Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran kepada pemimpin gabungan itu yang berhasrat untuk berpaling tadah.
Menggelar pemimpin berkenaan sebagai 'reptilia melompat', Ahmad Zahid berkata tindakan akan diambil terhadap mereka apabila sampai waktunya.
Presiden Umno itu mengingatkan bahawa beliau mempunyai kuasa untuk tidak memilih mereka sebagai calon pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Sewaktu kita diuji, kita mahu lihat siapa yang melompat. Jangan lupa saya memerhati. Jangan lupa kuasa untuk memeterai watikah untuk jadi calon adalah pengerusi BN.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan perhimpunan agung MCA kali ke-66 di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid berkata ada di kalangan pemimpin parti itu yang mahu menjadi 'reptilia melompat', tanpa menyebutkan nama.
"Kita tak menjadi reptilia yang melompat, ada yang melompat waktu kita mendengar guruh di langit, hujan mahu turun, mereka pecahkan tempayan. Akhirnya mereka menyesal," katanya secara berjenaka.
"Diam, bukan bererti kita tidak pandai, diam bukan ertinya kita tidak mahu ambil tindakan. Diam-diam ubi berisi, diam-diam tumpu strategi.
"Tiba masanya kamu akan tau apa yang saya akan lakukan," katanya di hadapan 1,499 perwakilan MCA yang bertepuk tangan dan ketawa.
Sebelum ini dilaporkan lebih 20 anggota parlimen, bersama-sama Anggota Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein bertemu Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di kediaman menteri hal ehwal ekonomi itu di Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan