Khamis, 1 Oktober 2015

'Saya harap tuhan balas bila anak Shahbudin kahwin'

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamid mengecam penulis blog Shahbudin Husin kerana menjadikan majlis perkahwinan anaknya di Indonesia sebuah isu.

Beliau berharap tuhan akan menghukum Shahbudin ekoran tulisan dalam blog pada 20 September lalu itu.

"Saya harap Tuhan akan menghukum dia bila anak perempuan atau anak lelakinya berkahwin satu hari nanti.

“Di mana ada neraka...," kata Zahid yang kemudiannya menghentikan percakapan sebentar dan ketawa.

"Sudah, sudahlah, cukuplah...," kata Zahid yang tersenyum dan kemudiannya disambut ketawa hadirin dalam sidang media itu.

Sebelum itu Zahid memberi penjelasan berhubung persoalan yang dibangkitkan oleh Shahbudin berkaitan kehadirannya dalam majlis perkahwinan anak lelakinya sewaktu lawatan rasminya di Indonesia bulan lalu.

"Saya harap Shahbudin Husin yang mengenali saya sejak tahun 1987. Jangan main dengan perkataan dengan menyoal dan menyuruh saya menjelaskannya.

"Dia patut jumpa saya untuk (mendapatkan) penjelasan. Kenapa perlu dia tanya saya supaya menjelaskan kepada umum, sebab saya tak guna atau salah guna dana awam," katanya.

Menulis dalam blognya semalam, Shahbudin berkata beliau dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kelmarin untuk memberi keterangan berhubung tulisannya bertajuk "Kenapa lawatan rasmi Zahid ke Indonesia sama tarikh dengan majlis sanding anaknya di Jakarta?".

Shahbudin antara lain bertanya berkaitan tarikh majlis perkahwinan itu diadakan kebetulan dengan lawatan rasminya, jumlah perbelanjaan dan pegawai serta tetamu Malaysia yang hadir.


Tajuddin beri amaran mahu lempang Cina Malaysia

Shakira Buang


 


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini memberi amaran akan "melempang" rakyat Cina di negara ini jika mengadu masalah kepada pihak luar.

"Saya nak bagi amaran juga kepada Cina-Cina Malaysia jangan ingat bila ada masalah dia nak mengadu, sikit-sikit mengadu supaya ada yang lindungi mereka.

"Nak kena lempang macam itu," kata Tajuddin sambil ketawa kecil dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Perdagangan dan Persidangan Herbal Asia 2015 di bangunan Matrade, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Malah, anggota Majlis Tertinggi Umno itu meminta rakyat Cina di negara ini berhenti "berangan" bahawa ada pihak luar yang akan membela nasib mereka.

"Orang Cina yang ada di Malaysia jangan beranganlah bila ada big boss datang, ada godfather datang dari negara China sebab nak tolong dia.

"Jangan berangan begitu," katanya yang juga anggota Parlimen Pasir Salak.

Menurut Tajuddin lagi, kehadiran Duta Besar China Huang Huikang ke Malaysia hanya untuk melindungi rakyat negaranya yang melancong di Malaysia.

"Dia kata nak lindungi rakyat dia bukan Cina Malaysia, buat apa nak campur tangan. Saya pun marah kalau dia campur tangan.

"Duta China kata kenyataan dia telah digembar-gemburkan, dia tidak ada niat campur tangan dalam hal ehwal negara kita, tak ada niat nak membela orang Cina di sini," kata Tajuddin.

Huang semalam mengingatkan bahawa lawatannya ke Jalan Petaling Jumaat lalu tidak harus dijadikan sebagai satu isu anti kerajaan Malaysia.

Huang mengulangi kunjungannya sebagai lawatan muhibah dan untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang kebimbangan keselamatan, sebelum membuat keputusan sama ada akan mengeluarkan nasihat perjalanan kepada pelancong dari China.

Tajuddin bagaimanapun selepas itu menghubungi Malaysiakini memberitahu bahawa beliau merujuk kepada "Cina DAP" apabila membuat kenyataan itu.

Rakaman suara sidang media itu bagaimanapun mendapati beliau menyebut "Cina-Cina Malaysia".

( KLIK ) sedutan rakaman suara sidang media itu.


Mahkamah benar PM tangguh prosiding saman Anina

Alyaa Azhar


 


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk menangguhkan prosiding saman yang difailkan Anina Saadudin berhubung isu RM2.6 bilion.

Mahkamah membenarkan penangguhan itu sementara menunggu selesai permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh bekas ahli Umno itu.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata alasan bagi membenarkan permohonan itu ialah 'keadaan khas' yang mewajarkan penangguhan itu.

Salah satu daripada alasannya adalah tanpa memberi penangguhan itu, akan menjejaskan permohonan untuk membatalkan saman tersebut, kata Hafarizam kepada wartawan.

Mengenai apakah alasan permohonan untuk membatalkan saman itu, beliau berkata, plaintif tidak mempunyai locus standi kerana dia bukan lagi ahli Umno dan juga tidak pemegang jawatan dan bukan seorang pegawai awam.

Oleh itu, katanya, saman itu yang didakwa Anina dibuat bagi pihak Umno itu, kurang kewajaran di mahkamah.

"Sebarang perkara yang berkaitan dengan keputusan dan hal ehwal parti-parti politik, mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan, tidak boleh dicabar di mahkamah," katanya.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan penangguhan itu di dalam kamar hari ini.

Ditanya apakah pembelaan mereka sekiranya Najib diminta berbuat demikian, Hafarizam berkata: "Ia adalah spekulatif. (Tetapi) satu-satunya pembelaannya ialah mencabar locus standi saman ini".

Ketika ditemui pemberita kemudian, Anina berkata beliau menghormati keputusan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan Najib itu.

"(Kita akan) beralih kepada apa yang akan datang," katanya.

Exco: Bocor surat mufti untuk cetus ketidaktenteraman

Susan Loone   





Exco Hal Ehwal Islam Pulau Pinang Abdul Malik Kassim meluahkan rasa kesal mengenai surat daripada mufti negeri yang dibocorkan bagi mencetuskan rasa ketidaktenteman di kalangan komuniti orang Islam.

Beliau berkata ekoran kebocoran surat itu "dengan niat buruk mencetuskan ketidaktenteraman umum", kerajaan negeri dan Ketua Menteri Lim Guan Eng dipersalahkan kerana mencampuri urusan hal ehwal Islam di negeri itu.

"Itu tidak betul. Keputusan ini tiada kena mengena dengan kami, tapi disebab surat itu dibocorkan dengan niat tidak baik untuk mencetuskan masalah, sesetengah pihak mengancam untuk berdemonstrasi dan menjalankan aktiviti untuk mengganggu gugat kerajaan negeri.

"Kami sedang menyiasat bagaimana surat itu bocor dan siapa yang buat dan kami akan mengambil tindakan sepatutnya termasuk membuat laporan polis.

"Ia terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai isu itu kerana proses menggazet fatwa itu mengambi tempoh yang panjang," katanya.

Beliau merujuk kepada fatwa yang dinyataan dalam surat pejabat mufti negeri bertarikh 1 September berkaitan keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang melarang pembesar suara dan membenarkan hanya untuk azan solat sahaja.

Mufti Negeri Datuk Wan Salim Mohd Noor berkata keputusan itu tidak mencemarkan kesucian Islam sebaliknya ia berada di atas landasan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Perlis juga membuat larangan yang sama beberapa tahun sebelum ini tetapi pembangkang sudah mula menyalahkan Lim mengenai keputusan itu untuk dilaksanakan fatwa yang sama di Pulau Pinang.

Legasi MAS selaku sykt penerbangan negara berakhir

SINAR HARIAN


MAS

MAS
 
 
KUALA LUMPUR - Zaman Malaysia Airlines (MAS) sebagai syarikat penerbangan legasi bagi Malaysia telah berakhir, dan MAS yang sedang menjalani penstrukturan semula kini perlu beroperasi sebagai entiti perniagaan sepenuhnya, kata bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat hari ini.
  
Menurut beliau walaupun segelintir pihak berkemungkinan masih emosi mengenai MAS sebagai syarikat penerbangan legasi, sentimen ini tidak perlu pada masa kini disebabkan realiti persaingan yang semakin sengit dalam industri penerbangan.
  
"Kita tidak boleh lagi berfikir ditakuk lama untuk terus mengekalkan MAS sebagai syarikat penerbangan legasi, tetapi perlu menjadikannya sebagai entiti komersial, bersaing secara agresif dalam dunia perniagaan, berorientasikan keuntungan,” katanya kepada Bernama apabila ditanya mengenai harapan beliau kepada syarikat baharu, Malaysia Airlines berhad (MAB), yang mengambil alih syarikat penerbangan tersebut bermula 1 September lepas.
  
"Saya percaya ini sangatlah kritikal, ia amat bergantung kepada sama ada kita bersedia atau tidak untuk bersaing hebat di pasaran. Tetapi jika kita hanya ingin mengekalkan MAS seperti dahulu kala, itu mungkin menjadi cerita yang berbeza dan ia agak sukar di sebalik situasi semasa yang mencabar,” kata beliau.
  
Ong menjelaskan bahawa syarikat penerbangan legasi memerlukan kerajaan membelanjakan jumlah subsidi yang besar semata-mata untuk memastikan MAS terus beroperasi seperti dilakukan sejak beberapa tahun lalu, dan itu "tidak lain tidak bukan adalah duit rakyat," dan Malaysia tidak lagi berupaya untuk berbuat sedemikian, tambah beliau.
 
"MAS yang baharu ini tidak boleh lagi dianggap sebagai syarikat penerbangan legasi tetapi perlu berpaksikan keuntungan seperti syarikat-syarikat penerbangan lain di rantau ini seperti Japan Airlines (JAL) dan Garuda Indonesia.
 
Syarikat penerbangan legasi adalah milik masa silam dan bukan bagi abad ke-21, kata Ong.
  
Menurut Ong MAS Baharu bakal menghadapi cabaran mendatang yang semakin sengit dan sukar berikutan pelaksanaan Polisi Langit Terbuka Asean yang telah dipersetujui oleh negara-negara Asean pada 2009 ketika beliau menjadi Menteri Pengangkutan.
  
"Berdasarkan senario sebegini, saya berpendapat MAS Baharu dengan kumpulan pengurusan dan strategi baharu akan berupaya untuk berdaya saing dalam situasi pasaran baharu tersebut.
  
MAS telah menjalani penstrukturan semula secara menyeluruh dan kesungguhan mereka dalam mengurangkan pekerja dan berusaha untuk mengubah budaya kerja dengan konsep pemasaran baharu di bawah pimpinan Christoph Mueller, Ketua Pegawai Eksekutifnya," tambah beliau.
  
Beliau yakin kesemua ini akan meletakkan entiti baharu ini pada landasan kukuh, setelah membuang masalah-masalah lama.
  
Tetapi beliau juga memberi amaran, langkah ini tidak menjamin kejayaan.
  
"Anda mungkin mempunyai pelan yang canggih, dan teliti dalam segala aspek tetapi pada masa sama perlu mempunyai dedikasi dah kesungguhan untuk melaksanakannya, bukan sahaja di peringkat atasan, malah keseluruhan tenaga kerja. Itu penting. Dan masih terlalu awal bagi sesiapa untuk menilai sama ada pelan ini akan berjaya atau sebaliknya."
  
Mengulas mengenai laluan baharu, Ong berpendapat langkah MAB membatalkan laluan-laluan yang merugikan tidak boleh hanya berdasarkan kepada prestasi untung dan rugi MAS lama.
  
"Sebaliknya, kajian perbandingan antara MAS lama dengan pesaing-pesaing yang menggunakan laluan yang sama perlu dipertimbangkan kerana ia boleh menjadi penanda aras kepada langkah drastik seperti membatalkan laluan-laluan udara tersebut.
  
"Tanpa kaji selidik yang teliti, pembatalan laluan-laluan udara dikhuatiri akan menyebabkan kita melepaskan laluan-laluan yang sukar untuk kita peroleh hak pendaratan daripada pihak berkuasa kerana kita telah bekerja keras untuk berunding dengan pihak-pihak berkuasa luar negara bagi mendapatkan hak pendaratan pada masa lepas,” kata beliau.
  
Beliau menjelaskan hak-hak pendaratan bukanlah sesuatu yang perlu dibuang atau ditinggalkan sewenang-wenangnya.
  
"Pada masa sama, laluan udara baharu juga perlu diterokai secara terperinci supaya MAB berupaya memperoleh lebih banyak laluan ke destinasi-destinasi baharu. Ini perlu dipertimbang memandangkan agenda utama MAS Baharu adalah untuk menjadikannya lebih berdaya saing dan juga mencatat keuntungan."
  
Ditanya mengenai 6,000 pekerja yang dilepaskan di bawah pelan pengurangan pekerja, Ong berkata: "Saya tetap berpendapat langkah mengurangkan pekerja perlu dilaksanakan, walaupun ia satu keputusan sukar tetapi langkah pemberhentian pekerja ini patut merangkumi pihak pengurusan dan bawahan, seperti yang telah dilaksanakan MAS.
  
Menyentuh mengenai rancangan pihak pengurusan baharu untuk membentuk semula budaya kerja di MAB, beliau berpendapat mengubah budaya adalah satu ujian besar kepada pihak pengurusan kerana memandangkan amat sukar untuk mengubah "tabiat-tabiat lama".
  
"Perlu ada orang baharu untuk membentuk semula budaya baharu. Tetapi pada sudut yang lain, pembentukan budaya baharu perlukan satu imbangan yang bersesuaian dalam menguruskan tenaga kerja sedia ada.
  
Kakitangan MAB perlu diberi pemahaman bahawa masa depan mereka bergantung dan berkait rapat dengan keseluruhan entiti. Jika MAS Baharu mempunyai masa depan yang cerah, maka pekerjaan mereka lebih terjamin dalam entiti baharu dan sebaliknya.
  
Bekas Menteri Pengangkutan tersebut juga beranggapan bahawa pihak pengurusan baharu juga tentu mengharapkan bahawa MAB bebas daripada campur tangan politik sekali gus memudahkan pengurusan syarikat penerbangan berkenaan.
  
"Tetapi kita tunggu dan lihat sejauh manakah kesungguhan kita dalam mengembalikan syarikat penerbangan negara ke landasan keuntungan tanpa campur tangan politik," kata beliau mengakhiri temu ramah.  - Bernama


Macai, jika terbongkar kamu akan dihina, keji

Macai, jika terbongkar kamu akan dihina, keji
Abu Kassim (kanan) ketika Majlis Perasmian Kevin Morais Moot Court, hari ini.


KUALA LUMPUR - 'Anda tidak boleh lari'. Demikian antara amaran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kematian Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Menurutnya, apa yang berlaku hanya melengahkan siasatan bukan menghentikan siasatan atau pendengaran kes sama sekali.

"Saya lihat situasi yang dialami tuan Kevin sebagai satu cubaan untuk menggagalkan kes yang sedang dibicarakan atau usaha untuk mengganggu dan menakut-nakutkan atau satu usaha intimidasi ke atas pegawai pencegah rasuah. Mereka sanggup guna apa saja cara untuk halang siasatan.

"Kepada pihak-pihak yang mahu menghalang siasatan dan kes yang dibicarakan, dunia hari ini sudah berbeza. Anda tidak boleh lari daripada sistem keadilan. Jangan cuba halang, ganggu dan kekang proses siasatan dan perbicaraan.

"Anda boleh menang sembunyikan bukti dari mata pihak berkuasa tapi anda tidak boleh sembunyikan daripada mata rakyat," katanya.

Abu Kassim berkata demikian dalam kemunculan pertamanya selepas bercuti sakit bulan lalu pada Majlis Perasmian Kevin Morais Moot Court sempena sambutan hari ulang tahun ke-48 SPRM, hari ini.

Namun atas faktor kesihatan, beliau hanya memberi kata aluan dan teks ucapannya dibacakan oleh Timbalannya (Operasi), Datuk Seri Shukri Abdull.

Abu Kassim juga memberi amaran kepada macai atau pihak yang bersubahat dalam cubaan menggagalkan siasatan atau perbicaraan kes rasuah bahawa imbuhan yang diperoleh mereka tidak akan menjamin ketenangan dan ketenteraman dalam kehidupan.

"Perbuatan keji yang dilakukan akan mengganggu kehidupan hingga akhir hayat. Jika perbuatan tersebut terbongkar, kamu akan dihina dan dikeji oleh masyarakat.

"Pada masa itu, barulah kita sedar apa yang kita dapat langsung tidak ada nilai berbanding dengan maruah diri yang hilang," katanya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang bersalah boleh mengelak daripada dikesan untuk suatu tempoh tertentu sahaja bukan selama-lamanya.

"Ingat siasatan tidak akan berhenti hanya kerana ada pihak yang cuba menyembunyikan bukti atau melarikan saksi. Jika terbukti bersalah, mahkamah adalah tempat pengadilan kelak.

"Rakyat akan menilai dan menghukum anda. Tidak kita anda rakyat biasa, ahli perniagaan, tokoh korporat atau pemimpin politik," katanya.

Dalam ucapan sama, beliau melahirkan harapan agar pegawai-pegawainya meneruskan tugas sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat dengan bebas, telus dan profesional.

"Ini sebahagian ujian dan dugaan yang kita perlu lalui sebagai seorang pegawai pencegahan rasuah dan warga kerja SPRM.

"Pengurusan tertinggi SPRM akan terus bersatu dalam menangani kesemua dugaan yang kita sedang hadapi sekarang. Kita mahu memastikan kehendak rakyat sentiasa diutamakan," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya tidak mahu ada mana-mana penguatkuasa gugur di tangan pihak yang mementingkan diri sendiri seperti yang menimpa Kevin Morais.

"Saya berharap masyarakat akan terus bersama dengan SPRM terus memberi sokongan supaya nasib yang menimpa tuan Kevin tidak berulang.

"Kita tidak mahu seorang lagi timbalan pendakwa raya atau hakim gugur di tangan pihak yang hanya utamakan kepentingan diri sendiri dan yang menguntungkan diri mereka," katanya.

Nama Kevin Morais diabadikan pada Moot Court di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur sebagai tanda memperingati bekas pegawainya itu.


YANG DIPENJARA KHIR TOYO, PENGAJARANNYA ADALAH UNTUK KITA

shahbudindotcom

 






Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo akhirnya terpaksa merengkok di Penjara Kajang selama 12 bulan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak sebulat suara rayuannya untuk menukar hukuman itu kepada bentuk khidmat sosial dengan memberikan rawatan gigi secara percuma selama dua tahun.

Melalui keputusan mahkamah paling tinggi itu, hanya pengampunan Sultan Selangor saja lagi selepas ini yang dapat meringankan hukuman yang diterimanya itu.

Dengan tidur di penjara yang tidak pernah terduga olehnya, mungkin malam ini dan beberapa malam seterusnya Dr Khir agak sukar melelapkan mata atau hanya mampu berjaga sepanjang malam sambil mengenang nasib dirinya.

Sebagai manusia, memang kita bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya. Tidak bersimpati pula bermakna kita sebagai manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan itu. 

Siapalah menduga daripada kedudukan yang tinggi sebagai ketua sebuah kerajaan negeri paling kaya, tiba-tiba menjadi penghuni penjara.

Namun, kita tidak boleh pula terlalu bersimpati dan kasihan sehingga menganggap perbuatan rasuah itu sebagai jenayah yang boleh dimaafkan. Dalam kehidupan dan beragama sekali pun, amalan rasuah memang amat ditegah kerana kesannya yang amat buruk kepada kehidupan serta tamadun manusia.

Oleh itu, dalam kita bersimpati kepada hukuman yang diterima Dr Khir ini, ia haruslah berpada-pada sebenarnya. Salah tetap salah dan undang-undang hendaklah dihormati.

Yang penting daripada kes Dr Khir ini ialah apakah pengajarannya kepada kita semua?

Kita semua yang dimaksudkan itu ialah pemimpin yang sedang memegang jawatan, mereka yang sedang mengejar kuasa dan sesiapa saja yang entah tiba-tiba diletakkan kuasa ke ribanya suatu hari nanti.

Kepada yang sedang gah dan megah dengan kuasa serta ghairah mengumpul kekayaan, kes Dr Khir ini seharusnya menjadi ulangan sekian banyak peringatan kepada mereka. Selain sudah banyak kes rasuah melibatkan pemimpin menjadi tontotan kita selama ini, apabila tidak lagi berkuasa, kes-kes lama juga bila-bila masa boleh diungkit semula.

Kalau mahu curi-curi makan juga, pandai-pandailah melakukannya. Tetapi sebijak mana pun melakukannya, janganlah dilupa bahawa hanya hukuman di dunia saja yang mampu dielakkan kerana di akhirat nanti, semua rakaman perbuatan kita tetap akan ditayangkan semula tanpa tapisan atau suntingan walau sedikit pun.

Kepada yang belum beroleh kuasa dan sedang mengejarnya, jadikanlah kes Dr Khir ini sebagai teladan untuk berkhidmat dengan jujur dan amanah serta takut untuk mendekati sebarang amalan rasuah.

Kita yang bukan siapa-siapa hari ini dan begitu kuat membenci rasuah, haruslah juga ingat bahawa jangan sementara belum ada kuasa saja menolak atau membenci rasuah tetapi berubah sikap apabila tiba-tiba ada kuasa dalam genggaman.

Rasuah haruslah dibenci ketika tidak ada kuasa, malah seharusnya lebih dibenci apabila mempunyai kuasa kerana rasuah semakin menggila apabila kian tinggi jawatan yang disandang.

Hari ini mungkin nasib Dr Khir Toyo, entah esok lusa barangkali nasib kita pula,  walaupun sekarang ini kita belum menjadi siapa-siapa lagi. Terlebih mustahak daripada segala-galanya ialah siapa pun kita hari ini, ambillah sedikit iktibar daripada apa yang menimpa Dr Khir ini.

Tiada usul minta kerajaan Selangor pecat JKKK Pas – PKR Sg Besar

Berita itu direka dan disebarkan oleh blogger UMNO dan BN untuk menimbulkan perbalahan dengan Pas.


pas-selangor


PETALING JAYA: PKR Cabang Sungai Besar menafikan mereka telah meluluskan usul yang meminta kerajaan Selangor memecat Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) daripada Pas.

Ketua Cabang, Mohamad Fauzi Ahmad sebaliknya mendakwa, berita itu sengaja disebarkan penulis blog UMNO bertujuan menimbulkan perbalahan dengan Pas.

“Saya menafikan dakwaan ini. Ia tidak benar. Malah, mereka juga memuatnaik gambar ketika mesyuarat sudah selesai untuk menunjukkan tidak ramai ahli PKR hadir mesyuarat sedangkan kehadiran 120 orang.

“Isu ini sengaja diputar belit oleh blogger UMNO dan BN, segala fitnah yang dibuat adalah hasil daripada kerja-kerja puak UMNO,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Beberapa blog menyiarkan dakwaan kononnya PKR Cabang Sungai Besar telah meluluskan usul itu memecat Pas dan menggantikan Pengerusi JKKK daripada PKR, DAP dan Amanah.

Mohamad Fauzi berkata, mesyuarat cabang itu meluluskan tiga usul iaitu;

1.Mendesak kerajaan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim
2.Kerusi Parlimen Sungai Besar dan DUN Sungai Panjang yang dipegang Pas diserahkan kepada PKR
3. Satu pengundi di Sungai Besar satu undi untuk PKR

Dia berkata, tiga usul yang diluluskan itu akan diserahkan kepada PKR Negeri Selangor untuk membuat keputusan.

“Kami hanya mencadangkan dan kami terima segala keputusan PKR Negeri. Kami berdiri teguh dibelakang PKR Negeri dan kepimpinan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya.


Prosiding saman Anina pada PM diketahui esok

MALAYSIAKINI






Mahkamah Tinggi menetapkan esok sama ada membenarkan ataupun sebaliknya permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan prosiding saman yang difailkan bekas anggota Umno Anina Saadudin berhubung tuntutan pembayaran balik RM2.6 bilion.

Presiden Umno itu memohon pengangguhan tersebut sementara mahkamah mendengar prosiding permohonan beliau dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab. Rauf Yusoh, yang turut dinamakan sebagai defendan, untuk mengetepikan writ saman Anina.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh tersebut di dalam kamar selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Ab Rauf memberitahu pemberita, beliau mengemukakan hujah bahawa permohonan Anina wajar ditangguhkan kerana bekas anggota Wanita Umno Langkawi itu tidak mempunyai locus standi (tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman bagi pihak Umno.

Tambahnya, keahlian Anina telah gugur dengan sendirinya apabila mengambil tindakan mahkamah terhadap parti pada 28 Ogos lalu berdasarkan Fasal 20.7 Perlembagaan Umno.

Fasal tersebut menyatakan bahawa seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan parti maka keahliannya dalam parti gugur dengan sendirinya.

Mohd Hafarizam berkata pada hari ini mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua defendan untuk penangguhan interim untuk memfailkan kenyataan pembelaan sehingga keputusan penangguhan prosiding esok.

"Pihak kami tidak perlu memfailkan pembelaan esok pagi sehingga keputusan dibuat sama ada permohonan kami dibenarkan atau tidak. Sekiranya mahkamah menolak, saya akan mendapatkan arahan daripada anak guam untuk tindakan seterusnya sama ada membuat rayuan ataupun memfailkan pembelaan," katanya.

Berdasarkan rekod mahkamah, pengurusan kes terhadap permohonan membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan Anina telah ditetapkan pada 6 Okt.

Pada 28 Ogos lepas, Anina, memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan antaranya bagi menuntut pembayaran balik sejumlah US$650 juta yang didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik UMNO di Singapura.

Anina diwakili peguam Mohd Hanif Khatri Abdulla.-Bernama


SKMM siasat blogger, posting kahwin anak lelaki Zahid

MALAYSIAKINI





Penulis blog Shahabudin Husin dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam untuk memberi keterangan berhubung tulisan dalam blognya berkaitan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.

Anggota Umno itu memberi penjelasan berhubung tulisannya pada 20 September bertajuk "Kenapa lawatan rasmi Zahid ke Indonesia sama tarikh dengan majlis sanding anaknya di Jakarta?".

Shahbudin berkata beliau disiasat oleh SKMM bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan ia kali pertama dipanggil berbuat demikian.

Menulis dalam blognya hari ini, Shahabudin berkata sehari sebelum itu, kakitangan SKMM datang ke rumahnya untuk menghantar surat arahan kehadiran supaya beliau mematuhi perintah yang dikeluarkan.

"Sebelum diambil keterangan, saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat SKMM bahawa saya disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Saya menjelaskan kepada pegawai SKMM bahawa artikel yang ditulis itu lebih berupa pertanyaan dan bukannya tuduhan kepada Zahid Hamidi memandangkan ia sudah menjadi perbualan ramai sebelum itu," tulis Shahbudin.

Menurutnya, beliau memberi keterangan kepada suruhanjaya itu selama dua jam.

Seksyen 233 memperuntukkan seseorang melakukan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya.

Shahabudin berkata artikel yang ditulisnya itu lebih kepada pertanyaan dan bukannya tuduhan bagi membolehkan Zahid atau pegawainya menjawabnya.

Katanya, hal ini sama seperti yang berlaku kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke majlis persandingan anaknya di Kazakhtan pada April lalu.

Menurutnya lagi, beliau turut memaklumkan satu perenggan dalam tulisannya bahawa beliau memohon penjelasan daripada Zahid bagi mengelakkan fitnah dan salah faham berhubung perkara itu.

"Sebagai penulis, saya hanya membangkitkan apa yang menjadi perbualan ramai itu...

"Ketika menjadi wartawan dulu, saya pernah sekali diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri mengenai penulisan berkaitan Korea Utara.

"Semua cabang dan jalur kehidupan pada hakikatnya ada cabaran masing-masing serta kerikil-kerikil yang mesti dilalui," katanya.

Dalam tulisanya juga, Shahabudin mendakwa bahawa aduan kepada SKMM dibuat oleh pembantu Zahid.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat Zahid untuk mendapatkan maklum balas.