Menteri Besar (MB) Datuk Hasni Mohammad dijangka mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar petang ini bagi mendapatkan perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan pilihan raya negeri (PRN).
Menurut laporan media, Hasni bakal mengadap Sultan Ibrahim jam 5 petang ini bagi memberitahu berhubung pembubaran DUN.
“Oleh itu, saya akan menghadiri mesyuarat kerajaan di Kota Iskandar dahulu sebelum menghadap Sultan Johor pada jam 5 petang ini.
“Saya akan mengadakan sidang media pada jam 6 petang ini di Pejabat Perhubungan UMNO Johor selepas selesai menghadap Sultan Johor,” katanya lapor media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO memberi lampu hijau kepada parti itu untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi mencari mandat baharu mendirikan kerajaan lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi ketika ini.
Kerajaan Johor ketika ini memiliki majoriti tipis satu kerusi sebanyak 28 DUN berbanding 27 di blok pembangkang dan dianggap ‘goyah’ selepas kematian bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian.
Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka November lalu memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus meyakinkan UMNO untuk menghadapi PRN Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan