Isnin, 30 Oktober 2017

Mayat sah pendaki Malaysia - Wisma Putra

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mayat yang ditemui pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand, Iran pada petang Jumaat lepas disahkan pendaki Malaysia, Ramli Abd Majid yang dilaporkan hilang sejak 20 November 2016.
 
Wisma Putra dalam kenyataan pada Ahad berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang menghulurkan bantuan untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.
 
"Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Iran di atas usaha mencari dan menyelamat yang telah dilakukan, serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa," menurut kenyataan itu.  Agensi berita Iran, Islamic Republic News Agency (IRNA) melaporkan sekumpulan pendaki menjumpai satu mayat dipercayai rakyat Malaysia ketika mereka menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter pada Jumaat lepas.
 
Laporan itu turut menyebut penemuan mayat berkenaan dimaklumkan kepada Jabatan Bulan Sabit Merah di bandar raya Amol di Wilayah Utara Mazandaran yang menghantar pasukan mencari.
 
Pada November tahun lepas, Ramli yang merupakan ketua jurutera sistem di Ibu Pejabat Proton Holdings Bhd, Shah Alam, Selangor bersama seorang lagi pendaki Kelab Jelajah Alpine (KJA) Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dilaporkan hilang selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.
 
Pada 28 Novmeber 2016, Syed Redzuan ditemukan meninggal dunia di kawasan Yakhar Glacier dan jenazahnya dibawa pulang ke Malaysia.
 
 

PAS gesa kerajaan mansuh juga tol di Gombak, Karak

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menggesa kerajaan untuk turut memansuhkan tol di beberapa lokasi lain seperti di Gombak dan Karak. 
 
Menyambut baik langkah kerajaan yang memansuhkan tol di empat lokasi sebagaimana yang diumumkan ketika Bajet 2018 baru-baru ini, Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemansuhan wajar dilakukan di dua lokasi berkenaan atas faktor ia sudah terlalu lama beroperasi.  
 
“Tindakan menghapuskan tol di empat lokasi adalah tindakan yang wajar, namun beberapa tol yang terlalu lama seperti tol Gombak dan Karak juga perlu dihapuskan.
 
“Sebagaimana yang diumumkan bahawa bajet kali ini ialah tawaran kerajaan bagi menghadapi PRU14. PAS khuatir ia hanyalah ‘umpan’ yang akan menambah bebanan rakyat sekiranya BN terus kekal memerintah,” katanya dalam kenyataan. 
 
Selain itu, menurut beliau, negara dijangka tidak berupaya menambah peruntukan untuk pembangunan di mana ia hanya kekal pada kadar RM46 bilion.
 
“Sekiranya semua anggaran hasil negara di 2018 sebanyak RM239.9 bilion digunakan untuk membiayai kos perbelanjaan operasi sebanyak RM234.3 bilion, ini bermakna 88 peratus kos pembangunan (RM40.4 bilion) perlu ditampung melalui pinjaman.
 
“Dengan peruntukan hanya 16 peratus untuk pembangunan, maka hasrat mencapai status negara maju yang digaris dalam Wawasan 2020 akan menjadi angan-angan yang tidak mungkin menjadi kenyataan
 
“Dengan komitmen kos operasi setinggi ini, jika BN menang PRU14, kadar GST dijangka akan terpaksa dinaikkan sekiranya negara memerlukan dana untuk pembangunan,” katanya.
 
Mengulas mengenai peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada kadar sama, Tuan Ibrahim mendakwa, ia membuktikan pengurusan BN tidak berjaya menyejahterakan rakyat.
 
“Sekiranya negara semakin makmur, sepatutnya jumlah keluarga atau individu yang layak menerima BR1M akan berkurang kerana pendapatan mereka bertambah.
 
“Pengekalan peruntukan BR1M menandakan kegagalan kerajaan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
 
 

Polis tahan enam lelaki bergaduh di LDP

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Polis menahan enam lelaki kerana terlibat dalam pergaduhan dipercayai akibat salah faham membabitkan kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong berhadapan IOI Mall, Puchong semalam.
 
Dalam kejadian kira-kira 1.15 tengah hari itu, anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) segera ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan kereta jenis Toyota Vios dan Proton Satria Neo.
 
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata apabila tiba di lokasi kejadian, anggota polis meminta kedua-dua pemandu dan penumpang kereta bersurai namun mereka enggan mematuhi arahan pihak polis.
 
“Kemudian pemandu kereta Proton Satria Neo bertindak masuk ke dalam keretanya dan mengundurkan kereta dengan laju seterusnya melanggar kereta Toyota Vios serta kereta peronda polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Megat Mohd Aminuddin berkata semua suspek berusia 40-an itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut.
 
Video pergaduhan itu kemudian tular di laman sosial.

Hanya satu bilik gerakan PH hadapi PRU14


 
Hanya satu bilik gerakan PH hadapi PRU14


Untuk pertama kali dalam sejarah, gabungan parti-parti pembangkang di bawah Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan hanya satu bilik gerakan di semua peringkat.

Pengerusi pilihan raya PH Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata keempat-empat parti akan bekerja di satu bilik gerakan sahaja untuk peringkat negeri, parlimen dan dun di seluruh negara.

“Dulu hanya Barisan Nasional yang boleh mewujudkan satu bilik gerakan gabungan seperti ini.

“Tapi kali ini PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu akan bekerja dalam satu bumbung bagi menggerakkan jentera pilhan raya bersama di semua peringkat,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian watikah jawatankuasa Dun (JDUN) AMANAH Semerak petang semalam.

Perkara ini katanya telah dipersetujui oleh jentera pilihan raya peringkat pusat.

“Insya-Allah mesyuarat pertama jentera pilihan raya PH yang akan saya pengerusikan minggu depan akan membincangkan kaedah pelaksanaan keputusan ini di negeri Kelantan,” katanya.

Mengulas sambutan orang ramai yang semakin rancak kepada gabungan PH beliau berkata, sokongan kepada tiga pihak di Kelantan sekarang kelihatan setara.

“Berdasarkan pengalaman, saya dapat merumuskan sokongan rakyat Kelantan sekarang kepada PH, BN dan Pas adalah hampir sama iaitu masing-masing mendapat 22 peratus sokongan.

“Satu pertiga lagi rakyat masih dalam keadaan tunggu dan lihat.

“Mereka akan membuat pemerhatian untuk menentukan sikap apabila hampir pilihan raya berdasarkan calon, isu-isu terakhir, andaian siapa yang akan menang dan faktor-faktor lain,” katanya.

Pengerusi JDUN Semerak, Ustaz Ishak menerima watikah daripada pengerusi AMANAH negeri.

Bagaimanapun beliau yakin PH mempunyai peluang paling besar untuk menjadi pilihan mereka yang belum membuat keputusan.

“Walaupun parti-parti dalam gabungan ini adalah baru tetapi peneraju-penerajunya adalah kumpulan berpengalaman yang telah mempunyai rekod kejayaan dalam politik.

“Jentera pilihan raya AMANAH misalnya adalah mereka yang sebenarnya mengendalikan kerja-kerja pilihan raya Pas berpuluh-puluh tahun di peringkat pusat, negeri dan kawasan-kawasan parlimen.

“Bersatu pula semua tahu diketuai sendiri Tun Dr Mahathir dan rakan-rakan seangkatannya,” katanya.

Wisma Putra sahkan penahanan wartawan wanita di Myanmar


Wisma Putra sahkan penahanan wartawan wanita di Myanmar



Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa seorang wartawan wanita warganegara Malaysia ditahan pihak berkuasa Myanmar pada Jumaat kerana dikatakan melakukan penggambaran video menggunakan dron di Bangunan Hluttaw di Nay Pyi Taw tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Menurut kenyataan kementerian itu semalam, Mok Choy Lin (Gambar kanan), yang bekerja dengan Turkish Radio and Television (TRT), ditahan bersama-sama dengan seorang warganegara Singapura (gambar kiri) dan seorang rakyat tempatan di negara itu.

Mereka kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Myanmar.

Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon sedang memantau perkembangan kes itu dan akan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya.

Satu portal berita hari ini melaporkan bahawa pihak berkuasa Myanmar menahan dua wartawan masing-masing dari Malaysia dan Singapura kerana menggunakan dron untuk merakam gambar.

Menurut laporan itu, Kementerian Penerangan Myanmar memaklumkan bahawa kedua-dua wartawan itu mahu merakam gambar bangunan Parlimen dan pagoda di Nay Pyi Taw apabila pengawal keselamatan mengesan perbuatan mereka

Peruntukan RM200 sebulan tidak selesaikan masalah ekosistem padi, beras negara

 
Peruntukan RM200 sebulan tidak selesaikan masalah ekosistem padi, beras negara


Dalam Bajet 2018 yang memberikan bantuan RM200 sebulan untuk 3 bulan sebelum musim menuai kepada golongan pesawah yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak akan dapat menyelesaikan masalah utama industri padi dan beras negara ini.

Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue) berkata, pemberian itu hanya bersifat sementara untuk meredakan kemarahan pesawah yang sebelum ini mendesak kerajaan menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bagi mengantikan syarikat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas).

Nur Fitri Amir Muhammad

Dengan peruntukan hampir RM150juta itu khusus kepada 146,000 pesawah berdaftar ia tidak akan dapat mengatasi masalah golongan pesawah apabila kerajaan didakwa, masih gagal mengawal kenaikan kos yang seiring dengan kenaikan harga padi yang terpaksa di tanggung oleh pesawah di negara ini.

Setiausaha Kordinasi Padi Rescue Nur Fitri Amir Mohamad berkata,eko sistem padi dan beras di negara ini perlu diubah kepada satu sistem yang lebih menyeluruh tidak membebankan golongan pesawah dan pengilang padi.

“Tidak guna jika peruntukan yang besar tetapi hanya akan disedut oleh kartel pertanian yang mencekik pesawah dengan kenaikan kos bertani dan potongan pemutuan padi yang tinggi.

“Kerana itu 14 Tuntuan Padi Rescue menjurus ke arah perubahan sistem dengan mendesak kerajaan menubuhkan semula LPN yang mana kali ini fungsi LPN merentasi bekalan padi dan beras bermula dari benih padi hingga ke pasaran beras,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Bukit Bangsar semalam.

Katanya lagi, jika tanpa kewalan akan berlaku kenaikan harga beras di pasaran.Ini kerana kerajaan tidak mengenakan kawalan harga padi di peringkat kilang.

“Kita percaya kebajikan petani ada kesan dengan pasaran beras, bukan bergantung kepada kualiti padi semata-mata. Kalau bagi bantuan RM200 sebulan tidak menyelesaikan masalah ekosistem yang sudah lama menghimpit kehidupan petani selama ini,” ujarnya.

Mohd Shakirin Mohd Zan

Beliau memberikan contoh yang mana ketika kerajaan meletakkan harga tetap padi kepada RM1,200 tetapi disebabkan kenaikan kos tanpa kawalan seiiring dengan kenaikan harga padi, akhirnya pesawah tidak merasa apa-apa kelegaan.

Perkara ini dijelaskan oleh pesawah dari Bukit Rambai Melaka Mohd Shakirin Mohamad Zan yang mendakwa, sebelum harga diselaraskan oleh kerajaan potongan hanya 15% hingga 17% tetapi apabila kenaikan harga diselaraskan RM1,200 berlaku pula kilang-kilang menaikan peratusan setiap tahu dan terkini antara 24% hingga 26% harga.

“Jika kos setinggi itu tidak termasuk kos pemutuan, kos bajak, kos benih padi dan kos-kos lain pesawah cukup merasai keperitan,” ujarnya.

Manakala Timbalan Pengerusi Persatuan Pengilang Melayu Mohamad Termizi Yop pula berkata, tekanan amat dirasakan dikalangan pesawah, pengilang dan pemborong Melayu.

“Bekalan benih ditanggung petani tetapi kerajaan tidak meletakkan harga syiling pada harga runcit yang kini dikawal di peringkat kilang.

“Kita mengharap sebelum bajet dibentang ada ruang untuk petani dan pengilang dan pemborong Melayu.

“RM200 ini adalah antara yang kami minta dalam memorandum kami dan ia hanya skop kecil daripada 14 tuntutan yang kami buat sebelum bajet dibentangkan oleh perdana menteri,” ujarnya.

Justeru Padi Rescue berpandangan jika kerajaan gagal mengawal kos industri padi dan beras negara ini kemungkinan akan berlaku kenaikan harga beras di pasaran.

Ini akan memberikan kesan kepada petani yang terjejas kerana kos yang sentiasa naik dan ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada penawaran beras negara.

“Sekiranya eko sistem yang ada hari ini terus kekal tidak mustahil satu hari kelak hanya orang yang berkemampuan yang mampu beli beras,” terangnya.

Padi Rescue yang bekerjasama dengan Majlis Tindakan Eknomi Melayu (MTEM) sejak 2013 telah mengkaji ekosistem industri dan beras negara yang dilaksanakan kerajaan selama ini.

Justeru Padi Rescue berpandangan walaupun Bajet 2018 telah diumumkan oleh perdana menteri, badan bertindak ini mengharapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengkaji semula kegagalan Bernas dan keperluan untuk mengwujudkan semula LPN.

Najib dalam pembentangan Bajet 2018 pada Jumaat lalu,  mengumumkan peruntukan RM6.5bilion kepada golongan pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah.

Bagi golongan pesawah  buat pertama kali  Najib yang juga menteri kewangan  mengumumkan bantuan sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian padi  dengan peruntukan hampir RM150juta kepada pesawah.

Selain itu  peruntukan RM2.3bilion bagi bantuan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah  yang turut membabitkan pekebun kecil getah dan nelayan.

Dera anggota TLDM: Mahkamah tetapkan 12 Disember untuk sebutan kes

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
LUMUT: Mahkamah Majistret Seri Manjung menetapkan 12 Disember ini sebagai tarikh sebutan semua kes empat anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa atas 13 pertuduhan melibatkan kesalahan menyebabkan kecederaan serta melakukan ugutan jenayah terhadap anggota pasukan itu di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan bulan lalu.
 
Majistret Nur Shaqira Ibrahim menetapkan tarikh berkenaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim untuk tarikh lain sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
 
Empat tertuduh ialah Mohd. Izhrifikri Roslee, 29; Hamzah Zakaria@Ali, 35; Mohd. Farid Musa, 32 dan Saifulnizam Razaly, 37.
 
Kesemua tertuduh merupakan pengawal pusat tahanan dan berjawatan Laskar Kanan TLDM.
 
Pada 13 dan 17 Oktober lalu, keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan yang dilakukan mereka terhadap empat tahanan di Sungai Wangi.
 
Akibat perbuatan mereka, dua daripada tahanan itu, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailaltuiman Mohd. Sukri, 26, kedua-duanya berpangkat Laskar Kelas 1 meninggal dunia, 29 September lalu.
 
Sementara itu dua lagi tahanan yang berpangkat Laskar Kelas 1 berusia 30 tahun, cedera dipercayai didera di pusat tahanan sama dan dirawat di bilik khas di Wad Pembedahan Lelaki, 96 Hospital Angkatan Tentera.
 
 

Najib tiru bajet negeri Pakatan Harapan


 
Najib tiru bajet negeri Pakatan Harapan

Bajet 2018 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pada Jumaat lalu, umpama ‘copy-paste’ apa yang telah dicanang-canangkan oleh Pakatan Harapan (PH) selama ini kata, Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Zahar Zainul.

Menurut beliau lagi PH telah begitu lama memperjuangkan untuk menghapuskan tol, namun begitu Najib yang juga menteri kewangan hanya mampu untuk mengakui penghapusan tol di lima lokasi sahaja.

Zahar Zainul

“Selama ini kita dalam PH telah berulang kali menyatakan bahawa tiada lagi kutipan tol sekiranya dapat memerintah Putrajaya.

“Tapi Najib hanya mampu untuk menghapuskan hanya lima lokasi sahaja, sebaliknya rakyat tetap juga perlu membayar tol dibawah pemerintahan kerajaan sekiranya mereka menang sekali lagi.

Beliau juga berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam sebanyak dua kali membuktikan kerajaan yang diterajui oleh Najib sudah tidak lagi mempunyai surplus atau lebihan sepertimana yang ada pada kerajaan PH.

“Pemberian bonus kepada penjawat awam terpaksa dibuat sebanyak dua kali iaitu pada Januari dan Aidilfitri 2018 amat jauh bezanya dengan pentadbiran kerajaan PH di Selangor dan Pulau Pinang.

“Jika di Pulau Pinang kita telah pun mampu membayar bonus pada bulan Disember dan tidak perlu membuat pembayaran sebanyak dua kali.

“Ini adalah kerana kita mempunyai wang lebihan yang mampu untuk digunakan bagi manfaat pelbagai golongan dalam negeri ini.

“Kerajaan negeri juga telah membelanjakan sejumlah RM412 juta bagi pelbagai program kebajikan rakyat sebagai bukti kemampuan mentadbir dan membela rakyat negeri ini, ” ujarnya lagi.

Zahar yang juga merupakan Ketua Penerangan Kerajaan Negeri berkata, pemberian sebanyak RM200 untuk anak emas yang dilahirkan di negeri ini telah pun dilaksanakan sebelum pengumuman bajet 2018 oleh Najib.

“Pemberian RM200 bagi program ADAM (Amanah Dana Anak Malaysia) seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri telah pun dilaksanakan lebih awal di Pulau Pinang dari apa yang hendak dilaksanakan oleh BN.

“Selain dari pemberian ini kerajaan negeri juga telah lama membantu golongan nelayan, pemandu teksi dan juga penarik beca serta operator bas sekolah.

“Warga emas, pelajar emas termasuklah mereka yang berada dalam tahun satu dan tahun empat serta tingkatan satu dan tingkatan empat turut diberikan sumbangan tahunan bagi meringankan beban persekolahan, ” tegasnya lagi.

Malah katanya menjelang pembentangan bajet negeri Pulau Pinang, banyak lagi sumbangan dan program kebajikan yang akan diberikan kepada rakyat negeri ini bagi membela nasib mereka.

Sehubungan itu katanya, mengekalkan kuasa kepada kerajaan PH adalah menguntungkan rakyat daripada terus memberi mandat kepada BN yang akan mensengsarakan rakyat untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

‘Dia kelentong kita, kaburi mata untuk pancing undi’


 
‘Dia kelentong kita, kaburi mata untuk pancing undi’


Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dilihat sebagai mantera dan jampi untuk tujuan mengaburi mata rakyat dan menabur rasa simpati dan peduli kerajaan sedangkan ia hanya untuk memancing undi,kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk A Kadir Jasin.

Beliau berkata, dengan anggaran kerajaan untuk meningkatkan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM43.8 bilion daripada RM41.5 bilion tahun ini, menunjukkan syarikat berkaitan kerajaan tidak dapat menampung perbelanjaan kerajaan.

“Selain GST ada cukai lain macam cukai pendapatan, cukai korporat, cukai import, cukai eksport, cukai setem, cukai jalan, tarif dan macam-macam lagi bayaran yang rakyat jelata kena bayar. Mati pun kena cukai juga dalam bentuk cukai harta peninggalan.

“Hanya sebahagian kecil saja hasil kerajaan datang daripada perniagaan yang dilakukan oleh Petronas, Khazanah Nasional Berhad dan 1MDB,” ujarnya dalam tulisan di blognya hari ini.

Beliau turut mengulas mengenai peruntukan Bajet 2018 sejumlah RM280.25bilion yang menyaksikan pertambahan peruntukan berbanding RM 260.9bilion pada tahun lalu.

Bagi tahun 2018, Najib menganggarkan hasil sebanyak RM239.9 bilion tapi kerajaan bercadang berbelanja sejumlah RM280.25 bilion.

Justeru kata A Kadir lagi, dalam bajet dibentangkan perdana menteri yang mencadangkan perbelajaan sejumlah RM234.25 bilion untuk pengurusan dan RM46 bilion untuk pembangunan, ujarnya lagi, menyebabkan perbelanjaan bagi tahun ini naik 7.5 peratus kerana Najib dakwanya, menggunakan duit pembayar cukai untuk pancing undi.

“Kerajaan kurang duit sebanyak RM40.35 bilion dalam Bajet 2018 kerana hasil berjumlah RM239.9 bilion tapi belanja RM280.25 bilion. Jadi kena hutang RM40 juta lebih.

“Najib kutip cukai daripada rakyat jelata kemudian guna duit itu untuk sogok rakyat jelata supaya undi BN. Dia kelentong kita. Dia kata kerajaan bagi duit kepada rakyat jelata.

“Bukan kerajaan bagi tapi kita sendiri yang bagi. Kita bayar GST dan macam-macam cukai lagi untuk tadbir dan bangunkan negara.

“Najib ambil duit itu untuk sogok kita supaya undi parti dia. Dia ingat kita bangang,” ujarnya.

Hukuman buang daerah masih relevan

 
 Hukuman buang daerah masih relevan


Hukuman buang daerah yang dikenakan ke atas penjenayah masih relevan untuk dikekalkan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengkaji untuk menambah baik pengisian program untuk individu yang dibuang daerah agar terus relevan dengan perkembangan semasa.

“Elemen buang daerah bukanlah sesuatu yang asing dalam undang-undang yang berbentuk pencegahan, individu-individu yang dibuang daerah ini atau dalam istilah sebenarnya dalam pengawasan polis bukanlah diabaikan pihak kerajaan.

“Orang-orang yang diletakkan di bawah pengawasan polis ini dipantau oleh ketua polis balai dan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan mengikut kesesuaian kemahiran dimiliki mereka,katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk William @ Nyallau Badak (BN-Lubok Antu) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengkaji semula program membanteras jenayah menerusi hukuman buang daerah yang menurutnya tidak berkesan dalam memberi pengajaran kepada penjenayah yang terlibat.

Nur Jazlan berkata individu yang dikenakan hukuman sekatan itu juga diberikan peluang untuk mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu keluarga mereka sekiranya berkelayakan.

Dalam pada itu, beliau berkata adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada individu yang dibuang daerah atau disekat bagi peningkatan kadar jenayah di sesuatu kawasan.

Katanya, individu yang dibuang daerah biasanya menjalani hukuman itu selama dua tahun dan akan mengikuti proses pemulihan sebelum dibenarkan pulang ke tempat asalnya selepas selesai proses itu.

Menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang ingin tahu statistik terkini pemenjaraan wanita yang terlibat dengan dadah, Nur Jazlan berkata sehingga 9 Okt lepas, terdapat sebanyak

1,703 orang wanita dipenjarakan berkaitan kesalahan itu dengan 931 telah disabitkan, manakala 772 masih dalam reman.