Khamis, 2 November 2017

P.Pinang bentang bajet defisit untuk 2018

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM 1.25 bilion dengan defisit RM748.5 juta berbanding RM667.1 juta defisit tahun lepas.
 
Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata bajet defisit yang ketara ini bukan berpunca daripada Perbelanjaan Mengurus Langsung sebanyak RM652.30 juta, sebaliknya disebabkan oleh pindahan RM600 juta Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Perbangunan untuk pembiayaan projek-projek pembangunan yang dirancang berjumlah RM684.97 juta.
 
"Anggaran defisit atau kekurangan RM748.54 juta yang dijangka dalam Bajet 2018 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri," katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
 
Beliau berkata jangkaan hasil negeri bagi 2018 tidak meningkat, namun kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan dalam mengekalkan Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Negeri supaya masih sama dengan anggaran 2017.
 
"Mengambil kira keperluan untuk menggiatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan menyediakan kemudahan pinjaman kepada badan-badan berkanun negeri, bagi merangsang serta menjayakan transformasi ekonomi negeri dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat, maka pembentangan bajet defisit untuk tahun 2018 tidak dapat dielakkan," katanya.
 
Beliau berkata sekiranya pindahan RM600 juta daripada Akaun Hasil Disatukan kepada Kumpulan Wang Pembangunan dikecualikan perbelanjaan, maka anggaran Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri bagi tahun 2018 ialah sebanyak RM652.30 juta dan nilai defisit dapat dikurangkan kepada RM148.54 juta.
 
Katanya kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah lebih RM503 juta iaitu berkurangan berbanding tahun semasa.
 
"Ini kerana sumber hasil kerajaan negeri yang terhad serta tiada punca hasil baharu, kutipan hasil daripada faedah pelaburan yang dijangka menurun disebabkan oleh penurunan bayaran dividen dan kadar faedah simpanan tetap yang seterusnya menyumbang kepada anggaran hasil negeri yang kurang untuk 2018," katanya.
 
Sementara itu, Guan Eng berkata cadangan bajet pembangunan negeri untuk 2018 yang berjumlah lebih RM684 juta merupakan penurunan sebanyak RM202.46 juta atau 22.81 peratus jika dibandingkan dengan jumlah Bajet Pembangunan sebanyak RM887.44 juta pada 2017.
 
"Penurunan ini disebabkan oleh pengurangan kemudahan pinjaman yang disediakan oleh kerajaan negeri kepada badan berkanun negeri iaitu sebanyak RM350 juta bagi 2018 berbanding RM639 juta yang disediakan pada 2017," katanya.
 
Beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM10 juta bagi perlindungan lereng bukit dan kajian perubahan iklim, khususnya berhubung pertanian haram.
 
"Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, tanah runtuh kurang berlaku di kawasan yang mempunyai pembangunan berbanding kawasan yang tidak dimajukan dan jelas, kerja perlindungan tanah dilakukan semasa pemajuan namun ini tidak berlaku dalam kes pertanian haram," katanya.
 
Sidang DUN bersambung Isnin.
 
 

Tiada ulasan: