Selasa, 1 September 2020

Kerajaan sekat pas jangka panjang warga asing

HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyekat kemasukan pemegang pas jangka panjang membabitkan warga asing bermula 7 September ini.

Menteri Kanan (Pertahanan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekatan tersebut dilakukan ekoran kenaikan mendadak kluster warga asing di dalam negara berkaitan.

“Kerajaan telah membuat keputusan untuk mengenakan sekatan kepada pas jangka panjang bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina.

“Sekatan ini merangkumi enam kategori, iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, jika warga asing dari tiga negara itu kembali ke negara asal, mereka tidak dibenarkan lagi memasuki Malaysia, meskipun individu tersebut pemegang pas.

“Kalau dulu saya umumkan kelonggaran kemasukan beberapa kategori untuk masuk ke Malaysia, namun kita tidak benarkan lagi.

“Buat masa ini, tiga negara itu sahaja yang disekat kemasukannya. Sekiranya negara lain turut mencatatkan kes COVID-19 secara mendadak, tindakan yang sama akan dikenakan,” kata Ismail Sabri. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: