PUTRAJAYA: PKR tidak sepatutnya menuding jari terhadap Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) berhubung kejadian beberapa calonnya tidak layak
bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas kesilapan mereka
sendiri.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata
tuduhan bahawa SPR mempunyai agenda tertentu dengan mengubah peraturan
penamaan calon adalah tidak berasas kerana SPR telah menjalankan
tanggungjawabnya dengan baik.
"Mereka menuding jari terhadap SPR sama seperti satu jari tunjuk ke depan dan empat lagi jari menunjuk diri sendiri.
"Ikut dan akurlah undang-undang SPR dan saya percaya SPR juga ikut dan
akur dengan undang-undang. Kalau kamu ada masalah parti, selesaikan
masalah parti kamu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis
pecah tanah tempat letak kereta bertingkat kuarters Apartmen Fasa 5 dan 6
di Presint 9, di sini hari ini.
Semasa proses penamaan calon PRU14 semalam, beberapa calon PKR hilang
kelayakan bertanding antaranya Naib Presidennya Tian Chua yang tidak
dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu apabila pencalonannya ditolak
oleh SPR kerana telah dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina
polis.
SPR turut menolak pencalonan calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kuala Balah Dr Mohd Hafidz Rizal kerana disahkan bankrap, manakala
calon PKR DUN Rantau Dr S. Streram gagal mengemukakan borang pencalonan
kerana tidak membawa pas calon.
Tengku Adnan berkata pakatan pembangkang juga sebelum ini dilihat cuba
mencari alasan teknikal untuk mengharamkan Umno menjelang PRU14
berikutan tindakan 16 anggota Umno yang memfailkan semakan kehakiman
bagi memohon parti itu dibubarkan.
"Tetapi dia lupa dalam Perlembagaan Umno, ada klausa (menyebut) anggota
yang membawa Umno ke mahkamah secara automatik akan digugurkan,"
katanya.
Dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan tiga minggu
menjelang PRU14 itu, kumpulan tersebut mendakwa kelulusan Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk Umno menangguhkan pemilihannya ke
tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan