Rabu, 13 November 2019

MCA, MIC belum jadi anggota Muafakat Nasional

 

Didakwa PAS bahawa MCA dan MIC adalah sebahagian daripada Muafakat Nasional, hari ini seorang pemimpin kanan Umno menyatakan sebaliknya.

Menurut Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, dua parti terbabit belum lagi menyertai Muafakat Nasional, sebaliknya bersama dalam pakatan BN.

"Belum lagi, kami masih BN," kata Ismail dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Sebelum ini Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, memberitahu bahawa piagam Muafakat Nasional jelas menunjukkan bahawa Umno - yang mendandatangani dokumen tersebut - bermaksud berserta dengan BN, MCA dan MIC, manakala PAS disertai parti Berjasa dan Ikatan yang membentuk Gagasan Sejahtera.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Takiyuddin itu, Ismail Sabri bagaimanapun berkata, hal itu akan dijelaskan pada waktu lain.

"Yang itu kita buat PC (sidang media) lain," katanya ringkas.

Menjelang dua hari saja lagi untuk PRK Tanjung Piai, MCA dan MIC masih tidak menyatakan secara jelas sama ada mereka menjadi sebahagian daripada Muafakat Nasional yang mempertemukan Umno dan PAS secara rasmi dalam satu gabungan.

Bagaimanapun, kedua-dua parti tersebut kelihatan seperti menerima idea tersebut.




Dalam ceramah BN-PAS pada Rabu lalu, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, dalam ucapannya merujuk Muafakat Nasional sebagai satu bentuk perpaduan pembangkang.

Semalam, di majlis Belia Muafakat Nasional, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong berkata konsep itu adalah untuk pembangkang bekerjasama ke arah sesuatu lebih baik.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC, R Thinalan, menjelaskan bahawa Muafakat Nasional menunjukkan semua kaum boleh bersatu demi kepentingan rakyat.

Dalam PRK Tanjung Piai PAS memberikan sokongan padu kepada calon BN yang juga ketua MCA kawasan itu, Wee Jeck Seng, yang cuba merampas kembali kerusi yang pernah dimenanginya selama dua penggal sebelum PRU ke-14 lalu.


Tiada ulasan: