Isnin, 30 Oktober 2017

Dera anggota TLDM: Mahkamah tetapkan 12 Disember untuk sebutan kes

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
LUMUT: Mahkamah Majistret Seri Manjung menetapkan 12 Disember ini sebagai tarikh sebutan semua kes empat anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa atas 13 pertuduhan melibatkan kesalahan menyebabkan kecederaan serta melakukan ugutan jenayah terhadap anggota pasukan itu di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan bulan lalu.
 
Majistret Nur Shaqira Ibrahim menetapkan tarikh berkenaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim untuk tarikh lain sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
 
Empat tertuduh ialah Mohd. Izhrifikri Roslee, 29; Hamzah Zakaria@Ali, 35; Mohd. Farid Musa, 32 dan Saifulnizam Razaly, 37.
 
Kesemua tertuduh merupakan pengawal pusat tahanan dan berjawatan Laskar Kanan TLDM.
 
Pada 13 dan 17 Oktober lalu, keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan yang dilakukan mereka terhadap empat tahanan di Sungai Wangi.
 
Akibat perbuatan mereka, dua daripada tahanan itu, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailaltuiman Mohd. Sukri, 26, kedua-duanya berpangkat Laskar Kelas 1 meninggal dunia, 29 September lalu.
 
Sementara itu dua lagi tahanan yang berpangkat Laskar Kelas 1 berusia 30 tahun, cedera dipercayai didera di pusat tahanan sama dan dirawat di bilik khas di Wad Pembedahan Lelaki, 96 Hospital Angkatan Tentera.
 
 

Tiada ulasan: