Berita itu direka dan disebarkan oleh blogger UMNO dan BN untuk menimbulkan perbalahan dengan Pas.
PETALING JAYA: PKR Cabang Sungai Besar menafikan mereka telah meluluskan usul yang meminta kerajaan Selangor memecat Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) daripada Pas.
Ketua Cabang, Mohamad Fauzi Ahmad sebaliknya mendakwa, berita itu sengaja disebarkan penulis blog UMNO bertujuan menimbulkan perbalahan dengan Pas.
“Saya menafikan dakwaan ini. Ia tidak benar. Malah, mereka juga memuatnaik gambar ketika mesyuarat sudah selesai untuk menunjukkan tidak ramai ahli PKR hadir mesyuarat sedangkan kehadiran 120 orang.
“Isu ini sengaja diputar belit oleh blogger UMNO dan BN, segala fitnah yang dibuat adalah hasil daripada kerja-kerja puak UMNO,” katanya kepada Free Malaysia Today.
Beberapa blog menyiarkan dakwaan kononnya PKR Cabang Sungai Besar telah meluluskan usul itu memecat Pas dan menggantikan Pengerusi JKKK daripada PKR, DAP dan Amanah.
Mohamad Fauzi berkata, mesyuarat cabang itu meluluskan tiga usul iaitu;
1.Mendesak kerajaan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim
2.Kerusi Parlimen Sungai Besar dan DUN Sungai Panjang yang dipegang Pas diserahkan kepada PKR
3. Satu pengundi di Sungai Besar satu undi untuk PKR
Dia berkata, tiga usul yang diluluskan itu akan diserahkan kepada PKR Negeri Selangor untuk membuat keputusan.
“Kami hanya mencadangkan dan kami terima segala keputusan PKR Negeri. Kami berdiri teguh dibelakang PKR Negeri dan kepimpinan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan