Selasa, 31 Oktober 2017

Anggota RELA didakwa disogok 'Datuk Seri' digesa lapor SPRM

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang didakwa cuba disogok wang oleh lelaki bergelar 'Datuk Seri' yang mengasari mereka perlu melaporkan hal itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Timbalan perdana menteri berkata, ini bagi membolehkan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan bahawa ketiga-tiga mereka ditawarkan RM10,000 setiap seorang bagi menutup kes berkenaan.
 
"Saya dimaklumkan perkara ini oleh Ketua Pengarah RELA. Kementerian Dalam Negeri mendukung (penuh) supaya siasatan rapi dilakukan PDRM dan SPRM terhadap dua kes berbeza untuk memberi pengajaran bahawa dalam seseorang itu menerima anugerah tinggi dalam usia agak rendah (muda), penerima harus tahu status sosial mereka.
 
"Jika hendak dihormati, mereka perlu menghormati orang lain sebelum memaksa orang lain hormati mereka," kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Kerangka Standard Bahasa Melayu 2017 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai di sini, Selasa.
 
Dalam kejadian Jumaat lepas, tiga anggota Rela iaitu Melvin Cheong Mun Khai,19; Leong Jiun Jie, 21, dan Lee Weng Poh, 27, masing-masing cedera selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki bergelar 'Datuk Seri' itu.
 
 

PRU 14 : Pas Menang 35 Parlimen Dan Jadi King Maker


Menarik juga bila memikirkan ramalan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang bakal menjelang.

 Kata beliau dua tahun lalu, kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Harapan akan gagal membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 dan PAS, yang dijangka memenangi 35 kerusi Parlimen, akan menjadi king-maker yang bakal menentukan siapakah di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang akan membentuk kerajaan.

Kita lihat saja apakah ramalan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang kemudiannya menjadi Naib Presiden PPBM, satu komponen Pakatan Harapan, akan menjadi kenyataan.

Transkripsi ucapan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Kedah, pada 18 November 2015:

  “You see, kalau proportional system dah terbang dah government ni, because they got only 48%, the votes, opposition got 52%, baru ni (Pilihan Raya Umum Ke-13) lah. 

And current election, saya punya prediction, they (Barisan Nasional) are going to get 38% of popular votes.

 Kalau proportional system dipakai, the coming election, saya punya kira-kiralah, ni saya punya sendirilah ni, tak semestinya betul tapi biasanya betul kira-kira saya, 38% Barisan Nasional will get. 

There will be a hung government in the coming election, tak dak siapa boleh tubuh kerajaan. Ingat apa yang saya kata, you orang muda semua, saya mungkin dah mati, tak tahulah, tapi tak semestinya orang tua mati dulu, orang muda mati dulu pun ada. So there will be a hung government. There will be one party yang akan jadi, apa dia, king-maker. 

You watch what I said: There will be one party that will be the king-maker. Kalau you nak tanya siapa, parti mana, sebab tu kalau katakan nak masuk parti masuk parti tu lah, dia king-maker. Dia tak jadi government parti ni, tapi king-maker means they are part of the government, parti PAS. 

Ingat apa saya kata tu ya, nanti pilihan raya nanti parti PAS jadi king-maker, they will decide siapa akan jadi kerajaan. Barisan Nasional tak akan jadi kerajaan atas kekuatan dia sendiri. Opposition ni, apa dia panggil, parti rakyat, Pakatan Rakyat, Harapan (AMANAH) is part of that lah, they split from PAS. Pakatan Rakyat ni PKR, DAP dan Harapan (AMANAH) lah, so they cannot form the government, because Harapan (AMANAH) cannot carry the flag like PAS. 

Harapan (AMANAH) jadi Harapan (AMANAH) saja lah, tinggal Harapan (AMANAH) saja lah, but they will get some seats. 

Saya nak lari sikit ya, orang muda-muda ni. The coming election, kita ada 142 seats in rural areas, Barisan Nasional dapat 87 sekarang, PAS (akan) dapat 30 lebih, all these in rural areas, 142 kerusi, rural area. 

Kemudian yang penting sekali yang menentukan siapa akan jadi kerajaan ialah marginal area. Tahu apa marginal area? Dari segi politik, racial, marginal maknanya sama banyak Melayu dan bukan Melayu, lebih kurang sama banyak, ada 55 kerusi yang jenis ini.

 Ini pinggir bandar, keliling bandar, Melayu ada 49% bukan Melayu ada 51%, something like that, or Melayu ada 51% bukan Melayu ada 49%, ini yang akan menentukan siapa jadi kerajaan, kalau dia boleh menguasai, tapi tak siapa akan boleh menguasai.

 Mungkin parti Harapan (AMANAH) sebab dia akan dapat replace PAS getting the Chinese votes. In these areas they may, if they are given seats in these areas, they will win, some seats lah, out of 55, ya. PAS will win a lot of seats. Saya predict PAS akan menang 35 kerusi.”

Belanjawan 2018 Guna Duit Rakyat Pancing Undi



BELANJAWAN atau dalam bahasa Inggeris “budget” (baru-baru ini dimelayukan menjadi bajet) adalah kontrak di antara kerajaan di satu pihak dengan rakyat jelata di pihak yang lain.

Bersungguh-sungguh PM cuba yakinkan sampai berbuih mulut. Ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi di mana rakyat jelata memilih kerajaan dan membayar cukai untuk menampung pengurusan negara.

Rakyat jelata mengamanahkan pengurusan negara kepada wakil-wakil yang mereka pilih. Wakil-wakil itu pula tidak menjalankan tugas dengan percuma. Mereka dibayar gaji, elaun dan pencen.

Mereka tidak perlu berniaga untuk hidup selesa apatah lagi mencuri, menyamun dan melanun duit rakyat jelata dan aset negara.

Duit cukai yang dibayar oleh rakyat jelata itu juga adalah untuk mengurus dan membangunkan negara.

Justeru itu, segala duit dan harta negara adalah milik rakyat jelata. Kerajaan hanya menjalankan amanah yang dibagi oleh rakyat jelata melalui peti undi lima tahun sekali.

Setiap sen duit yang kerajaan belanjakan dan setiap inci tanah yang kerajaan jual adalah duit dan tanah negara yang dimiliki secara bersama oleh rakyat jelata.

Ia bukan duit Perdana Menteri atau Menteri kewangan. Rakyat jelata mempunyai kuasa mutlak ke atas kerajaan melalui dua cara, iaitu dengan mengundi kerajaan yang mereka sukai dan membayar cukai bagi membiayai kerajaan yang mereka pilih itu.

Wakil rakyat dan kerajaan yang mereka pilih melalui peti undi itu sekadar memegang amanah dan menjalankan tugas saja.

Melalui peti undi rakyat jelata pilih wakil mereka. Dalam sistem demokrasi macam yang kita amalkan, kuasa rakyat adalah mutlak dan mutakhir menentukan siapa memerintah dan mentadbir negara.

Ada YB Peduli?

Wakil yang dipilih itu adalah Yang Berhormat kerana pengundi dan rakyat jelata memberikan penghormatan kepadanya untuk mewakili mereka.

Yang Berhormat tidak dipilih untuk menjadi diktator, lanun, perompak dan pencuri. Mereka tidak sekali-kali dipilih untuk membuli dan memperbodohkan rakyat jelata.

Mereka sekadar memegang amanah rakyat jelata. Untuk itu mereka diberikan upah yang secukupnya oleh rakyat jelata dan pembayar cukai supaya dengan itu mereka tidak perlu mengemis apatah lagi mencuri untuk hidup selesa.

Maka dalam konteks dan landasan itulah kerajaan menyediakan belanjawan tahunan.

Belanjawan ada dua bahagian – hasil (revenue) dan perbelanjaan (expenditure). Sebahagian besar hasil datang daripada rakyat jelata dalam bentuk cukai.

Sejak dulu lagi rakyat jelata bayar cukai tetapi mereka tidak mengeluh dan membantah kerana cukai tidak membebankan dan tidak juga menyusahkan. Tetapi selepas Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015 rakyat menderita dan ekonomi jadi tak tentu hala.

Bala bencana zaman Najib tak payah kiralah. Satu demi satu bala bencana dan kesialan menimpa negara dan rakyat jelata. Kita tertanya-tanya, di manakah berkatnya?

GST Kebanggaan Najib

Sejak Najib perkenalkan GST dengan sokongan para YB BN, semua orang yang berbelanja, tidak kira dia seorang papa kedana atau Tan Sri yang berpendapatan beribu juta akan bayar kadar yang sama.

Rakyat biasa dan rakyat miskin merasa beban GST kerana cukai kebanggaan Najib itu tidak memilih bulu. Siapa berbelanja akan kena.

Najib sangat bangga dengan GST. Dia kata GST penyelamat negara. Saya tidak pasti sama ada negara selamat kerana GST tapi yang pasti GST sangat lumayan bagi Najib.

 Dalam Belanjawan 2018 yang dibentangkan pada 27 Oktober lepas, Najib menganggarkan kutipan GST sebanyak RM43.8 bilion. Naik daripada RM41.5 bilion tahun ini.

Selain GST ada cukai lain macam cukai pendapatan, cukai korporat, cukai import, cukai eksport, cukai setem, cukai jalan, tarif dan macam-macam lagi bayaran yang rakyat jelata kena bayar. Mati pun kena cukai juga dalam bentuk cukai harta peninggalan.

Hanya sebahagian kecil saja hasil kerajaan datang daripada perniagaan macam yang dilakukan oleh Petronas, Khazanah Nasional Berhad dan 1MDB.

Petronas ditubuhkan pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak (1974) dan untung. Tahun 2016 keuntungan Petronas RM23.5 bilion.

Khazanah yang ditubuhkan pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad (1993) pun untung juga. Tahun 2016 keuntungan Khazanah RM1.56 bilion.

Tapi 1MDB yang berupa tsunami minda Najib rugi beratus juta dan dilanda skandal bilion ringgit sampai nak sediakan akaun tahunan pun susah. Dianggarkan RM39 bilion duit 1MDB lesap kerana kerugian perniagaan dan penyelewengan.

Tapi Peguam Negara pilihan Najib, (Tan Sri) Apandi Ali kata tak ada kes. Peliknya dalam tak ada kes itu, laporan Ketua Juruaudit Negara mengenai 1MDB diOSAkan. Parlimen pun tak boleh bincang. Kalau tak ada kes pasal apa berahsia?

menganggarkan hasil sebanyak RM239.9 bilion tapi dia bercadang belanja RM280.25 bilion.

Perbelanjaan ada dua bahagian. Satu perbelanjaan mengurus macam bayar gaji dan pencen kakitangan awam (termasuk menteri dan wakil rakyat), selenggara kemudahan awam dan bayar balik hutang kerajaan.

Satu lagi perbelanjaan pembangunan macam untuk bina jalan raya, MRT, sekolah, hospital dan beli peralatan tentera.

Dalam belanjawan 2018, Najib cadang belanja RM234.25 bilion untuk pengurusan dan RM46 bilion untuk pembangunan.

Perbelanjaan tahun ini naik 7.5 peratus pasal Najib nak guna duit cukai rakyat jelata untuk pancing undi. Akibatnya peruntukan pembangunan dibekukan pada kadar RM46 bilion.

Najib kutip cukai daripada rakyat jelata kemudian guna duit itu untuk sogok rakyat jelata supaya undi BN. Dia kelentong kita. Dia kata kerajaan bagi duit kepada rakyat jelata.

Bukan kerajaan bagi tapi kita sendiri yang bagi. Kita bayar GST dan macam-macam cukai lagi untuk tadbir dan bangunkan negara. Najib ambil duit itu untuk sogok kita supaya undi parti dia. Dia ingat kita bangang.

Persis Cash is King

Bukan itu saja. Tak cukup dengan bayar cukai, kita kena pula tanggung hutang yang banyak yang Najib ambil atas nama kita, anak dan cucu cicit kita.

Dalam Belanjawan 2018, kerajaan kurang duit sebanyak RM40.35 bilion pasal hasil berjumlah RM239.9 bilion tapi belanja RM280.25 bilion. Jadi kena hutang RM40 juta lebih.

Kerana percaya duit adalah raja (cash is king), Najib berhutang kiri kanan. Dalam zaman dialah hutang kerajaan naik melambung – daripada kira-kira RM200 bilion zaman Tun Dr Mahathir kepada RM685.05 bilion sekarang.

Untuk jadi Raja Duit (King of Cash), Najib cadang ambil 25 peratus daripada belanjawan 2018 untuk Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang dia jaga.

Inilah keistimewaan Najib berbanding semua Perdana Menteri Malaysia yang lepas. Dia bolot kewangan negara untuk kukuhkan kedudukan dia di dalam parti dan kerajaan.

Kalau menteri mahu peruntukan tambahan silalah sembah Najib. Itulah dasarnya. Sebab itulah, (Datuk Seri) Shahidan Kassim dari awal-awal lagi kata Belanjawan 2018 adalah yang terbaik dalam dunia. Ampu jangan tak ampu.

Najib dengan penuh emosi kata Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi kawan dia sehidup semati sampai sebut dalam ucapan belanjawan.

Tapi bila sampai masa bagi peruntukan, dia bagi 6 peratus saja kepada Zahid.

Zahid ni bukan calang-calang orang. Dia keturunan Jawa. Dia TPM. Dia Menteri Dalam Negeri. Dia jaga polis. Dia pemangku Timbalan Presiden Umno. Tapi Najib bagi dia 6 persen saja.

(Datuk Seri) Hishammuddin Hussein, sepupu Najib yang jaga askar, dapat 7.3 peratus.

Najib berucap dekat tiga jam sampai berbuih mulut dan kering tekak janji itu dan ini, bagi duit kepada orang itu dan ini.

Tapi adakah kita sedar bahawa dia kurangkan peruntukan pendidikan dan latihan sebanyak 11 peratus daripada RM5.9 bilion kepada RM5.2 bilion?

Sebenarnya kalau kita dalami belanjawan Najib itu, kita akan temui banyak lagi mantera dan jampi yang tujuannya adalah untuk mengabui mata rakyat jelata kononnya dia simpati dan peduli sedangkan matlamat dia adalah memancing undi dan melincirkan peti undi dengan menggunakan duit rakyat jelata.

Itulah belanjawan "duit itu raja" dan raja duit adalah Najib.

Wallahuaklam.-http://kadirjasin.blogspot.my

Gelombang Hijau dan anak muda


SAYA ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Perak dan Kedah yang berjaya melancarkan Jentera Pilihan raya Negeri masing-masing dengan jaya dan gemilang.

Berdasarkan pemerhatian saya, kedua-dua himpunan tersebut melepasi angka sasar. 5K sasaran di Kuala Kangsar, Perak dan 12K sasaran di Kota Sarang Semut, Kedah. (Anggaran hadir lebih 5K di Perak dan lebih 12K di Kedah.)

Saya berkesempatan hadir di dua himpunan tersebut. Majlis berlangsung pada 28 Okt 2017 (Sabtu) Jam 2.30 petang di Kuala Kangsar dan 9.30 malam di Kota Sarang Semut.

Inilah gelombang hijau atau lebih tepat Gelombang Islam yang terhasil dari Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Terengganu, kini sudah melanda seluruh negara. Bermula di Perak, Kedah dan Insyaallah bakal merebak ke negeri-negeri lain.

Sekali lagi menyaksikan anak-anak muda menepati 80% kehadhiran dengan semangat waja dan kental berjuang di ruang demokrasi (muwaajah silmiyyah) untuk memenangkan PAS dalam Pilihan raya Umum ke-14 kelak.

PAS mempunyai masa depan yang cerah. Generasi pelapis yang mantap. Inilah rahsia umum kekuatan PAS. Sejak 1951 hingga kini, PAS boleh kalah dalam pilihan raya tetapi tidak pernah kalah dalam perjuangannya.

PAS terus mara dengan yakin dan gagah untuk terus teguh bersama perjuangan Islam dan prinsipnya. Biar menempuh 1001 ujian. Pemimpin pergi dan datang, isu semasa pasang dan surut, namun temperature perjuangan Islam tidak pernah rendah.

Dasar perjuangan Islam, prinsipnya yang teguh, pendekatannya yang matang dan sejahtera, langkah yang konsisten, sikapnya yang jelas dan kesatuannya yang mantap menjadikan PAS terus mendekati pelbagai pihak dan didekati oleh semua.

Himpunan 12K di Kedah Darul Aman yang juga disifatkan sebagai Himpunan Fastaqim 2.1 telah menyaksikan penyertaan 3 orang tokoh untuk berjuang bersama dengan PAS. Tuan Hj Mahathir mewakili mereka tampil di pentas menerima sijil keahlian PAS yang telah diluluskan oleh parti.

Tiga tokoh yang saya maksudkan itu ialah:

a) Mantan Mufti Negeri Kedah.
Sohibus Samahah Datuk Paduka Sheikh Bedruddin Hj Ahmad

b) Mantan Pengarah Majlis Agama Islam Negeri Kedah.
Dato’ Sheikh Uzir Bin Baharom

c) Mantan Setiausaha Sulit Kanan
Timb Menteri Kewangan Malaysia.
Mantan Pegawai Kanan JAKIM.
Mantan Jkuasa Lembaga Pengampunan.
Tuan Hj Mahathir bin Md Nor

Adakah Bajet 2018 cukup manis untuk menang PRU14?

Oleh SAIFUL IZHAM RAMLI 


Pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu di Dewan Rakyat jelas dilihat hanya 'gula-gula' terutama kepada penjawat awam dan orang kampung menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Ini adalah kerana Najib tahu bahawa sokongan daripada golongan ini sudah berkurangan dan tindakan terdesak dilakukan dengan mengumumkan pelbagai inisiatif demi mengekalkan kuasa.

Antaranya, menteri kewangan itu telah mengumumkan bayaran khas 'one-off' sebanyak RM1500 kepada semua penjawat awam, ketua kampung, tok batin, imam, bilal, guru KAFA, guru takmir , tok siak juga pesara kerajaan.

Namun, adakah 'gula-gula' itu sudah begitu manis untuk memangkah Barisan Nasional pada PRU14?



Rakyat, terutama mereka yang disenaraikan untuk mendapat bayaran khas ini jangan tertipu kerana semua janji bayaran khas yang diumumkan oleh Najib tersebut, bukan semuanya diperuntukkan di dalam belanjawan 2018.

Lebih malang lagi, Najib hanya mengumumkan sahaja tanpa belum mengira kos sebenar. Jadi, adakah kita boleh yakin Najib akan laksanakan janji beliau?

Saya yakin, rakyat Malaysia tidak mudah untuk terpedaya dengan 'pemanis' yang diberikan dalam 'Ibu segala bajet' kerana saya percaya mereka masih lagi rasa terbeban dengan kos hidup yang masih tinggi selain cukai barangan dan perkhidmatan (GST) masih dikekalkan.

Najib turut cuba mengambil hati rakyat Sabah dan Sarawak dengan mengumumkan peruntukan yang tinggi iaitu sebanyak lebih RM 6.8 bilion bagi kemajuan dan kesejahteraan penduduk luar bandar di sana.

Ia termasuk membaik pulih sekolah-sekolah daif melalui Sistem Bangunan Berindustri (IBS), projek Lebuhraya Pan-Borneo, infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar, projek pembangunan jalan luar bandar, projek bekalan elektrik dan air bersih, serta lain-lain lagi.

Semua peruntukan untuk projek-projek yang disalurkan itu merupakan masalah utama di Sabah dan Sarawak tetapi rakyat di sana masih belum dapat diyakinkan lagi kerana sejak bertahun lamanya, kerajaan Umno BN telah menjanjikan perkara sama namun sehingga hari ini rakyat Sabah dan Sarawak masih hidup dalam keadaan serba kekurangan.



Sebagai contoh, terdapat banyak lagi kampung seperti kampung Selaping, Kota Marudu, Sabah yang masih hidup dalam keadaan daif tiada jalan raya apabila anak-anak kecil terpaksa menggadai nyawa menggunakan jambatan usang yang diperbuat daripada kayu dan yang berlubang untuk ke sekolah.

Jalan raya pun tidak mampu untuk diberikan sejak dahulu, bagaimana pula dengan lebuh raya Pan Borneo sepanjang 2000 km yang kononnya setanding lebuh raya negara maju?

Perkara ini sangat menyedihkan dan setiap kali belanjawan mereka ternanti-nanti dan mengharapkan ada perubahan dan sinar kesenangan. Namun sehingga sekarang mereka masih hidup dalam kesengsaraan.

Tidak perlu untuk kerajaan Umno BN berjanji tinggi melangit kalau tidak boleh melaksanakannya. Jangan beri mereka ini janji-janji kosong yang tidak dapat ditunaikan.

Saya percaya segala janji-janji manis yang diberikan ini akan menjadi hamis selepas pilihanraya.
Saya ingin tegaskan di sini, tidak kira berapa banyak peruntukan yang diberikan dan dijanjikan kepada rakyat, apa yang penting mestilah ditunaikan.

Saya juga ingin mengesa pihak kerajaan telus dalam pembelanjaan dan sentiasa memantau setiap pembelanjaan yang diperuntukan dalam bajet 2018 ini, agar ia tidak berlaku ketirisan dan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang pernah berlaku sebelum-sebelum ini.-M/K



SAIFUL IZHAM RAMLI adalah mantan Senator dan Pengarah Strategi PKR Kedah.

Isnin, 30 Oktober 2017

IRF pertikai motif sebalik alasan ‘tauliah’

 
Dr Ahmad Farouk Musa berkata tindakan Jamil Khir Baharom mempertahankan tangkapan Mustafa Akyol menghampiri 'despotisme tahap tertinggi'.


Farouk-Musa-akyol2

PETALING JAYA: Dr Ahmad Farouk Musa hari ini membidas seorang menteri kerana mempertahankan penangkapan seorang penulis warga Turki yang terkenal bulan lepas atas dakwaan tiada tauliah.

Bercakap kepada FMT, Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) berkata tujuan tauliah untuk memastikan guru agama yang mengajar di masjid dan surau layak untuk mengajar.

Tauliah itu juga bagi mengelakkan penyebaran ajaran sesat, tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata: “Seseorang akan tertanya-tanya apa motif sebenar sebalik tangkapan itu apabila turut merangkumi mereka yang terlibat dalam perbincangan intelektual berkaitan dengan Islam.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat hari ini berkata penulis Turki, Mustafa Akyol, juga tertakluk kepada syarat itu, iaitu mereka yang mahu bercakap mengenai topik berkaitan Islam mesti mendapatkan tauliah.

“Setiap penceramah yang ingin mengadakan program berbentuk ceramah di Malaysia perlu mendapat kebenaran dan tauliah jabatan agama negeri, majlis agama negeri, atau jabatan mufti negeri berkenaan,” kata Jamil dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Akyol ditangkap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 25 September kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) yang menetapkan penceramah topik berkaitan Islam mesti mendapatkan tauliah, syarat yang lazimnya dikenakan ke atas mereka mahu berceramah di masjid dan surau.

Akyol baru sahaja menyempurnakan jelajah kuliah anjuran IRF.

Akyol bagaimanapun memberitahu FMT beliau terkejut dengan syarat itu kerana beliau tidak pernah mendakwa dirinya mufti atau imam dengan autoriti agama.

“Saya hanya merujuk kepada pandangan lebih liberal dalam tradisi Islam, dari perspektif akademik, dan bahawa itu pun boleh mencetuskan gempar membingungkan saya,” katanya.

Farouk juga dipanggil untuk disoal di pejabat Jawi di bawah akta yang sama.

Beliau memberitahu FMT, kenyataan Jamil di Dewan Rakyat itu “sangat tidak demokratik” dan menghampiri “despotisme tahap tertinggi”.

“Kenyataan itu daripada seorang menteri yang dituduh menggunakan dana zakat untuk selesaikan kos undang-undang dan dana milik anak yatim untuk programnya di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia,” tambahnya.

Bersih 2.0 cari 3,000 sukarelawan pantau PRU14



Badan pemantau pilihan raya itu menyasarkan 3,000 sukarelawan dan 100 penyelaras bagi 29 zon di seluruh negara.


Pemantau-Bersih3

KUALA LUMPUR: Badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 hari ini melancarkan kempen “Pemantau” untuk memudahkan rakyat melaporkan amalan luar biasa dan penipuan sebelum dan semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Badan itu yang ditubuhkan pada 2013 adalah gabungan NGO Bersih 2.0, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (Pusat Komas).

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menggesa rakyat yang belum dan pernah menawarkan diri untuk kempen Pemantau sebelum ini, tampil membantu mereka memperjuangkan pilihan raya yang bersih.

Katanya, Bersih 2.0 menyasarkan 3,000 sukarelawan dan 100 penyelaras bagi 29 zon di seluruh negara.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di www.pemantau.org/daftar.

“Kami betul-betul mahu 3,000 rakyat biasa itu kembali membantu kami dengan Pemantau dan ramai lagi orang awam kerana PRU14 adalah pilihan raya yang sangat penting.

“Kami mencabar mereka (Suruhanjaya Pilihan Raya) dalam persempadanan semula, senarai daftar pengundi dan isu pendaftaran pengundi.

“Kami rasa pilihan raya kali ini mungkin berlaku penipuan besar,” katanya selepas pelancaran Pemantau di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, setiap rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab bukan sahaja dalam menjalankan hak mengundi mereka, tetapi juga memastikan pilihan raya bersih dan adil.

Beliau berkata, 5 tahun selepas pilihan raya terdahulu, proses pilihan raya masih dibelenggu penipuan dan salah laku.

Ini kerana, katanya, SPR dan kerajaan enggan membuat perubahan positif, sebaliknya memburukkan lagi keadaan.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, fokus NGO itu adalah memantau laporan mengenai pencabulan hak asasi manusia dan juga keganasan politik.

Beliau berkata, intimidasi dan keganasan selalunya berlaku ketika tempoh berkempen, dan pihaknya mencatat kes keganasan politik tertinggi pada PRU13.

“Keganasan tidak patut berlaku terhadap mana-mana calon kerana mereka berhak berkempen.”
Sementara itu, Pusat Komas akan memantau laporan berkaitan isu perkauman.

Hentikan dramamu Mahfuz dan kawan-kawan

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memang wajar melakukan sujud syukurnya kerana PAS jelas tidak mahu mencalonkannya bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak. 
 
"Saya sujud syukur kerana tidak dicalonkan sebagai calon PAS pada pilihan raya akan datang. Malah, sebaliknya kalau dicalonkan pun pasti saya akan menolak. 
 
"Bila dah diberitahu saya tidak dicalonkan maka saya sujud syukur yang teramat sangat kerana saya tidak mahu dilihat menjadi calon yang akhirnya mengkhianati negara dan rakyat. 
 
“Saya tidak mahu menjadi calon yang mewakili PAS yang tidak dilihat (bersungguh) untuk mengambil alih negara," katanya.
 
Mahfuz berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengesahkan PAS tidak akan mencalonkannya lagi mewakili parti itu dalam PRU akan datang.
 
Malah beliau memberi peringatan kepada Mahfuz supaya keluar PAS berikutan tindak tanduknya yang cenderung menyokong Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP.
 
Mohd Amar berkata, selain Mahfuz, mana-mana pemimpin PAS lain yang secara terbuka menentang parti turut tidak akan dicalonkan dalam PRU14.
 
“Saya beritahu terus terang, Mahfuz tidak akan bertanding lagi. Mereka yang menentang PAS tidak akan dicalonkan lagi. Itu pendirian kita. Kita akan ganti dengan calon yang lebih baik menggantikannya (Mahfuz) di Pokok Sena,” katanya.
 
Mahfuz ajak ahli PAS menjadi sepertinya
 
Sabtu lalu Mahfuz bersama tiga lagi ADUN PAS iaitu Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Nasir Mustapa (Kubang Rotan) dan Dr Syed Azman Syed Nawawi (Batu Burok) menghadiri Konvensyen Nasional 2017 Amanah di Alor Setar, Kedah.
 
Penyertaan mereka dilihat sebagai satu “provokasi” terhadap pemimpin dan penyokong PAS yang menganggap parti Amanah sebagai “seteru politik” PAS kerana secara terbuka mengisytiharkan mahu “mahu menggantikan PAS” dalam persada politik Malaysia.
 
Malah Mahfuz menjelaskan bahawa tindakan mereka yang “kurang wala” pada pemikiran dan halatuju kepimpinan PAS itu, adalah untuk menggalakkan ahli-ahli PAS “tidak perlu keluar PAS bagi menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH)”.
 
Yang menjadi persoalannya, jika keempat-empat wakil rakyat yang memenangi kerusi mereka dalam PRU ke 13 lalu melalui tiket PAS kini berasa sudah mendapat “petunjuk” bahawa PAS bukan parti sesuai untuk mereka, mengapa masih perlu bernaung dalam PAS?
 
Mereka ingkar pada halatuju PAS dan sebaliknya meraikan seteru politik PAS seraya menghasut pula ahli PAS supaya menyokong PH. Sudah tentu ini satu kepetualangan perjuangan yang nyata.
 
Adakah tindakan mereka di Alor Setar Sabtu lalu sebenarnya cabaran terhadap kepimpinan PAS dengan memperli apakah tindakan yang PAS boleh ambil terhadap mereka? 
 
Mahfuz dan rakan tidak gerun dosa pahala?
 
Selain itu gelagat mereka juga mencerminkan niat menghina kepimpinan PAS seolah-olah mahu mempersendakan ideologi politik matang dan sejahtera PAS! Jika mereka jujur dan bermaruah, lebih elok isytihar diri keluar PAS.
 
Jika ini bukan melambangkan insan-insan yang kurang prinsip perjuangan, apakah namanya? Mereka menikam PAS dari belakang bak musuh dalam selimut. 
 
Jika benar mereka pejuang Islam, sepatutnya mereka gerun rezeki dan kedudukan sebagai wakil rakyat PAS yang mereka nikmati sejak Mei 2013, adalah garis dosa bagi mereka.
 
PAS tidak makan “umpan provokasi” wakil-wakil rakyat yang tidak bersyukur ini. Sebab itu PAS segera mengisytiharkan “musuh-musuh” ini tidak akan dipilih sebagai calon PAS lagi.
 
Maka timbul persoalan: Jika ada parti lain dari PH, tidak kira PKR, Amanah atau DAP ingin mencalonkan Mahfuz dan kawan-kawannya itu bertanding PRU 14, bersediakah mereka menerimanya?
 
Jawapan ini perlu diumumkan segera seperti keterbukaan PAS mengumumkan mereka tidak mungkin menjadi calon parti itu lagi. 
 
Sejak parti Amanah ditubuhkan dua tahun lalu, keempat-empat “pemberontak” ini menyorok dalam saf PAS. Tiba masanya mereka mempamerkan kelelakian masing-masing.
 
Justeru, tidak hairanlah mereka ini dicap sebagai “pengkhianat”. Menurut pemimpin-pemimpin Amanah parti mereka memang ditubuhkan untuk menggantikan PAS, maka hipokritlah Mahfuz dan kawan-kawannya masih berteduh dan mencari nafkah dari menjadi “wakil rakyat PAS” tetapi bergerak ‘untuk mengkuburkan’ PAS.
 
Munculnya Mahfuz dan kawan-kawannya di konvensyen Amanah 2017 adalah bak menyertai pesta kurang bergemerlapan. Selepas dua tahun ditubuhkan Amanah masih payah berdikari dan bergantung pada pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mahathir untuk melambai sokongan. 
 
Gelagat pemimpin-pemimpin Amanah juga kurang berhasil menarik sokongan kerana masih  bergelumang dalam retorik politik tanpa inisiatif membentangkan syor bagaimana mahu mendaulatkan Islam dan memelihara kepentingan Melayu. 
 
Mereka hanya mengekori omong PKR dan PPBM yang memang masih merengek terlepas peluang mahu berkuasa. PKR masih jengkel kehilangan pemimpin agung mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara.
 
Walhal yang memulakan kezaliman ke atas Anwar ialah orang yang kini ghairah mahu menumbangkan perdana menteri yang amat dicemburuinya “kerana tidak mahu akur pada hemah dan kebijaksanaannya memerintah negara”.
 
Mahfuz dan kawan-kawan “perisiknya” tidak perlu berpura lagi. Mereka bukan sayang pada PAS malah mendedaki diri dengan kesumat mahu menghancurkan PAS. Rakyat memerhati. 
 
Pilihan mereka ialah di antara PAS yang zuhud mahu Islam mekar di bumi ini dan bukan mahu terus mencari nama dan kuasa berbanding Mahfuz dan rakan komplotnya yang hanya mahu berkuasa di negara ini.
 
 

Empat anak kapal terapung lapan jam sebelum diselamatkan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tiga awak-awak dan seorang tekong warga Indonesia terpaksa bertarung nyawa selama lapan jam selepas bot ‘barter trade’, KM Berkat Mandiri yang dinaiki mereka karam di perairan Indonesia awal pagi semalam sebelum diselamatkan sebuah kapal kargo.
 
Pengarah Maritim Daerah 4 Klang, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata kesemua mereka yang berusia 29 hingga 50 tahun itu terpaksa bergantung kepada jaket keselamatan, tong dan guni pakaian dalam kejadian kira-kira dua pagi tadi, sebelum bot itu karam sepenuhnya lima jam kemudian.
 
“Mereka kemudian diselamatkan kapal kargo RT Odin pada jarak kira-kira 4.8 batu nautika dari Permatang Sedepa, dekat sini, kira-kira tiga petang,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
 
Beliau berkata siasatan awal mendapati bot yang membawa barangan lusuh itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang dekat sini ke Belawan, Indonesia, mengalami kebocoran di bahagian bawah bot.
 
Abu Zaki berkata kesemua mereka dibawa ke Jeti Maritim Daerah 4 Klang untuk siasatan lanjut.
 
Beliau turut mengingatkan pemilik kapal dan bot untuk memasang peralatan pengesan kecemasan seperti Transmiter Lokasi Cemas (ELT), Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB) dan Personal Locator Beacon (PLB) bagi memudahkan APMM mengesan dan menyalurkan bantuan. 
 
 

Gempar belalai air di Jambatan Pulau Pinang [TONTON VIDEO]

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengguna jalan raya di Jambatan Pulau Pinang pada Ahad gempar apabila mendakwa menyaksikan fenomena belalai air atau pusaran angin sekitar jam 5 petang semalam.
 
Kejadian itu berjaya dirakam netizen dan dimuat naik di laman media sosial.
 
Fenomena belalai air tidak asing di negeri berkenaan. Kali terakhir ia berlaku berhampiran Jambatan Pulau Pinang adalah pada Mac lalu.