BENCANA banjir besar melanda Malaysia sewaktu negara
sedang sibuk dan kalut menghadapi wabak COVID-19, sewaktu politik
sedang bergolak, sewaktu perpecahan orang Melayu meruncing dan sewaktu
krisis ekonomi yang teruk, telah meletakkan rakyat, negara dan agama
Islam dalam keadaan yang amat kritikal. Ibarat kata sudah jatuh ditimpa
tangga, ibarat telur di hujung tanduk dan ibarat retak menanti belah.
Norma
baru beribadah, vaksin dan pelbagai SOP yang dikuatkuasakan, sudah
cukup memenat dan melelahkan agamawan dan pihak berkuasa untuk berhujah
bagi menyakinkan, umat Islam awam dan sebahagian asatizah yang berfikiran sempit agar mengikuti dan menerima pandangan JK fatwa negeri-negeri dan nasihat Kementerian Kesihatan.
Antara perkara yang ditolak oleh sebahagian asatizah dan orang awam ialah fatwa keharusan dan keperluan mengambil vaksin, arahan menjarakkan sof dan memakai pelitup muka sewaktu solat. Belum pun reda kekeliruan dan kehangatan perbincangan tersebut, berlaku pula bencana bah besar yang mengorbankan banyak nyawa serta memusnahkan rumah kediaman dan harta benda. Dalam kekalutan tersebut muncul individu tertentu mengeluarkan pandangan ‘Harus orang-orang Islam bergotong royong membersihkan gereja, kuil, tokong dan sebagainya yang telah dilanda banjir’.
Islam adalah agama yang mengamalkan toleransi. Dengan bahasa yang mudah toleransi boleh diertikan sebagai sikap seseorang yang menghormati dan menghargai perbedaan yang terdapat di suatu lingkungan. Dalam Bahasa Arab toleransi disebut dengan istilah tasamuh. Pada asasnya sikap tasamuh merupakan salah satu bahagian dari sekian banyak sikap terpuji. Toleransi yang dianjurkan Islam merujuk kepada firman Allah S.W.T bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu
berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangi kamu
dalam urusan agama, dan tidak mengusirmu dari kampung halamanmu.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”
(al-Mumtahanah: 8)
Perkara yang menyentuh kesucian agama Islam, akidah Islamiah, rumah-rumah ibadah Islam dan kaum lain adalah perkara yang amat sensitif dan boleh menimbulkan ketegangan kaum jika tidak ditangani dengan baik. Umumnya penganut agama Islam, Hindu, Kristian, Buddha dan lain-lain masing-masing memahami sensitifnya isu berkaitan. Hormat menghormati antara satu sama lain dengan tidak mencampuri urusan agama lain sudah termasuk dalam kata tolak ansur.
Islam melarang umatnya mencaci maki atau memperlekeh orang-orang yang menyembah selain Allah kerana dibimbangi mereka akan bertindak balas dengan menghina Allah dan agama Islam tanpa usul periksa. Larangan ini termaktub di dalam al-Quran surah al-An’am ayat 108. Ketinggian toleransi Islam dengan agama lain secara bertulis dalam al-Quran dan Hadis dipertikaikan. Ia tidak dapat dilihat dalam agama-agama lain. Sesetengah tokoh agama lain secara terang terangan memusuhi Islam, menganjurkan penghapusan penganut Islam dalam negara mereka, meskipun dalam masa yang sama mereka memperjuangkan hak asasi manusia.
Islam mengharuskan urusniaga antara orang Islam dengan penganut agama lain mengenai keperluan duniawi. Bekerjasama dan bergotong royong membersihkan sisa banjir adalah sifat yang terpuji. Harus orang Islam membantu membersihkan rumah kediaman orang bukan-Islam dan orang Islam juga boleh menerima pertolongan penganut lain bagi membersihkan rumah kediaman mereka. Begitu juga harus mereka membantu satu sama lain dengan memberi bantuan keperluan harian seperti beras, tepung, roti dan lain-lain selagi barangan tersebut halal dan bersumber dari yang halal.
Setiap orang perlu mengekalkan dan memupuk sifat kemanusiaannya meskipun berlainan agama dan warna kulit. Jika penyeksaan terhadap haiwan dikira berdosa dan berbuat ehsan kepada binatang dikira kebaikan meskipun memberi minum anjing yang kehausan, maka berbuat baik sesama manusia tentulah lebih ditekankan lagi oleh Islam. Anjuran berbuat baik kepada orang bukan-Islam dibatasi dengan syarat selama mana mereka tidak memerangi atau mengusir orang Islam dari negeri mereka.
Ulamak Mazhab Syafi’e dan Maliki berpandangan haram atau tidak harus bagi orang Islam bekerja mencari rezeki membina gereja, kuil atau tokong penganut lain yang mensyirikkan Allah. Ia adalah persoalan akidah dan pengharamannya lebih kuat dari larangan bekerja mencari rezeki di pusat minum arak, judi atau institusi riba’. Allah melaknat peminum arak, orang yang memerah dan meminta diperahkan, orang yang membawa dan yang meminta dibawakan, penjual, pembeli dan yang memakan hasilnya. (Maksud Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dari Ibni Umar. Disahkan oleh al- Albani)
“Dan bertolong bantulah
kamu dalam perkara baik dan takwa, dan janganlah kamu bertolong
bantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(al-Maidah: 2)
Gereja, kuil, tokong dan sebagainya adalah pusat perhimpunan mensyirikkan Allah, sedangkan mesyirikkan Allah adalah kezaliman yang amat besar.
Ulamak Mazhab Hanafi mengharuskan mencari rezeki bertukang membina gereja kerana matlamat dan niatnya ialah mendapatkan upah tersebut. Adapun sengaja membinanya secara sukarela tanpa upah atau paksaan adalah haram.
Amat wajar mengharuskan orang Islam bergotong royong membersihkan kuil atau gereja bagi tujuan menempatkan mangsa bencana alam seperti banjir, kebakaran atau gempa bumi sekiranya tiada tempat lain yang sesuai. Andainya kedapatan tempat lain yang sesuai maka wajib memberikan keutamaan beralih ke tempat lain. Alasannya ialah seorang Mukmin dilarang berada di tempat atau pusat maksiat tanpa sebab yang manasabah seperti hendak menyampaikan dakwah.
Tidak ada kewajaran bagi agamawan Islam Ahlus Sunnah Waljamaah untuk memfatwakan keharusan bergotong royong membersihkan rumah ibadah penganut lain secara sukarela tanpa sebab mendesak. Individu-individu atau tokoh-tokoh tertentu yang dengan berani mengharuskannya, atau menggalakkan perbuatan tersebut tidak lain dari mereka yang mempelopori atau terpengaruh dengan pemikiran Liberalisme atau Pluralisme yang telah difatwakan bercanggah dengan pandangan Ahli Sunnah Waljamaah.
Kesimpulannya: Islam adalah agama yang menganjurkan sikap toleransi. Namun demikian toleransi itu ada batasannya. Toleransi dalam urusan kehidupan lebih luas berbanding dengan berkaitan Akidah. Oleh itu batasan toleransi perlu dijaga agar kesucian agama Islam dan kesejahteraan akidah umat Islam sentiasa terpelihara.
Salam hormat dari:
(*) S.F. DATO’ ASAD AWANGAhli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan