Selasa, 9 Julai 2019

DAP punca Umno, BN enggan terima pelawaan Dr M


   

Presiden Umno berkata parti itu dan BN tidak akan menerima pelawaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai Bersatu selagi ada pemimpin PH "bersekongkol" dengan DAP.

Menggunakan alasan perpaduan Melayu dan Islam, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno dan BN tidak dapat menerima pelawaan untuk menyertai mana-mana parti lain.

"Kita (Umno) tidak dapat menerima sebarang pelawaan mana-mana parti, apatah lagi mana-mana pemimpin parti yang terus bersekongkol dengan DAP.

"Umno dan BN tidak boleh terima jika DAP terus menguasai kerajaan yang ada sekarang ini," katanya.

Anggota parlimen Bagan Datuk itu juga mendakwa DAP kini menterjemah agenda Malaysian Malaysia yang tidak dapat diterima oleh Umno dan BN.

"Ini adalah pendirian Umno dan BN," katanya.

Pada 5 Julai lalu, Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu - termasuk Umno - untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadukan serta memperkasakan kuasa politik Melayu.




Pengerusi PH itu berkata, kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

PAS hari ini sudah menegaskan hasrat mereka untuk istiqamah dengan Umno.

Malaysiakini melaporkan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu memang konsisten bersama dengan Umno dalam konsep penyatuan.

Ahmad Zahid berkata Umno dan BN memang sentiasa bersikap terbuka dan berlapang dada untuk menerima realiti politik.

Namun kata pengerusi BN itu, tawaran dibuat Mahathir baru-baru ini tidak dapat diterima mereka.


Tiada ulasan: