, beliau bagaimanapun berkata, PAS membebaskan ahli dan penyokong dalam membuat pilihan, siapa yang lebih baik di antara kedua-dua individu itu.

“Saya yakin ahli PAS berpeluang menjadi ahli politik yang matang untuk membuat pilihan. Ahli PAS mesti buat kajian, calon ini bagaimana, calon itu bagaimana…selama 10 hari kita berkempen.. boleh buat kajian, boleh tanya ustaz-ustaz, mengenai masalah itu.

“Lihat juga kegiatan harian mereka (calon) bagaimana. Jadi pada masa itulah pengundi Islam ada 10 hari untuk membuat rumusan siapa yang mereka hendak pilih. Daripada keputusan itu insya-Allah menjadi ibadat. Masing-masing bertanggungjawab kepada Allah. Setelah membuat pilihan, maka undilah dia, untuk memberi manfaat kepada Islam,” katanya.