KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim terpilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 hari ini.
Rais memegang jawatan itu bagi menggantikan Tan Sri S.A. Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lalu mendapat undi tertinggi dalam persidangan Dewan Negara hari ini.
“Tan Sri Rais Yatim mendapat 45 undi, Senator Yusmadi mendapat 19 undi. Jumlah 64 orang dan seorang tidak hadir. Maka menurut saya dengan itu saya memashyurkan Rais Yatim dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara,” kata Timbalan Speaker Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad.
Mengikut Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Negara, apabila jawatan Yang Dipertua kosong maka majlis sebaik-baik cukup bilang ahli hendaklah memilih Yang Dipertua.
Sekiranya terdapat lebih satu nama, undian harus dilakukan sehingga seorang calon mendapat undi lebih berbanding undi calon atau jumlah undi calon-calon lain.
Selepas pemilihan itu, speaker dan empat Ahli Dewan Negara baharu iaitu Tan Sri Mohamad Apandi Mohamad (lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan), Datuk Seri S. Vell Paari (lantikan Yang di-Pertuan Agong) serta Ahmad Yahaya dan Datuk Wira Othman Aziz (lantikan DUN Kedah) dijadualkan mengangkat sumpah.
Rais yang berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari tahun 1978 hingga 1982 sebelum memegang beberapa jawatan penting di peringkat kerajaan pusat.
Antaranya jawatan Kabinet penting dipegang olehnya ialah Menteri Penerangan, Menteri Kebudayaan dan juga Menteri Luar.
Beliau pernah bersama Tengku Razaleigh Hamzah keluar UMNO dan menubuhkan Parti Semangat 46.
Bagaimanapun setelah Semangat 46 dibubarkan, beliau kembali ke pangkuan UMNO.
Rais sebelum ini mengangkat sumpah jawatan Senator pada Jun lalu.
Dewan Negara mempunyai 70 senator dengan 26 dilantik oleh 13 negeri manakala 44 lagi dilantik Yang di-Pertuan Agong termasuk dua bagi Wilayah Perkutuan Kuala Lumpur dan satu untuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Tempoh jawatan adalah tiga tahun atau sepenggal dan seseorang senator hanya boleh dilantik semula sekali sahaja untuk dua penggal berturut. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan