HARAKAH DAILY
Bekas Imam Masjid Kapitan Keling, Syeikh Abdullah Bukhari kembali ke rahmatullah
BALIK PULAU: PAS Negeri Pulau Pinang menyifatkan
bekas Imam Besar Masjid Kapitan Keling, Datuk Syeikh Maulana Abdullah
Abdul Rahman al-Bukhari al-Masyuri yang kembali ke rahmatullah sebagai
perginya sebutir permata negeri ini.
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau
Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof merakamkan takziah kepada keluarga
Almarhum atas kehilangan tersebut dan mendoakan agar segala urusan
mereka dipermudahkan Allah Taala.
“Bagi para ulamak dan pencintai ilmu, tentu mengenali Allahyarham dan merasai kehilangannya. Namun itulah ketentuan Ilahi ke atas hamba-Nya. Jasanya dalam menyampaikan ilmu, ada pihak yang mengetahui dan ada pula pihak tidak mengetahuinya.
“Seorang yang tawaduk dan banyak menghabiskan masa di masjid, sama ada di masjid yang beliau bertugas sebagai imam atau di masjid tempat beliau mengajar.
“Semoga Allah mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham, mengampuni dosa-dosanya dan menempatkan di tempat yang tinggi dalam kalangan para solihin,” ujar beliau mengenang tokoh ulamak yang menjadi rujukan di negeri ini.
Allahyarham yang merupakan bekas imam di masjid tersebut semenjak tahun 1972 sehingga 31 Disember 2018 menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman beliau di Jalan Brani, George Town sekitar jam 11 pagi semalam.
Jenazah Allahyarham telah selamat disempurnakan pengebumiannya di Tanah Perkuburan Makam Noordin, di Masjid Kapitan Keling di sini, selepas solat Asar semalam.
Lebih dikenali dengan panggilan Syeikh Abdullah Bukhari kerana menjadi rujukan dalam hadis al-Bukhari, Allahyarham dilahirkan pada 29 Jun 1933 di Jalan Brani, George Town dan memulakan pendidikan awalnya di Madrasah al-Mashoor al-Islami.
Berkelulusan 4 Thanawi dan pengkhususan Qismun Takhasasin dan Qismun Muallimun pada tahun 1952, Allahyarham turut memperoleh kelulusan Tahfizul Qurani dari Jamia Misbahul Hudha, Nidur, India pada tahun 1953 selain memperoleh kelulusan Kelas Alim Maurlaui, Nidur, India pada tahun 1958.
Sepanjang hayatnya, Syeikh Abdullah Bukhari pernah mengajar ilmu Fiqh, Usul Fiqh, Mantiq, Tafsir dan Hadits di Madrasah al-Mashoor, Pulau Pinang pada tahun 1958 sehingga 1979, selain sangat aktif dalam menyampaikan dakwah. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan