Khamis, 13 Januari 2022

Pembangunan kawasan kolam takungan air tak wajar

- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Sebarang pembangunan di kawasan kolam takungan air tidak wajar dilaksanakan bagi mengelak gangguan terhadap lokasi tadahan air berkenaan.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman, berkata perkara itu penting kerana ia membabitkan isu nasional dan keselamatan negara.

"Secara dasar, perlu nilai semula dan perlu dibuat kajian dengan mendalam kerana KASA berpandangan tidak sewajarnya ada pembangunan di kawasan kolam takungan air.

"Sebenarnya, isu ini (kolam takungan air) merentasi kementerian dan jabatan kerana jika ikut peraturan, sebarang perancangan dalam bandar perlu ikut syor dikemukakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya kepada BH, hari ini.

BH hari ini melaporkan, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ainul Jaria Maidin, mencadangkan kerajaan boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil semula mana-mana kawasan kolam takungan air diluluskan kepada pihak ketiga untuk pembangunan.

Katanya, kaedah lain untuk 'menyelamatkan' semula tanah terbabit ialah dengan membuat pembatalan atau pengubahsuaian kepada Kebenaran Membangun (DO) yang diberikan kepada pemaju.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, biarpun terdapat peruntukan undang-undang berhubung pengambilan semula tanah berkenaan, kajian mendalam perlu dilaksanakan terlebih dulu.

"Ia membabitkan banyak perkara, sebagai contoh nak pindahkan masyarakat seperti di Sri Muda (Shah Alam), nak pindah ke mana dan sebagainya. Ini isu praktikal yang kerajaan perlu pertimbangkan.

"Bagi yang belum ada pembangunan atau tidak padat sangat, itu boleh dipertimbangkan. Kalau kawasan (berhampiran kolam takungan) yang besar digunakan buat perumahan susah nak ambil, tetapi jika pembangunan yang kurang padat, boleh dipertimbangkan," katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata satu kenyataan akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Shahidan sebelum ini dilaporkan memberi jaminan kawasan kolam takungan air sedia ada di ibu negara akan terus dipertahankan dan terpelihara daripada sebarang projek komersial.

Beliau berkata, isu kepentingan mempertahankan kolam takungan air khususnya bagi tujuan tebatan banjir akan dibawa kepada jawatankuasa khas untuk tindakan susulan.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 yang dibentangkan baru-baru ini mendedahkan 943 kebenaran perancangan diluluskan dari 2015 sehingga 2020.

Berdasarkan LKAN itu, enam kolam takungan air yang diluluskan pemberi milikan bagi tujuan pembangunan ialah Batu Nanyang, Delima Taman Wahyu, Batu 4 1/2 dan Taman Desa.

Tiada ulasan: