Ahad, 23 Januari 2022

Wanita maut dihempap lori simen terbalik

Lori simen terbalik dan menghempap Perodua Kelisa lalu mengorbankan pemandu kereta tersebut dalam kejadian di Kota Bharu hari ini./ Gambar media sosial

SEBUAH lori simen yang dipercayai mengalami kerosakan brek di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, terbalik dan menghempap sebuah kenderaan dipandu seorang wanita petang tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 4.10 petang itu, mangsa, Roslina Anat Lat, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Gambar dan video insiden tersebut turut tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata lori simen itu dipandu dari arah Pengkalan Chepa menghala ke Jalan Sri Cemerlang.

Katanya, setiba di lokasi, pemandunya menyedari brek lori gagal berfungsi dan mengambil keputusan membelok ke kiri untuk mengelak terlanggar kenderaan di hadapan.

“Ketika membelok, kenderaan berat itu tiba-tiba terbalik lalu menghempap kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa yang berhenti di lampu isyarat laluan bertentangan.

“Akibat kemalangan, mangsa yang tersepit di dalam keretanya meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya seperti dilapor BH Online hari ini.

Menurut Mohd Suhaimi, mangsa yang cedera pada dada dan kaki dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

Katanya, kemalangan turut membabitkan sebuah lagi kereta iaitu Honda Civic namun pemandunya tidak cedera.

“Kemalangan disyaki berpunca daripada kecuaian pemandu lori dalam memastikan kenderaannya selamat dikendalikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya.

Tiada ulasan: