Sabtu, 1 Ogos 2020

Suspek rogol, lacur anak, isteri akan dituduh di mahkamah minggu depan

Kumara Sabapatty
MGF25072020_KES-ROGOL-02-681x453
Lapan suspek termasuk bapa kandung yang rogol dan lacur anak perempuan
dan isterinya di bawa oleh pegawai polis untuk permohonan reman baharu
di bawah siasatan akta ATIPSOM di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi,
Selangor. foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan dan tujuh warga asing yang direman sejak 13 Julai lalu dalam kes seorang bapa kandung merogol dan melacurkan anak serta isterinya lebih 3 tahun lalu akan dituduh di Mahkamah Kajang pada minggu hadapan.

Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 43 tahun itu telah disambung reman bermula 31 Julai sehingga 8 Ogos ini untuk meneruskan siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM) 2007.

Sumber polis memberitahu MalaysiaGazette bahawa kertas siasatan yang dibuka terhadap suspek yang merupakan seorang pemandu lori serta tujuh lagi suspek warga asing sejak 24 Julai lalu telah dilengkapkan untuk tindakan lanjut.

“Semalam kami telah membawa kesemua lapan suspek berkenaan menghadap di Mahkamah Majistret Kajang dan berjaya mendapatkan kebenaran sambung reman sehingga 8 Ogos ini untuk meneruskan siasatan.

“Namun kertas siasatan yang telah dibuka di bawah ATIPSOM itu kini sudah dilengkapkan.

“Cuma kertas siasatan yang dibuka untuk kesalahan merogol pula masih belum lengkap dan apabila selesai nanti kesemua suspek berkenaan akan dituduh di Mahkamah Kajang pada Selasa atau Rabu minggu depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah sumber itu lagi, kertas siasatan pertama terhadap kesemua lapan suspek itu di bawah Seksyen 376B/372 Kanun Keseksaan & Sek 43(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan 2016) dibuka dan dimulakan sejak 13 Julai lalu.

Menurutnya, kini polis menunggu laporan perubatan membabitkan kedua-dua mangsa wanita untuk menyelesaikan kertas siasatan kes rogol di bawah Kanun Keseksaan.

“Bahagian siasatan kedua-dua mangsa wanita menjadi mangsa rogol dan dilacur itu belum siap kerana polis belum menerima keputusan laporan perubatan kesihatan mereka.

“Laporan itu sepatutnya (diterima) Jumaat ini (31 Julai 2020), jadi saya rasa ia (laporan perubatan) mungkin diperolehi pada Isnin ini dan kemudian kita akan lengkapkan kertas siasatan untuk kesalahan rogol dan melacurkan mangsa.

“Selepas itu kita akan menyediakan kertas pendakwaan dan kesemua lapan suspek berkenaan akan diheret ke mahkamah atas dua pertuduhan iaitu merogol dan melacurkan mangsa,” kata sumber itu lagi. – MalaysiaGazette

BERITA BERKAITAN  * Bapa rogol, lacur anak dan isteri direman 7 hari

*  Bapa rogol, lacurkan anak bersama 5 warga asing direman

Tiada ulasan: