Khamis, 13 Januari 2022

Tiada keperluan untuk berundur, kata Azam

MALAYSIA NOW

Menurut ketua pesuruhjaya SPRM itu, hanya Yang di-Pertuan Agong yang paling layak menamatkan tugasnya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata tiada keperluan untuk meletakkan jawatan, menjawab serangan pelbagai pihak yang mendesak berikutan dakwaan mempunyai konflik kepentingan dalam pemilikan saham beberapa syarikat.

Azam berkata beliau “menyerahkan dirinya” untuk disiasat dan memohon semua pihak bersabar kerana kebenaran akan muncul juga akhirnya.

“Saya dengan tegas dan tetap dengan pendirian teguh saya untuk tidak meletakkan jawatan kerana tidak ada keperluan untuk saya berundur.

“Hanya seorang individu yang paling layak dan boleh menamatkan tugas saya adalah Yang di-Pertuan Agong, selain daripada itu, saya tidak mahu ambil peduli dengan apa jua tuntutan yang mahu diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Tegas Azam lagi, beliau mengikuti segala protokol ditetapkan dan melakukan apa yang sepatutnya dilaksanakan.

Menurut Azam, beliau tidak pernah merayu kepada mana-mana pihak atau parti politik untuk memihak kepadanya berhubung isu saham yang dihadapinya ketika ini dan menegaskan beliau sendiri akan menunjukkan kebenaran pada masa yang sesuai

“Bukan perlu untuk saya memaklum balas perkara seperti ini.

“Saya bukan ahli politik tetapi seorang pegawai tinggi kerajaan yang banyak kerja lain yang perlu diberi tumpuan dan diselesaikan.

“Tidak ada keperluan kepada saya sebenarnya untuk saya memaklumkan kepada masyarakat kerana nanti nampak macam saya tiada kerja lain untuk dilakukan,” katanya.

Pendirian Azam mengenai isu tersebut dilihat senada dengan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang semalam yang berkata beliau tiada apa-apa untuk disembunyikan berhubung keputusan membersihkan ketua pesuruhjaya SPRM itu daripada dakwaan tersebut.

Beliau turut menambah dirinya sedia disiasat oleh beberapa agensi atau jika diarahkan sanggup untuk meletakkan jawatan.

Azam dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Koya yang meletakkan jawatan.

Pelantikan beliau juga berlaku beberapa hari selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan selepas Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri.

Isu mengenai pemilikan saham oleh Azam itu timbul susulan beberapa artikel oleh Lalitha Kunaratnam yang merupakan seorang aktivis dan mempunyai kaitan dengan C4 Center, sebuah NGO diketuai aktivis Cynthia Gabriel, sementara felo pengarahnya, Edmund Terence Gomez juga turut meletakkan jawatan sebagai salah seorang anggota panel SPRM.

Beberapa artikel oleh Lalitha mendakwa wujud konflik kepentingan dalam pemilikan saham Azam.

Berikutan penerbitan artikel tersebut, ketua pesuruhjaya SPRM itu kemudiannya menghantar surat tuntutan terhadapnya.

Laporan polis turut dibuat oleh SPRM yang menyifatkan dakwaan oleh Lalitha tersebut adalah palsu dan tidak mengemukakan bukti.

Tiada ulasan: