SHAH ALAM: Tiga awak-awak dan seorang tekong warga Indonesia terpaksa
bertarung nyawa selama lapan jam selepas bot ‘barter trade’, KM Berkat
Mandiri yang dinaiki mereka karam di perairan Indonesia awal pagi
semalam sebelum diselamatkan sebuah kapal kargo.
Pengarah Maritim Daerah 4 Klang, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad
berkata kesemua mereka yang berusia 29 hingga 50 tahun itu terpaksa
bergantung kepada jaket keselamatan, tong dan guni pakaian dalam
kejadian kira-kira dua pagi tadi, sebelum bot itu karam sepenuhnya lima
jam kemudian.
“Mereka kemudian diselamatkan kapal kargo RT Odin pada jarak kira-kira
4.8 batu nautika dari Permatang Sedepa, dekat sini, kira-kira tiga
petang,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati bot yang membawa barangan lusuh
itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang dekat sini ke Belawan,
Indonesia, mengalami kebocoran di bahagian bawah bot.
Abu Zaki berkata kesemua mereka dibawa ke Jeti Maritim Daerah 4 Klang untuk siasatan lanjut.
Beliau turut mengingatkan pemilik kapal dan bot untuk memasang
peralatan pengesan kecemasan seperti Transmiter Lokasi Cemas (ELT),
Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB) dan Personal Locator
Beacon (PLB) bagi memudahkan APMM mengesan dan menyalurkan bantuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan