POLIS membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang berdiri di luar beranda kondominium selepas ia tular.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihak polis menerima laporan pada pukul 4 petang semalam berhubung video berkenaan sebelum menjalankan siasatan.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku di rumah nenek mangsa ketika keluarganya hadir membuat persiapan perkahwinan ibu saudaranya.
“Bapanya kanak-kanak itu memaklumkan dia seorang yang hiperaktif dan telah keluar ke beranda rumah kerana mahu melihat kolam mandi yang berada di tingkat bawah kondominium.
“Selepas kira-kira tiga minit, ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut berjaya memujuknya untuk masuk kembali ke dalam rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Safiul Annuar berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan penyebaran berita dari sumber yang tidak sahih sehingga boleh menggangu siasatan pihak polis.
“Kami turut memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang boleh melanggari undang-undang,” katanya.
Pihak polis menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan