ALOR SETAR: Kedah tidak bercadang mengadakan pilihan raya mengejut kerana pentadbiran sedia ada stabil, kata Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor.
Katanya, tidak bijak untuk membuang masa atau sumber ke atas pilihan raya negeri ketika ini, sedangkan pilihan raya Parlimen sudah mencukupi.
“Kami sudah bersedia untuk pilihan raya Parlimen, Di peringkat negeri, kerajaan mempunyai 23 kerusi, manakala pembangkang 13 kerusi. Ia akan berlayar sehingga pelabuhan,” katanya ketika membentangkan kad laporan “100 hari pertama menjadi menteri besar” di Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Terdapat 23 Adun Perikatan Nasional (PN) dalam 36 kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah. PAS mempunyai 15 kerusi, PPBM (4), manakala Umno dan bebas masing-masing 2 kerusi.
Sanusi bagaimanapun berkata, jika pucuk pimpinan pusat PN mahu pembubaran DUN, beliau akan mengikut nasihat itu.
Terdahulu, Sanusi melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dengan tema memakmurkan negeri dan sesuai didiami.
Pelan pembangunan itu akan menyaksikan 12 daerah dalam negeri itu memfokuskan sektor seperti pertanian dan industri bio.
Sanusi berkata, negeri itu juga akan meningkatkan kewibaannya sebagai pengeluar beras negara melalui peningkatan pengeluaran padi dan mendorong penanaman durian duri hitam dan jagung.
Katanya, penanaman kenaf di tanah seluas 300ha juga akan diteruskan untuk membantu komuniti terpinggir, bersama ladang buluh dengan keluasan mencecah 1,000ha yang dapat membawa pendapatan hampir RM14,000 sehektar.
Pelan rancangan itu turut bercadang memindahkan kilang kitar semula plastik dari Sungai Petani ke Bukit Selambau, yang dikatakan akibat kebimbangan terhadap pencemaran dan menutup tapak pelupusan sampah Semeling, yang sering berlaku kebakaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan