Khamis, 13 Januari 2022

Pengembara pernah dijangkiti Covid lengkap vaksinasi tidak perlu kuarantin, kata Khairy

MALAYSIA NOW

Sementara itu, pengembara yang belum menerima vaksinasi lengkap atau tidak divaksinasi perlu jalani kuarantin selama seminggu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19 tetapi lengkap vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin wajib ketika tiba di Malaysia berkuat kuasa esok.

Menurut Khairy, kerajaan masih mengamalkan prosedur kawalan sempadan dan mewajibkan ujian saringan dan kuarantin ke atas pengembara.

“Setibanya di Malaysia, pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 11 hari hingga 60 hari dan lengkap vaksinasi Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin wajib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Mereka bagaimanapun masih perlu lakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTK Ag di hadapan petugas kesihatan kerajaan atau swasta yang ditempatkan di pintu masuk antarabangsa (PMA).”

Bagaimanapun, bagi pegembara yang belum menerima vaksinasi lengkap atau tidak divaksinasi akan dikenakan kuarantin wajib selama tujuh hari di stesen kuarantin yang disediakan kementerian kesihatan.

Sejak Disember, kerajaan menetapkan pegembara yang tiba dari luar negara perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi berikutan kebimbangan global terhadap varian Omicron.

Selain perlu menjalani kuarantin, mereka juga perlu menjalani ujian saringan beberapa kali sepanjang kuarantin tersebut dan hanya dilepaskan selepas negatif bagi ujian saringan terakhir.

Dalam pada itu, Khairy turut berkata kerajaan turut mengenakan beberapa syarat kepada pegembara yang mempunyai sejarah jangkitan.

Antara lain mereka perlu menerima vaksin lengkap dengan bukti vaksinasi; menunjukkan bukti sejarah jangkitan dalam tempoh 11 hingga 60 hari sebelum berlepas ke Malaysia; dan menunjukkan surat sihat untuk melakukan perjalanan (fit to travel) dari hospital.

“Kesemua dokumen berkaitan hendaklah dibawa dan ditunjukkan kepada pihak berkuasa penerbangan dan kesihatan di pintu masuk, sekiranya diminta,” kata Khairy.

Selain itu, pengembara yang tiba di pintu masuk negara turut dikehendaki mematuhi beberapa prosedur operasi standard berhubung aplikasi MySejahtera.

Ia termasuk mengimbas kod QR “Pengembara dari luar negara”, mengimbas suhu badan dan menjalani ujian RTK Ag di hadapan petugas kesihatan.

“Sementara itu bagi pengembara yang tidak pernah dijangkiti Covid-19, ketetapan semasa masih terpakai.

“Kerajaan akan memaklumkan sebarang perkembangan mengenai situasi dan ketetapan baru bagi pengembara dari semasa ke semasa,” katanya.

Tiada ulasan: