Khamis, 13 Januari 2022

Serah memorandum: Maszlee dipanggil polis esok

Maszlee ketika berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya. - Foto Twitter Maszlee Malik
Maszlee ketika berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya. - Foto Twitter Maszlee Malik

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mempersoalkan tindakan polis memanggilnya berhubung satu siasatan penyerahan memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini.

Beliau memaklumkan, akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada jam 10 pagi esok tanpa memperincikan sebab dirinya dipanggil.

"Sehubungan kehadiran saya menyaksikan penyerahan memo oleh @AMKMalaysia kepada @SPRMMalaysia pada Isnin lalu, saya sudah dipanggil untuk disoal siasat oleh pihak @PDRMsia esok.

"Saya hanya menyaksikan. Bukan serah memo (memorandum) pun," katanya dalam ciapan di Twitter beliau hari ini.

Beliau juga mempersoalkan sama ada polis sudah memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki serta adiknya, Nasir Baki, berhubung beberapa laporan polis yang dibuat terhadap mereka.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, kelmarin dilaporkan berkata, seramai 20 hingga 30 peserta membabitkan ahli AMK sudah dipanggil memberikan keterangan secara berperingkat bagi membantu siasatan yang sedang berjalan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021(P.U.(A) 293.

Isnin lalu, sekumpulan ahli AMK diketuai ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menghantar memorandum berupa plakad tertera ayat 'Undur Azam Baki' kepada SPRM.

Mereka melakukannya secara berkonvoi dengan kereta bermula dari Dataran Putrajaya ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Tiada ulasan: