Khamis, 2 November 2017

Wan Muhammad Azri akan bayar ganti rugi Anwar - Latheefa

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarang KL Pos Media & Production Sdn. Bhd, Wan Muhammad Azri Wan Deris mengesahkan akan membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 berserta faedah empat peratus dan kos berjumlah RM60,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Peguam Anwar, Latheefa Koya memberitahu pemberita di Mahkamah Tinggi, perkara tersebut dimaklumkan hari ini oleh Wan Muhammad Azri melalui peguam Irna Shahana Samsudin yang mewakilinya.
 
Sehubungan itu Timbalan Pendaftar, Husna Dzulkifli menetapkan 4 Disember ini, tarikh akhir untuk mendengar prosiding petisyen kebankrapan terhadap Wan Muhammad Azri ekoran kegagalan beliau membayar jumlah tersebut kepada bekas Ketua Pembangkang itu.
 
Anwar memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri pada 21 Mac 2013 kerana mendakwa blogger itu menyiarkan artikel dan paparan video seks sejenis secara berturut-turut dari 16 Mac hingga 20 Mac 2013 di blog miliknya, www.papagomo.com.
 
Pada 28 Februari 2014, Hakim Rosilah Yop memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar jumlah ganti rugi berserta kos kepada Ketua Umum PKR itu selepas mendapati Anwar berjaya membuktikan kes saman fitnahnya terhadap beliau.
 
 

Saifuddin Nasution Ganti Salleh YDP MAIPP ?

 
 



Penasihat stategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dijangkakan bakal dilantik sebagai Yang Dipertua baharu Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) bagi menggantikan Datuk Salleh Man, ADUN PAS Permatang Pasir, lapor Malaysiakini yang mendapat sumber daripada kerajaan negeri.

“Menurut sumber lagi, lantikan itu kini bagaimanapun masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saifuddin kini berkhidmat sebagai penasihat stategik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Ketika Salleh mengangkat sumpah jawatan itu, PAS masih bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

“Salleh juga dilihat sebagai wakil tunggal PAS dalam kerajaan negeri yang masih bertahan sehingga ke hari ini walaupun kedua-dua parti itu telah pun menjadi seteru,”lapor portal itu.

Salleh ketika dihubungi berkata beliau setakat ini tidak menerima apa-apa maklumat berhubung perkara itu.

Namun, katanya lagi, tempoh jawatannya di MAIPP akan tamat hujung tahun ini dan mengakui sudah memegang jawatan itu untuk satu tempoh yang lama.

“Sama ada kontrak saya disambung atau tidak, terpulang kepada kerajaan negeri,” katanya

Tiada Mesyuarat Agung, 8 Bahagian PPBM Buat Laporan Kepada RoS





PUTRAJAYA: Sebanyak lapan bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Johor hari ini membuat laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung kegagalan kepimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti.

Lapan bahagian terbabit termasuk Bakri, Kluang, Semberong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Ledang, Batu Pahat dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Semberong menyerahkan laporan itu kepada wakil ROS di sini.

Mantan Penyelaras PBPM Bahagian Kluang, Arjuna Putra Ali, berkata beberapa laporan sudah dibuat kepada ROS, antaranya berhubung kegagalan semua peringkat cawangan dan bahagian PPBM mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) selepas setahun ditubuhkan.

“Sehingga kini tiada notis dikeluarkan oleh kepimpinan tertinggi PPBM mengarahkan AGM diadakan, sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli mengenai status dan kedudukan sebenar parti termasuk ahli jawatankuasa yang memegang jawatan dalam parti.

“Kami mahu kepimpinan tertinggi parti mengadakan AGM bagi peringkat cawangan di seluruh negara dan sekiranya gagal, kami beranggapan parti ini tidak sah di sisi undang-undang,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan laporan kepada ROS, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha PPBM Bahagian Semberong, Nazaruddin Md Zen; Ketua Penerangan PPBM Bahagian Kluang,

Datuk Fadel Alwi dan Mantan Ketua PPBM Bahagian Simpang Renggam, Azmi Arshad.

Pada 9 September 2016, PPBM diberi sijil kelulusan pendaftaran parti daripada ROS di Putrajaya, diterima oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Datuk Seri Mukhriz Mahathir; dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mengikut perlembagaan parti, selaras dengan Akta Pertubuhan 1967 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, satu Mesyuarat Agung peringkat cawangan dan bahagian wajib diadakan selepas setahun PPBM ditubuhkan secara rasmi.

Selain itu, kata Arjuna Putra, PPBM juga gagal mewartakan penyata kewangan termasuk jumlah dana yang diterima hasil sumbangan Pakatan Harapan khususnya DAP, bagi menaja pelbagai program peringkat cawangan.

Beliau yang masih memegang jawatan Ketua Penerangan PPBM Bahagian Kluang, berharap parti itu mengemukakan jumlah sebenar ahli dan jumlah kutipan yuran keahlian termasuk yang dibelanjakan kerana tiada sebarang akaun yang diaudit dikemukakan pihak kepimpinan.

“Sekiranya masalah ini masih tidak ditangani PPBM, kami tidak akan teragak-agak menggerakkan semua cawangan di seluruh negara untuk bangkit bersama bagi membuat laporan kepada ROS berhubung kepincangan barisan kepimpinan tertinggi PPBM,” katanya

Habuan seks: PAS buat laporan polis desak tindakan tegas ke atas guru

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS hari ini membuat laporan polis bagi meminta siasatan dilakukan berhubung dakwaan seorang pemimpin cawangan MIC yang meminta habuan seks daripada seorang remaja. 
 
Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), N Balasubramaniam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul pagi tadi. 
 
Menurut Balasubramaniam, tindakan tegas perlu dikenakan ke atas bekas pemimpin MIC itu yang juga seorang guru, jika didapati bersalah. 
 
"Bekas pemimpin cawangan MIC Batang Berjuntai itu juga seorang guru dan bagaimana boleh buat tawaran kepada pelajarnya (untuk melakukan seks).
 
"Polis dan Kementerian Pendidikan perlu ambil tindakan tegas dan menyiasat pihak lain yang terlibat sama dalam kejadian itu,” katanya.
 
Turut serta bersama beliau ialah Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmah dan Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Salleh.
 
Isu habuan seks itu mendapat perhatian sejak beberapa hari lalu susulan tersebarnya rakaman perbualan antara lelaki tersebut dengan ibu seorang remaja perempuan. 
 
Lelaki yang berusia 56 tahun dilapor menjanjikan pekerjaan kepada remaja terbabit, dan sebagai tukaran, remaja itu perlu menyerahkan tubuhnya.
 
Dalam rakaman audio berdurasi 8 minit 49 saat itu, lelaki terbabit mendakwa pernah membantu ramai gadis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapat pekerjaan, selepas mereka mengadakan hubungan seks dengannya.
 
Lelaki itu dikatakan telah meletakkan jawatan dalam parti selepas rakaman perbualannya tersebar.
 
Sejumlah laporan polis juga dibuat anggota MIC dari seluruh negara mendesak siasatan terhadap tertuduh.
 
Terbaru hari ini, seorang lelaki tampil mendedahkan dirinya memiliki 60 rakaman perbualan milik bekas pemimpin cawangan MIC itu. 

Selamatkan Tun M : Clare Rewcastle-Brown & Ambiga ‘Bersengketa’

 
 


KUALA LUMPUR – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) hari ini tampil membuat laporan polis terhadap bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga Sreenevasan kerana bersekongkol dengan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown memfitnah UMNO membiayai PAS sebanyak RM 90 juta bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 14 akan datang.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sehingga kini tiada sebarang komen diterima dari Ambiga berhubung perkara tersebut, malah ada di antara media pro pembangkang sudah mula memainkan isu agar persengketaan di antara Ambiga dan Clare ini tidak melibatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sudah tidak hairan perkara tersebut kerana media – media pro pembangkang sudah memainkan isu supaya tidak menuding jari kepada Tun Mahathir berhubung perkara tersebut, dan meminta agar Tun Mahathir tidak disabitkan sama sekali.

“Namun siapa lagi jika bukan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang menghantar dokumen ke luar negara? Beliau, seperti mana kita semua tahu, merupakan seorang pentaksub Tun Mahathir.

“Mereka akan putar belit cerita. Ia tidak mustahil dan terpulang kepada mereka. Apa yang kita mahu sekarang adalah kita mahu supaya undang – undang diutamakan,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Malah, jelas Zulkarnain, pihak GAUM tampil membuat laporan polis pada kali ini kerana cukup yakin tiada sesen pun dana daripada UMNO disalurkan kepada PAS.

“Kita kenal bagaimana kepribadian pemimpin PAS ini, kita cukup tahu. Mereka mempunyai inisiatif mereka sendiri untuk buat apa sahaja. Mereka pegang Kelantan, maka mereka sudah mempunyai sumber kewangan di sana. Kenapa mereka mahu menagih wang dari UMNO?,” soalnya.

Sebelum ini, Pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown menamakan be­kas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemimpin Pas menerima wang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Brown menjelaskan, bekas Pengerusi Bersih itu memberitahu mengenai Najib, Pas dan isu 1MDB kepadanya pada Julai tahun lalu – klxpress.com

Dr Maza Double Standard Bela Tun M – Dr Kamarul

 
 


Dr Kamarul Zaman Yusoff

Semalam, 1 November 2017, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA), membela bekas Perdana Menteri yang kini adalah Penasihat PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, dari tuduhan sebagai “pengkhianat Melayu”.

Kata Dr MAZA: “Setahu dan seingat saya, ditambah dengan pengenalan saya secara dekat dengan Tun M sejak tahun 2007, beliau lebih fikir tentang nasib orang Melayu dibandingkan ramai yang lain. Saya banyak kali berbual secara peribadi dengan beliau sejak dahulu. Saya kata ‘hati nurani beliau sangat Melayu’.”

Tidak cukup bagi sesiapa yang mahu membela Tun Dr Mahathir dalam soal ini, apatah lagi jika beliau mempunyai latarbelakang akademik, untuk menjustifikasikannya secara mudah dengan menyebut istilah “setahu dan seingat saya” atau berdasarkan “pengenalan saya secara dekat dengan Tun M sejak tahun 2007”.

Sesiapa sahaja yang mahu membela Tun Dr Mahathir dalam soal ini perlu memberi data-data konkrit mengenai sejauh manakah nasib orang Melayu terbela di bawah pemerintahan beliau dari 1981 ke 2003 bagi menyokong hujah bahawa beliau “lebih fikir tentang nasib orang Melayu dibandingkan ramai yang lain”.

Sesiapa sahaja yang mahu membela Tun Dr Mahathir dalam soal ini juga perlu mengulas pelbagai ucapan dan tulisan beliau yang sebelum ini begitu kuat sekali menyelar orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP sebagai “pengkhianat Melayu” tetapi kini beliau sendiri yang bersekongkol dengan DAP.

Ini kerana tuduhan Tun Dr Mahathir “pengkhianat Melayu” timbul sebagai reaksi kepada persekongkolan beliau dengan DAP sedangkan beliau, dalam tulisan pada 6 Jun 2013 contohnya, terang-terang menyebut DAP adalah parti rasis yang membenci orang Melayu dan mahu mendominasi politik Malaysia.

Bekas Timbalan Presiden UMNO yang kini adalah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri pun pernah menyebut dalam ucapan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 1 Disember 2011 bahawa “orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa”.

Sebab itulah sebarang pembelaan ke atas Tun Dr Mahathir yang tidak disertakan rekod terbela atau tidak terbelanya nasib orang Melayu di bawah pemerintahan beliau dari 1981 ke 2003, serta yang tidak disertakan penjelasan mengenai persekongkolan beliau dengan DAP, adalah pembelaan yang lemah.

Pembelaan Dr MAZA ke atas Tun Dr Mahathir dari tuduhan sebagai “pengkhianat Melayu”, tanpa disertakan pembelaan sama terhadap komitmen Tun Dr Mahathir terhadap Islam, juga secara tidak langsung menjadi petunjuk yang jelas bahawa, bagi Dr MAZA, Tun Dr Mahathir tidak boleh dibela dari sudut Islam.

Sangat sukar dijumpai ucapan atau tulisan Dr MAZA yang menjulang Tun Dr Mahathir dari sudut komitmen Tun Dr Mahathir terhadap Islam, malah yang akan ditemui adalah rekod beliau mengkritik Tun Dr Mahathir, tetapi hanya secara sangat lembut atau terselindung, walaupun kesalahan Tun Dr Mahathir besar.

Sebagai contohnya, pernah berlegar dalam dunia maya satu waktu dahulu rakaman ucapan Tun Dr Mahathir dalam Konvensyen Kebangsaan Politik dan Patriotisme (K2P) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak, pada 26 Februari 2012 yang mendakwa hukum hudud tidak terdapat dalam al-Qur’an.

Ucapan penuh Tun Dr Mahathir ini adalah berbunyi: “Kita harus tahu apa dianya hukum ini. Yang pertamanya, hukum hudud ini dibentuk oleh ahli-ahli feqah. Dia tidak terdapat dalam al-Qur’an.

Dalam Qur’an ada hukum-hukum yang tidaklah begitu keras seperti hukum hudud ciptaan ahli-ahli feqah. Sebab itu apabila kita nak laksanakan sesuatu kita harus rujuk kepada Qur’an, kerana itulah punca kepada, asas kepada, agama kita.”

Bagaimanapun, reaksi Dr MAZA pada 1 Mac 2012 terhadap ucapan Tun Dr Mahathir ini sangat lembut sekali, iaitu Tun Dr Mahathir silap menggunakan istilah; dan tiada reaksi lanjutan diberikan oleh Dr MAZA bila Tun Dr Mahathir membakulsampahkan permintaan beliau supaya kenyataan tersebut diperbetulkan.

Reaksi penuh Dr MAZA ini adalah berbunyi: “Setelah saya tonton video Tun Mahathir tersebut, saya dapati ada kesilapan dalam menggunakan istilah. Tun Mahathir mungkin memahami hudud itu sebagai perbahasan fekah berkaitan hudud, maka beliau menyatakan hudud tiada dalam al-Quran.

Namun dalam masa yang sama beliau menyebut hanya ada beberapa hukum yang disebut secara umum. Di sini kesilapan beliau dalam menggunakan perkataan hudud tiada dalam al-Quran, sedangkan asas hukum tersebut memang ada dalam al-Quran. Harap Tun Mahathir dapat membetulkan kenyataan tersebut.”

Satu contoh lagi ialah bila Tun Dr Mahathir dirakamkan membuat satu kenyataan yang disiarkan dengan agak meluas oleh portal-portal berita tempatan pada 19 Februari 2017 yang menghina hukum sebat dalam Islam dengan berkata hukum sebat 100 kali ini akan menyebabkan mereka yang disebat mati.

Kenyataan penuh Tun Dr Mahathir ini adalah berbunyi: “Lagipun Islam menyuruh kita laku adil kepada semua. Ini nak sebat orang sampai 100 kali, mati, kalau sebat 100 kali. Kalau masuk jel sampai 30 tahun, habislah riwayat dia. Ini bukan cara Islam. Cara Islam ialah cara yang adil dan bertimbang-rasa.”

Reaksi Dr MAZA pada 23 Februari 2017 terhadap kenyataan Tun Dr Mahathir ini juga sangat lembut sekali, iaitu sekadar meminta “tokoh tertentu” ini (lihat bagaimana Dr MAZA menyembunyikan identiti Tun Dr Mahathir dari diketahui) tidak “beri gambaran yang salah tentang hukum Islam yang sebenar” sahaja.

Reaksi penuh Dr MAZA ini adalah berbunyi: “Kenyataan tokoh tertentu bahawa sebat zina dalam Islam boleh membawa mati adalah sama sekali salah dan tidak benar. Ia tersasar dari ilmu pengetahuan yang sahih. Tokoh berkenaan perlu teliti sebelum membuat kenyataan. Dia boleh kritik di sudut lain seperti isu politik dan cara undang-undang itu angkat. Namun, jangan beri gambaran yang salah tentang hukum Islam yang sebenar.”

Ringkasnya, Dr MAZA tidak jujur, malah mengamalkan sikap double standard, dalam komentar-komentar beliau terhadap Tun Dr Mahathir, dan ini tidak sepatutnya wujud pada seorang Mufti yang mempunyai latarbelakang akademik.

*Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

P. Pinang umum bonus RM2,000 kepada penjawat awam negeri berdisiplin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini mengumumkan bonus RM2,000 untuk penjawat awam negeri yang mempunyai rekod disiplin baik.
 
Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet 2018 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berkata bayaran bonus itu akan dibuat akhir tahun ini kepada hampir 8,000 penjawat awam negeri.
 
"Mereka yang tidak mempunyai rekod disiplin yang baik seperti mana yang ditentukan oleh Setiausaha Kerajaan negeri akan dibayar RM1,000," katanya dalam DUN hari ini. 
 
Beliau berkata bonus RM2,000 tunai ini juga adalah berkuat kuasa terhadap pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai serta agensi kerajaan negeri.
 
Selain itu, Guan Eng berkata kerajaan negeri juga akan memberikan bonus tunai RM300 kepada sekolah agama, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta guru sekolah persendirian Cina.
 
"Mereka di sekolah tahfiz, sekolah pondok dan tadika Islam akan menerima saguhati RM200 tunai," katanya.
 
 

Amanah ibarat 'hidup segan mati tak mahu', mustahil ganti PAS di Kelantan - Penganalisis

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti serpihan PAS, Amanah ibarat 'hidup segan mati tak mahu', malah dilihat mustahil mampu menggantikan PAS yang memerintah selama 27 tahun di Kelantan, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff. 
 
Ujarnya, parti pimpinan Mohamad Sabu itu dilihat berperanan tidak lebih sekadar 'tukang sorak' kepada parti komponen dalam gabungan disertainya, Pakatan Harapan (PH).
 
Pandangan itu menyusul selepas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang dilaporkan sebagai berkata, jangka hayat Amanah bakal berakhir selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berikutan tidak mendapat sokongan rakyat terutamanya di negeri Che Siti Wan Kembang itu.
 
"Soal kemungkinan untuk Amanah merebut kuasa di Kelantan sangat hampir mustahil. Hampir mustahil untuk Amanah membentuk kerajaan di negeri Kelantan sebab tahap sokongan rakyat di peringkat akar umbi kepadanya sangat rendah. 
 
"Amanah ini hanyalah berperanan sebagai tukang sokong sahaja. Tukang sorak dan yang menumpang di atas kekuatan orang lain. Dari satu segi, saya bersetuju dengan pendapat Nik Amar bahawa Amanah akan tidak selantang sekarang selepas PRU14 ini.
 
"Nak kata 'mati' terus itu tidak ada lah cuma hidup segan mati tak mahu," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Kamarul Zaman turut merujuk kepada kenyataan Mohamad atau Mat Sabu sebelum ini yang secara terbuka mengakui parti pimpinannya tidak dapat menandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) meskipun ditubuhkan lebih awal.
 
Kamarul juga berkata, prestasi parti serpihan PAS itu jika diukur dengan jumlah keahliannya, masih berada di tahap sokongan yang sangat rendah.
 
"Yang disebut secara spesifik di dalam laporan setiausaha agung bahawa keahlian Amanah memang 80,000 sepertimana Salahuddin Ayub sebut sedangkan sebelum ini sudah disebut oleh Mohamad Sabu, Presiden Amanah sejak tahun 2015 lagi bahawa sasarannya nakkan 100,000 orang menjelang akhir tahun 2015. Jadi nampak jelas bahawa Amanah tidak berkembang.
 
"Macam dalam himpunan baru ini pun. Himpunan Kleptokrasi di Petaling Jaya baru ini pun dia (Amanah) gagal walaupun telah membuat kerahan ahli secara rasmi oleh setiausaha agung Amanah sendiri. Tetapi yang hadir tidak ramai jadi jelas menunjukkan Amanah tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat," tambahnya.
 
Amanah yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS selepas gagal dalam pemilihan parti pada 2015, sebelum ini berkali-kali menyatakan keyakinannya untuk menjadi pengganti PAS khususnya di Kelantan, malah dikatakan diletakkan sebagai parti teraju PH untuk menawan negeri itu.
 
Antarapos sebelum ini melaporkan, Amanah Kelantan mengesahkan ia meminta sebanyak 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen di negeri itu untuk ditandingi pada PRU14 akan datang.
 
Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamad bagaimanapun berkata hasrat itu masih di peringkat perbincangan untuk dimuktamadkan.
 
DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi dengan 31 darinya dikuasai PAS, 13 milik Umno dan satu kerusi milik Amanah.
 
Kerusi Parlimen pula menyaksikan PAS menguasai sembilan kerusi manakala Barisan Nasional (BN) memiliki lima kerusi.


BN Selangor kemuka lima usul pada sidang DUN

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor telah mengemukakan lima usul untuk dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula esok.
 
Penyelaras Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata antaranya berkenaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Yayasan Selangor.
 
ADUN Batang Kali itu berkata, usul IBR akan dibawa ADUN Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias bagi menggesa kerajaan negeri menyahut seruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menandatangani ikrar berkenaan.
 
Sementara itu usul Yayasan Selangor akan dibawa ADUN Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus bertujuan menggesa dikembalikan semula peranan asal yayasan itu melalui pengurusan aset berkesan termasuk membuka kembali Asrama Tun Dr Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin.
 
Tambahnya, usul ketiga akan dibawa oleh ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak bagi menggesa kerajaan negeri mengambil langkah proaktif memperkukuh institusi Mahkamah Syariah meliputi struktur dan bidang kuasa perundangan termasuk aspek infrastruktur dan tenaga manusia.
 
Usul keempat mengenai Lesen Pusat Hiburan Keluarga pula akan dibawa ADUN Jeram Datuk Amiruddin Setro bagi menggesa kerajaan negeri membatalkan serta merta pemegang lesen yang terbukti menyalahgunakan lesen pusat hiburan keluarga yang boleh merosakkan akhlak remaja serta memperketat dan mengehadkan permohonan baharu.
 
Mat Nadzari berkata usul kelima yang akan dibawa oleh ADUN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif pula bertujuan untuk mengutuk tindakan kerajaan negeri yang pada awalnya meluluskan pesta arak Oktoberfest sebelum dibatalkan, berikutan tindakan itu boleh menganggu gugat ketenteraman awam serta sensitiviti agama dan mengundang ancaman ekstremisme.
 
“Kami berharap usul tersebut diterima oleh Speaker DUN untuk dibahaskan dalam dewan tanpa sebarang prejudis dan pilih kasih. Ini kerana usul-usul ini mempunyai kepentingan rakyat dan jika tidak dibahaskan saya rasa itu tidak adil kepada rakyat Selangor,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
 
Berhubung Belanjawan Selangor 2018 yang akan dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang DUN esok, Mat Nadzari berharap ia adalah bajet yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat Selangor.
 
 

P.Pinang bentang bajet defisit untuk 2018

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM 1.25 bilion dengan defisit RM748.5 juta berbanding RM667.1 juta defisit tahun lepas.
 
Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata bajet defisit yang ketara ini bukan berpunca daripada Perbelanjaan Mengurus Langsung sebanyak RM652.30 juta, sebaliknya disebabkan oleh pindahan RM600 juta Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Perbangunan untuk pembiayaan projek-projek pembangunan yang dirancang berjumlah RM684.97 juta.
 
"Anggaran defisit atau kekurangan RM748.54 juta yang dijangka dalam Bajet 2018 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri," katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
 
Beliau berkata jangkaan hasil negeri bagi 2018 tidak meningkat, namun kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan dalam mengekalkan Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Negeri supaya masih sama dengan anggaran 2017.
 
"Mengambil kira keperluan untuk menggiatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan menyediakan kemudahan pinjaman kepada badan-badan berkanun negeri, bagi merangsang serta menjayakan transformasi ekonomi negeri dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat, maka pembentangan bajet defisit untuk tahun 2018 tidak dapat dielakkan," katanya.
 
Beliau berkata sekiranya pindahan RM600 juta daripada Akaun Hasil Disatukan kepada Kumpulan Wang Pembangunan dikecualikan perbelanjaan, maka anggaran Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri bagi tahun 2018 ialah sebanyak RM652.30 juta dan nilai defisit dapat dikurangkan kepada RM148.54 juta.
 
Katanya kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah lebih RM503 juta iaitu berkurangan berbanding tahun semasa.
 
"Ini kerana sumber hasil kerajaan negeri yang terhad serta tiada punca hasil baharu, kutipan hasil daripada faedah pelaburan yang dijangka menurun disebabkan oleh penurunan bayaran dividen dan kadar faedah simpanan tetap yang seterusnya menyumbang kepada anggaran hasil negeri yang kurang untuk 2018," katanya.
 
Sementara itu, Guan Eng berkata cadangan bajet pembangunan negeri untuk 2018 yang berjumlah lebih RM684 juta merupakan penurunan sebanyak RM202.46 juta atau 22.81 peratus jika dibandingkan dengan jumlah Bajet Pembangunan sebanyak RM887.44 juta pada 2017.
 
"Penurunan ini disebabkan oleh pengurangan kemudahan pinjaman yang disediakan oleh kerajaan negeri kepada badan berkanun negeri iaitu sebanyak RM350 juta bagi 2018 berbanding RM639 juta yang disediakan pada 2017," katanya.
 
Beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM10 juta bagi perlindungan lereng bukit dan kajian perubahan iklim, khususnya berhubung pertanian haram.
 
"Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, tanah runtuh kurang berlaku di kawasan yang mempunyai pembangunan berbanding kawasan yang tidak dimajukan dan jelas, kerja perlindungan tanah dilakukan semasa pemajuan namun ini tidak berlaku dalam kes pertanian haram," katanya.
 
Sidang DUN bersambung Isnin.