Sabtu, 22 Januari 2022

Guru dibenar berpolitik: PM


Kerajaan membenarkan guru di bawah Kementerian Pendidikan dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) terlibat dalam politik berkuat kuasa serta-merta, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada sidang media di Kota Bharu hari ini, Perdana Menteri berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet sebagai menghormati prinsip demokrasi kerana sebelum ini golongan berkenaan dilarang berpolitik.

Untuk rekod, semua guru sebelum ini secara rasmi tidak dibenar berpolitik, kecuali beberapa tahun lalu apabila guru siswazah dalam gred tertentu dibenarkan aktif dalam politik. Hakikatnya sejak awal perjuangan kemerdekaan ianya digerakkan oleh kesatuan guru yang menjadi ejen pembangunan.

Namun, kebenaran kepada semua guru untuk aktif dalam politik dilihat bakal memberi kesan, khususnya di sekolah, apabila wujud fahaman berbeza dalam kalangan guru-guru.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menjelaskan kebenaran itu tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing dan sekiranya ada yang berpolitik sehingga mengabaikan tugas, tindakan boleh diambil terhadap mereka.

Justeru, beliau mengarahkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, untuk mengeluarkan surat pekeliling supaya guru dibenar berpolitik, lapor Bernama.

“Saya telah pun membawa perkara ini ke Kabinet dan memutuskan dalam menghormati prinsip demokrasi iaitu kebenaran rakyat untuk berpolitik maka kami telah membuat keputusan membenarkan guru-guru berpolitik.

“Kakitangan Kemas, dahulu dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa namun ketika era Pakatan Harapan (PH) mereka tidak dibenarkan berbuat demikian justeru, saya ingin umumkan bahawa petugas Kemas juga bebas dan dibenarkan berpolitik.

“Jika pekeliling belum dikeluarkan, saya harap Kementerian Pendidikan segera mengeluarkan pekeliling tersebut agar tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru ini,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan sebelum ini ada pekeliling menyekat guru-guru daripada berpolitik sehingga ramai dalam kalangan pendidik berkenaan diberi amaran untuk diambil tindakan.

Bagaimanpun jelas Ismail Sabri, guru-guru dan petugas Kemas berkenaan masih tertakluk terhadap peraturan jabatan masing-masing.

“Seperti guru misalnya jika berpolitik hingga meninggalkan tugas mereka boleh diambil tindakan disiplin dan sebagainya, itu terserah pada jabatan (membuat penilaian),” katanya.

Tiada ulasan: