PETALING JAYA: Pemimpin kerajaan diingatkan untuk menunjukkan teladan baik kepada rakyat dengan memakai topeng di semua majlis dan mesyuarat serta mengamalkan penjarakan sosial.
Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata pegawai kanan kerajaan turut dilihat melanggar peraturan yang dilaksanakan ke atas orang ramai.
“Tidak masuk akal untuk mereka minta rakyat mematuhi SOP, tetapi mereka dan kakitangan mereka tidak berbuat demikian,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii dilaporkan menggesa kerajaan persekutuan dan negeri mewajibkan rakyat memakai topeng di kawasan berisiko tinggi, termasuk pasar awam, klinik dan hospital, sekolah, pengangkutan awam, ruang awam dan kawasan tertutup dengan orang ramai untuk jangka panjang, selain meneruskan amalan kebersihan dan penjarakan sosial untuk mengekang penularan pandemik itu.
Katanya, pemakaian topeng perlu untuk mencegah penularan virus itu kerana kira-kira 70% pesakit Covid-19 di Malaysia tidak bergejala.
Ketua kumpulan perubatan, Malaysian Medics International, Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam, berkata SOP sedia ada mungkin tidak mencukupi, khasnya untuk pesakit tidak bergejala.
“Bagaimanapun, pemeriksaan suhu mungkin pilihan paling mudah dan kurang invasif yang kita ada. Ia juga perlu menjadi tanggungjawab individu untuk kekal berwaspada dan jujur, jika mereka mempunyai gejala atau jika mereka mungkin terdedah (kepada Covid-19).”
Sementara itu, Azrul berkata, penggunaan semula topeng kain lebih lestari dan menjimatkan kos dalam jangka panjang, serta beliau kesal janji kerajaan untuk memberikan topeng percuma bagi semua isi rumah tidak mencapai kebanyakan sasarannya.
“Ia ternyata tidak mungkin untuk menyediakan (topeng) sekurang-kurangnya 3 topeng kepada setiap isi rumah di negara ini seperti yang diumumkan pada awalnya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan