Ahad, 29 April 2018

Umat Islam kena guna agama sebagai panduan pilih wakil rakyat Parlimen Iskandar Puteri

ISMA WEB

Calon mewakili parti yang tentang usaha martabatkan Islam di Malaysia



ISKANDAR PUTERI – Ahli dan penyokong PAS serta umat Islam di kawasan Parlimen Iskandar Puteri yang dulunya dikenali sebagai Parlimen Gelang Patah, dinasihatkan menggunakan Islam sebagai panduan kepada mereka memilih calon bukan muslim.

Panduan itu perlu digunakan oleh umat Islam, khususnya ahli dan penyokong PAS di kawasan, sama ada peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), di mana tiada calon beragama Islam bertanding.

Penyelia Pusat Aduan Rakyat DUN Kota Iskandar, Johor, Ustaz Sallehuddin Mohd Dahiran berkata, beliau menerima banyak pertanyaan daripada ahli dan penyokong, termasuk umat Islam, selepas PAS tidak meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri.

“Siapakah yang kami hendak undi adalah persoalan yang sering ditanya oleh ahli, penyokong dan umat Islam kepada saya, jika tiada calon PAS di peringkat Parlimen, seperti di Iskandar Puteri. 

Mereka telah terkesan dengan DAP yang lebih dikenali sebagai anti-Islam dan mereka sangat berat untuk menyokong DAP, sementelahan PAS juga sudah tidak ada hubungan dengan DAP.

“Dan mereka juga tidak dapat menerima MCA. Maknanya, kedua-dua calon iaitu Datuk Jason Teoh yang mewakili MCA dan Lim Kit Siang yang mewakili PKR, tidak dapat diterima.

“Datuk Jason Teoh pada peringkat Iskandar Puteri ini ada rekod-rekod yang dilihat oleh penduduk tempatan, sesuatu yang lebih berat untuk mereka terima dan sokong. Sebab itu, mereka mengemukakan pertanyaan siapa yang mereka hendak pilih,” katanya kepada Ismaweb.net, di sini, hari ini.


Beliau yang juga calon PAS kerusi DUN Kota Iskandar berkata, PAS kawasan Gelang Patah pernah mengemukakan permohonan kepada ibu pejabat parti untuk bertanding di Parlimen Iskandar Puteri, demi memenuhi kehendak ahli dan penyokong parti serta umat Islam.

“Tapi peringkat pusat setelah beberapa kajian yang mereka buat, mungkin komposisi Melayu yang rendah dan sebab-sebab lain, mereka tidak meluluskan kita menghantar wakil di sini.

“Sebagai ahli PAS kami mendengar dan taat apa kehendak pusat, dan peringkat pusat juga telah mengatakan kita tidak sepatutnya merosakkan undi. Maknanya ahli dan penyokong PAS perlu mengundi calon Parlimen,” katanya.

Sebagai penyelesaian kepada masalah ini, Ustaz Sallehuddin menasihatkan ahli, penyokong dan pengundi beragama Islam di Iskandar Puteri, supaya menggunakan Islam sebagai panduan untuk memilih wakil rakyat mereka.

“Sekiranya calon bukan Islam ini mempunyai manfaat lebih besar kepada Islam, maka calon itulah sepatutnya menjadi pilihan… jika seimbang iaitu sama ada memberi manfaat atau tidak, kita ambil langkah kedua iaitu mana di antara keduanya yang kurang memberi mudarat kepada Islam itulah yang menjadi pilihan kita.

“Jadi inilah saya rasa kita boleh menjadikan politik ini satu aktiviti yang mengembirakan, yang menyeronok sekarang ini. Ahli dan penyokong PAS sekarang ini bebas. Mereka mungkin boleh menjadi ulama, boleh ijtihad sekarang ini, tak perlu keputusan daripada pihak atasan.

“Sekarang ini mereka bebas membuat pilihan. Kita tak hadkan mesti undi sini atau undi sana. Kita bebaskan mereka untuk memilih berdasarkan kepada panduan-panduan umum itu,” katanya.

Menjawab soalan mengenai kedua-dua calon bukan Islam yang bertanding di Parlimen Iskandar Puteri itu, beliau bagaimanapun berkata, PAS membebaskan ahli dan penyokong dalam membuat pilihan, siapa yang lebih baik di antara kedua-dua individu itu.

“Saya yakin ahli PAS berpeluang menjadi ahli politik yang matang untuk membuat pilihan. Ahli PAS mesti buat kajian, calon ini bagaimana, calon itu bagaimana…selama 10 hari kita berkempen.. boleh buat kajian, boleh tanya ustaz-ustaz, mengenai masalah itu.

“Lihat juga kegiatan harian mereka (calon) bagaimana. Jadi pada masa itulah pengundi Islam ada 10 hari untuk membuat rumusan siapa yang mereka hendak pilih. Daripada keputusan itu insya-Allah menjadi ibadat. Masing-masing bertanggungjawab kepada Allah. Setelah membuat pilihan, maka undilah dia, untuk memberi manfaat kepada Islam,” katanya.


Tiada ulasan: