Khamis, 11 Julai 2019

Najib Penasihat BN: KJ, Nazri tak boleh terima hakikat - Lokman Adam

Raja Hisyam Raja Zaid, Astro Awani
Najib Penasihat BN:  KJ, Nazri tak boleh terima hakikat - Lokman Adam
Kata Lokman (gambar) Khairy sememangnya dari dahulu meletakkan semua bebanan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu ke atas Datuk Seri Najib. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Lokman Adam berkata dia tidak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Nazri Aziz yang tidak bersetuju dengan pelantikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Barisan Nasional (BN).

Katanya Khairy sememangnya dari dahulu meletakkan semua bebanan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu ke atas Datuk Seri Najib dan sehingga kini masih tidak dapat menerima kenyataan terhadap kebangkitan bekas perdana menteri itu.

“Sebab itu bila akar umbi kebanyakkannya ahli Umno dan penyokong BN dan Pas boleh menerima kembali Datuk Seri Najib, KJ ini agak sukar hendak terima sebab dia awal-awal lagi sudah menjangkakan akan jatuh terus dan tak mungkin dapat kembali dan dia memang awal-awal lagi 'memukul' Datuk Seri Najib," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pagi Khamis.

Tambah beliau KJ juga mungkin melihat perlantikan Datuk Seri Najib itu sebagai muqadimah (langkah awal) dalam barisan kepimpinan BN dan akan kembali menjadi perdana menteri.
 
Dan bagi beliau justeru itulah KJ kurang senang dengan perlantikan tersebut.

KJ dilaporkan memberi kenyataan secara sinis pada Rabu bahawa dia tiba-tiba berasa tidak gembira ketika ditanya tentang perlantikan 'bos lama'nya itu sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional.

Sementara itu Lokman  turut membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Nazri Aziz yang turut tidak bersetuju dengan perlantikan tersebut.

“Kalau kita lihat Presiden Umno pernah mencadangkan nama beliau sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional tetapi pada ketika itu MCA dan MIC menolak cadangan tersebut.

"Tetapi dalam kes Datuk Seri Najib ini walaupun jawatan Pengerusi Majlis Penasihat itu sebelum ini tidak wujud tapi mereka sanggup mewujudkan jawatan itu. Mungkin Nazri kecewa dengan jawatan tertinggi BN itu," katanya.

Malah dakwa beliau, Nazri sebenarnya mempunyai kerjasama dengan musuh BN iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga DAP.

Maka katanya tidak hairanlah mengapa kenyataan sebegitu dikeluarkan oleh beliau.

“Saya percaya bahawa Nazri memang ada hubungan dan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga DAP dan beliau lebih percaya bahawa disebabkan sokongan masyarakat Cina hari ini lebih kepada DAP maka dia berasakan bahawa sudah tiba masanya DAP diangkat menjadi parti komponen menggantikan MCA dan Gerakan,” katanya lagi.

Nazri pada Rabu menyifatkan pelantikan Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) sebagai 'langkah ke belakang'.

"Kita (BN) kalah di bawah siapa? Apa bentuk nasihat yang dia boleh berikan kepada kita?" kata bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu kepada pemberita di lobi Parlimen. 
 
 

Tiada ulasan: