BERA: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menubuhkan pasukan sukarelawan banjir yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan pasca banjir serta persediaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir di setiap negeri.
Ketua Pengarah Risda, Abdullah Zainal berkata, sukarelawan banjir yang membabitkan seramai 140 orang setiap negeri bersiap siaga membantu mangsa banjir dalam semua situasi.
Menurutnya, pasukan sukarelawan itu ditubuhkan selaras saranan Ketua Setiausaha Negara dalam menggerakkan agensi kerajaan untuk membantu pemulihan pasca banjir dengan segera.
“Pasukan sukarelawan Risda telahpun menyumbang tenaga di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan baru-baru ini membabitkan kerja-kerja pembersihan dan pembahagian sumbangan,” katanya pada majlis penyampaian bantuan mangsa banjir Pekebun Kecil Risda Daerah Bera d Kampung Batu Papan di sini hari ini.
Abdullah berkata, agensi berkenaan melalui Yayasan Risda dan Risda Estates Sdn. Bhd. menyampaikan sumbangan sebanyak RM13,000 kepada 50 orang ketua keluarga pekebun kecil mangsa banjir di daerah Bera hari ini.
Beliau berkata, sumbangan itu membuktikan Risda peka dan prihatin dengan kesulitan yang menimpa mangsa banjir yang membabitkan pekebun kecil.
“Sumbangan kepada mangsa terjejas banjir gelombang pertama pertengahan Disember lalu ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka menghadapi musibah banjir, terutama dari segi keperluan rumah,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan