Ahad, 23 Januari 2022

Perhimpunan: Polis siasat penglibatan Ahli Parlimen, ADUN

Beberapa ahli politik termasuk Ahli Parlimen disiasat berhubung perhimpunan di ibu negara hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat penglibatan beberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam perhimpunan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) di Bangsar hari ini.

 Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Awam 2012 selain Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Amihizam dalam satu kenyataan hari ini berkata peserta perhimpunan seramai kira-kira 50 orang yang memakai baju hitam mula berkumpul di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar sejak pukul jam 10.45 pagi.

 “Pada kira-kira jam 11.45 pagi, jumlah peserta perhimpunan dianggarkan seramai 400 orang mula berarak dengan membawa kain rentang bercetak “Tangkap” ke Jalan Travers sehingga di persimpangan lampu isyarat ke Pekan Brickfields,” katanya.

Menurutnya kesemua peserta perhimpunan kemudian bergerak kembali ke Stesen LRT Bangsar dan bersurai secara berperingkat selepas 30 minit setelah ketua perhimpunan memberi ucapan. 

Amihizam berkata seramai 21 pegawai polis dan 205 anggota dari pelbagai unit termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) terlibat mengawasi perhimpunan itu.— BERNAMA

Tiada ulasan: