Ahad, 29 April 2018

PAS nafi bekerjasama dengan Umno

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: PAS Johor kesal dengan tindakan bekas rakan seperjuangan yang memainkan sentimen kononnya wujud kerjasama antara parti itu dan Umno dalam siri kempen mereka.
 
Pesuruhjaya PAS negeri, Abdullah Hussin berkata, sentimen dimainkan kononnya PAS sudah bekerjasama dengan Umno sejak berakhir PRU13 dan berlanjutan hingga kini.
 
“Sejak 2013 lagi, momokan PAS bersama Umno, kemudian 2014 hingga 2017 juga serupa dan kini 2018 kita (PAS) lawan Umno.
 
“Jadi, maksudnya kita (PAS) mahu kata ini adalah momokan dari 2013 sampai sekarang yang menyebabkan kita dalam kalangan sahabat berpecah tetapi sebenarnya itu tidak benar,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat PAS negeri, di sini, hari ini, lapor Sinar Harian.
 
Abdullah berkata, sepatunya bekas rakan seperjuangannya memahami cara perjuangan PAS kerana mereka pernah bekerjasama sebelum ini.
 
“Kita mendengar laporan tersebut (PAS bekerjasama dengan Umno) tetapi kita sangat dukacita mereka guna kaedah itu.
 
“Mereka pernah duduk dalam PAS sejak sekian lama dan sepatutnya mereka memahami cara perjuangan kita tetapi sikap begitu tidak adil,” katanya.
 
Beliau berkata, pada PRU14, PAS menentang Umno membabitkan kira-kira 80 peratus di kerusi Parlimen dan Dun di Johor.
 
“Untuk kerusi Parlimen, PAS bertanding 20 kerusi yang mana 11 daripada berlawan dengan Umno dan selebihnya MCA dan MIC.
 
“Manakala, kerusi DUN, PAS bertanding di 41 kerusi dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 31 kerusi PAS berlawan dengan Umno dan bakinya bertanding dengan MCA dan MIC,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: