Isnin, 4 Mac 2019

BN perlu dapatkan kembali pengundi Cina, India

siti hafidah

Naib Presiden UMNO perbetul kenyataan kemenangan di Semenyih

BANGI – Barisan Nasional (BN) memerlukan undian dan dukungan rakyat, termasuk kaum India dan China, untuk menjayakan Malaysia seperti yang diimpikan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, artikelnya bertajuk ‘Lima Pengajaran Kemenangan BN di Semenyih’ semalam tidak bermaksud mengatakan bahawa BN tidak memerlukan undian Cina dan India di mana-mana pilihan raya sekalipun.

Sebaliknya, beliau menegaskan BN harus berusaha mengembalikan semula kepercayaan pengundi Cina dan India kepada parti itu, kerana setiap undi adalah penting.

“Seperti yang saya telah katakan, meskipun BN tidak mendapat sokongan kaum Cina, dan hanya 40 peratus undi dari kaum India, orang Melayu masih boleh menghantar signal yang jelas kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menzahirkan ketidakpuasan mereka dengan mengundi calon BN.

“Justeru, saya berharap artikel semalam diadili secara objektif mengikut konteks Pilihan Raya Kecil Semenyih sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dalam artikel bertajuk ‘Lima Pengajaran Kemenangan BN di Semenyih’ Khaled menyatakan BN menang tanpa sokongan masyarakat Cina dan India dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Di PDM Bandar Rinching, yang 50 peratus pengundinya ialah kaum India, sokongan terhadap PH masih lagi sangat nyata iaitu hampir 60 peratus. Sekalipun begitu, keadaan ini tidak merencatkan pencapaian BN.

“Sebaliknya menunjukkan impak kemenangan BN tanpa sokongan bangsa Cina dan India. Pada masa yang sama, ini juga bermakna BN mesti bekerja lebih keras untuk mengembalikan sokongan India dan Cina kepada BN,” katanya.

Pada PRK Semenyih Sabtu lalu, BN menawan semula kerusi kawasan itu selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).


Tiada ulasan: