Isnin, 11 Mei 2020

Tun M, Anwar sudah ‘tamat tempoh’ pimpin negara

Siti Hafidah

 

Kedua-duanya rakus sehingga sanggup bersekongkol dengan DAP

BANGI – Perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya untuk mengembalikan mandat rakyat sebenarnya hanya kata-kata hiasan yang diletakkan atas tapak kerakusan kuasa peribadi.

Pengerusi Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim percaya kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah hasil tipu muslihat mereka kepada rakyat.

“Mereka berjaya menipu rakyat dengan gula-gula manifesto bulan bintang yang didendangkan siang malam ketika kempen PRU14 dahulu. Hakikatnya mereka mengambil kesempatan atas nama mandat rakyat untuk memenuhi kerakusan kuasa politik mereka yang semakin gila.

“Hakikatnya mereka sudah tua dan tamat tempoh untuk memimpin negara. Mereka gagal menyediakan pimpinan pelapis.

“Hingga saat kini tiada muka baharu yang berjaya dilahirkan untuk meneruskan perjuangan dan mengambil alih pimpinan utama parti mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bahkan kata Ustaz Zamani, Ahli Parlimen Langkawi dan Ahli Parlimen Port Dickson itu juga adalah pemimpin yang tidak berwatak negarawan tetapi sebaliknya berwatak kepartian.

Katanya, perkara itu jelas kerana saat negara berhadapan masalah COVID-19 kedua-dua mereka sibuk memukul canang agenda kepartian.

“Di saat kerajaan dan rakyat berganding bahu melepaskan negara dari kemelut serangan wabak COVID-19, mereka berdua mengheret pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan perdana menteri.

“Sebagai pemimpin beragenda sepatutnya mereka berdua mengambil nafas panjang dan bijak serta berhikmat. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan Islam Melayu yang dominan, maka sepatutnya mereka berdua beri laluan secara berhikmat sehingga PRU15.

“Sementara masa yang ada ini, sepatutnya susun strategi untuk memperkukuhkan kuasa dominan di kalangan pemimpin parti parti Islam dan Melayu.

“Kemudian gandingan yang mantap itu nanti jelmakan melalui PRU15 demi perjuangan yang beragenda untuk agama dan bangsa,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Zamani berkata, kedua-dua mereka terlalu rakus, sehingga untuk memenuhi kerakusan itu sanggup bersekongkol dengan DAP.

Dakwanya, Dr Mahathir dan Anwar yang memimpin DAP masuk Putrajaya dan akhirnya membariskan pemimpin parti tamak haloba tersebut menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri.

“DAP tersenyum riang tanpa segan silu melebarkan agenda bangsanya walaupun terpaksa mencabar Perlembagaan Persekutuan. Sekali lagi saya katakan, tangan mereka berdualah yang bergelumang dengan dosa pengkhianat kerana memimpin tangan DAP berjaya masuk Putrajaya.

“Bukti kerakusan mereka berdua, mereka tidak langsung mengambil kira taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Baginda telah menggunakan kebijaksaan yang penuh hikmat untuk memastikan kestabilan negara tetap terjaga, sedangkan tangan mereka berdua jualah yang telah menjadikan negara hilang kerajaan buat seketika.

“Mereka berdua jualah yang telah mengheret Agong dalam kancah kerakusan itu untuk mengembalikan negara kembali berkerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim menyatakan mereka tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa ia tidak mendapat mandat rakyat.

Kedua-duanya menyatakan prinsip mereka jelas dari hari pertama kerajaan PN ditubuhkan, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

Tun Mahathir juga bertindak mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).


Tiada ulasan: