Jumaat, 7 Januari 2022

Mangsa banjir di Johor kembali meningkat kepada 4,346

 Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

Pasukan penyelamat dan penduduk kampung mengagihkan barang makanan di Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong, Muar yang terputus hubungan akibat banjir.

JOHOR BAHRU – Terdapat pertambahan jumlah mangsa banjir di tiga daerah menjadikan angka itu meningkat kepada 4,346 mangsa setakat 12 tengah hari, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, ia melibatkan 1,205 mangsa yang ditempatkan di 58 pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat, Muar, Tangkak dan Batu Pahat.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 4,133 mangsa daripada 1,125 keluarga yang ditempatkan di 60 PPS.

“Segamat yang terjejas teruk akibat banjir mencatatkan peningkatan daripada 2,434 mangsa daripada 669 keluarga, tengah malam tadi kepada 2,479 mangsa daripada 2,449 keluarga sehingga kini.

“Jumlah mangsa banjir di Tangkak juga meningkat dari 740 mangsa daripada 192 keluarga kepada 785 mangsa daripada 222 keluarga.

“Sementara itu, mangsa banjir di Muar melonjak setelah terdapat peningkatan 153 mangsa daripada 51 keluarga di sembilan PPS menjadikan jumlah terkini 1,058 mangsa daripada 297 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di Batu Pahat tidak merekodkan perubahan dan kekal dengan angka 54 mangsa daripada 18 keluarga di sebuah PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng.

Katanya, Mersing merupakan daerah baharu yang pulih daripada bencana banjir sepenuhnya setelah sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar yang menempatkan seramai 19 mangsa daripada lima keluarga ditutup sepenuhnya, 6 petang semalam.-K! ONLINE

Tiada ulasan: