KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberi jaminan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra di Kuala Langat akan mula beroperasi pada penggal baharu persekolahan Mac ini.
Perkara itu diumumkan Radzi ketika meninjau sekolah berkenaan bersama Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi maklumat lanjut berkenaan pendaftaran pelajar ke SMK Bandar Saujana Putra dalam tempoh terdekat.
"Pada tahun 2020 kami pernah hadir ke sekolah ini untuk meninjau keadaan SMK Bandar Saujana Putra. Alhamdulillah kita lihat keadaan sekolah hari ini siap sepenuhnya dan menunggu perabot untuk dilengkapkan di dalam kelas.
"Dengan adanya kemudahan SMK Bandar Saujana Putra ini, ia tentu memberi banyak kemudahan dan manfaat kepada ibu bapa di kawasan ini bagi membolehkan mereka menghantar anak ke sekolah yang lebih dekat.
"Insya-Allah kami di KPM akan usahakan yang terbaik bagi memastikan SMK Bandar Saujana Putra ini dapat beroperasi sepenuhnya pada sesi persekolahan Mac 2022," katanya menerusi video ringkas di Facebooknya, malam ini.
Sebelum ini, BH melaporkan, pembinaan projek sekolah rendah dan menengah di Bandar Saujana Putra yang terhenti sejak Disember 2019, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.
Penantian lebih 40,000 penduduk, khususnya yang mempunyai anak bersekolah sejak 10 tahun lalu masih belum berakhir apabila kompleks sekolah yang sepatutnya mula beroperasi 2020 tidak menjadi kenyataan.
Mengetahui kesukaran ibu bapa menghantar anak ke sekolah, Radzi berkata, pihaknya dapat merasakan betapa mereka tertunggu-tunggu bilakah SMK Bandar Saujana Putra boleh mula beroperasi.
"Memahami kesulitan dihadapi ibu bapa dan murid, saya telah meminta supaya projek ini dipulih dan disiapkan segera serta dipantau dari semasa ke semasa.
"Alhamdulillah, awal minggu ini saya dimaklumkan pembinaan sekolah siap sepenuhnya. Hari ini, kami sekali lagi turun untuk melihat persediaan terakhir sebelum sekolah dibuka dan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan, pada Mac nanti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan