Oleh SAIFUL IZHAM RAMLI
Pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu di Dewan Rakyat jelas
dilihat hanya 'gula-gula' terutama kepada penjawat awam dan orang
kampung menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
Ini adalah kerana Najib tahu bahawa sokongan daripada golongan ini
sudah berkurangan dan tindakan terdesak dilakukan dengan mengumumkan
pelbagai inisiatif demi mengekalkan kuasa.
Antaranya, menteri kewangan itu telah mengumumkan bayaran khas
'one-off' sebanyak RM1500 kepada semua penjawat awam, ketua kampung, tok
batin, imam, bilal, guru KAFA, guru takmir , tok siak juga pesara
kerajaan.
Namun, adakah 'gula-gula' itu sudah begitu manis untuk memangkah Barisan Nasional pada PRU14?
Rakyat, terutama mereka yang disenaraikan untuk mendapat bayaran khas
ini jangan tertipu kerana semua janji bayaran khas yang diumumkan oleh
Najib tersebut, bukan semuanya diperuntukkan di dalam belanjawan 2018.
Lebih malang lagi, Najib hanya mengumumkan sahaja tanpa belum mengira
kos sebenar. Jadi, adakah kita boleh yakin Najib akan laksanakan janji
beliau?
Saya yakin, rakyat Malaysia tidak mudah untuk terpedaya dengan
'pemanis' yang diberikan dalam 'Ibu segala bajet' kerana saya percaya
mereka masih lagi rasa terbeban dengan kos hidup yang masih tinggi
selain cukai barangan dan perkhidmatan (GST) masih dikekalkan.
Najib turut cuba mengambil hati rakyat Sabah dan Sarawak dengan
mengumumkan peruntukan yang tinggi iaitu sebanyak lebih RM 6.8 bilion
bagi kemajuan dan kesejahteraan penduduk luar bandar di sana.
Ia termasuk membaik pulih sekolah-sekolah daif melalui Sistem
Bangunan Berindustri (IBS), projek Lebuhraya Pan-Borneo, infrastruktur
komunikasi serta kemudahan jalur lebar, projek pembangunan jalan luar
bandar, projek bekalan elektrik dan air bersih, serta lain-lain lagi.
Semua peruntukan untuk projek-projek yang disalurkan itu merupakan
masalah utama di Sabah dan Sarawak tetapi rakyat di sana masih belum
dapat diyakinkan lagi kerana sejak bertahun lamanya, kerajaan Umno BN
telah menjanjikan perkara sama namun sehingga hari ini rakyat Sabah dan
Sarawak masih hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Sebagai
contoh, terdapat banyak lagi kampung seperti kampung Selaping, Kota
Marudu, Sabah yang masih hidup dalam keadaan daif tiada jalan raya
apabila anak-anak kecil terpaksa menggadai nyawa menggunakan jambatan
usang yang diperbuat daripada kayu dan yang berlubang untuk ke sekolah.
Jalan raya pun tidak mampu untuk diberikan sejak dahulu, bagaimana
pula dengan lebuh raya Pan Borneo sepanjang 2000 km yang kononnya
setanding lebuh raya negara maju?
Perkara ini sangat menyedihkan dan setiap kali belanjawan mereka
ternanti-nanti dan mengharapkan ada perubahan dan sinar kesenangan.
Namun sehingga sekarang mereka masih hidup dalam kesengsaraan.
Tidak perlu untuk kerajaan Umno BN berjanji tinggi melangit kalau
tidak boleh melaksanakannya. Jangan beri mereka ini janji-janji kosong
yang tidak dapat ditunaikan.
Saya percaya segala janji-janji manis yang diberikan ini akan menjadi hamis selepas pilihanraya.
Saya ingin tegaskan di sini, tidak kira berapa banyak peruntukan yang
diberikan dan dijanjikan kepada rakyat, apa yang penting mestilah
ditunaikan.
Saya juga ingin mengesa pihak kerajaan telus dalam pembelanjaan dan
sentiasa memantau setiap pembelanjaan yang diperuntukan dalam bajet 2018
ini, agar ia tidak berlaku ketirisan dan disalahgunakan oleh pihak yang
tidak bertanggungjawab seperti yang pernah berlaku sebelum-sebelum ini.-M/K
SAIFUL IZHAM RAMLI adalah mantan Senator dan Pengarah Strategi PKR Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan