SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor telah mengemukakan lima usul
untuk dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula
esok.
Penyelaras Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Selangor, Datuk Mat
Nadzari Ahmad Dahlan berkata antaranya berkenaan Ikrar Bebas Rasuah
(IBR) dan Yayasan Selangor.
ADUN Batang Kali itu berkata, usul IBR akan dibawa ADUN Sungai Burong
Datuk Mohd Shamsudin Lias bagi menggesa kerajaan negeri menyahut seruan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menandatangani ikrar
berkenaan.
Sementara itu usul Yayasan Selangor akan dibawa ADUN Kuang, Datuk Abdul
Shukur Idrus bertujuan menggesa dikembalikan semula peranan asal
yayasan itu melalui pengurusan aset berkesan termasuk membuka kembali
Asrama Tun Dr Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin.
Tambahnya, usul ketiga akan dibawa oleh ADUN Permatang, Datuk Sulaiman
Abdul Razak bagi menggesa kerajaan negeri mengambil langkah proaktif
memperkukuh institusi Mahkamah Syariah meliputi struktur dan bidang
kuasa perundangan termasuk aspek infrastruktur dan tenaga manusia.
Usul keempat mengenai Lesen Pusat Hiburan Keluarga pula akan dibawa
ADUN Jeram Datuk Amiruddin Setro bagi menggesa kerajaan negeri
membatalkan serta merta pemegang lesen yang terbukti menyalahgunakan
lesen pusat hiburan keluarga yang boleh merosakkan akhlak remaja serta
memperketat dan mengehadkan permohonan baharu.
Mat Nadzari berkata usul kelima yang akan dibawa oleh ADUN Dengkil,
Shahrum Mohd Sharif pula bertujuan untuk mengutuk tindakan kerajaan
negeri yang pada awalnya meluluskan pesta arak Oktoberfest sebelum
dibatalkan, berikutan tindakan itu boleh menganggu gugat ketenteraman
awam serta sensitiviti agama dan mengundang ancaman ekstremisme.
“Kami berharap usul tersebut diterima oleh Speaker DUN untuk dibahaskan
dalam dewan tanpa sebarang prejudis dan pilih kasih. Ini kerana
usul-usul ini mempunyai kepentingan rakyat dan jika tidak dibahaskan
saya rasa itu tidak adil kepada rakyat Selangor,” katanya dalam sidang
media di sini hari ini.
Berhubung Belanjawan Selangor 2018 yang akan dibentangkan Menteri Besar
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang DUN esok, Mat Nadzari berharap
ia adalah bajet yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan memberi
kesejahteraan kepada rakyat Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan