Rabu, 8 Julai 2020

4 pelajar sekolah antara 21 ditahan sertai pesta liar

KUALA LUMPUR: Polis menahan 21 individu termasuk 4 pelajar sekolah menengah yang menyertai pesta liar di sebuah pangsapuri servis di Bukit Bintang pada awal pagi Sabtu lepas.

Ketua Polis Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, mereka yang berusia antara 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam 1 serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 4.30 pagi.

Ketika serbuan, polis memeriksa 34 individu yang terdiri daripada 28 lelaki dan 6 wanita yang berada di kediaman terbabit.

“Daripada jumlah itu, seramai 21 orang didapati positif dadah jenis methamphetamine. Bagi mereka yang didapati negatif ujian saringan air kencing, (mereka) dibebaskan tanpa syarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Bagi tangkapan bawah umur, mereka direman selama 2 hari bermula Ahad lepas manakala selebihnya direman sehingga hari ini (7 Julai),” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Tiada ulasan: